MAJLIS PENYEMPURNAAN LADANG SOLAR 20MWac DI LADANG BYRAM, MUKIM 11, SEBERANG PERAI SELATAN, PULAU PINANG

TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG

SEMPENA MAJLIS PENYEMPURNAAN LADANG SOLAR 20MWac

DI LADANG BYRAM, MUKIM 11, SEBERANG PERAI SELATAN, PULAU PINANG

25 November 2018 (Ahad) | 3.00 petang

Yang Berhormat Dato’ Ir. Hj. Ahmad Zakiyuddin bin Abdul Rahman
Timbalan Ketua Menteri (I) Pulau Pinang

Yang Berhormat Prof. Dr. Ramasamy a/l Palanisamy
Timbalan Ketua Menteri (II) Pulau Pinang

Yang Berhormat Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pulau Pinang

Yang Berhormat H’ng Mooi Lye
Ahli Dewan Undangan Negeri Jawi

Yang Berhormat Dato’ Mansor bin Haji Othman
Ahli Parlimen Nibong Tebal

Yang Berhormat Dato’ Seri Farizan bin Darus
Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang

Yang Berbahagia Dato’ Sr Hj Rozali bin Hj Mohamud
Yang Dipertua Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP)

Dato’ Seri Ong Choo Hoon
Pengarah Urusan PLB Green Solar Sdn. Bhd.

Dato’ Ong Guat Beng
Pengarah Eksekutif PLB Green Solar Sdn. Bhd.

Encik Syamshuar Bin Husin
Pengarah Eksekutif PLB Green Solar Sdn. Bhd.

Encik Mohd Ramsyah Bin Ismail
Pengurus Projek PLB Green Solar Sdn. Bhd.

Ketua-Ketua Jabatan

Rakan-rakan media

Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian

Selamat Petang dan Salam Sejahtera.

Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak penganjur yang sudi menjemput saya bagi merasmikan Majlis Penyempurnaan Ladang Solar berkapasiti 20MWac pada petang yang mulia ini.

Seperti mana kita semua sedia maklum, di bawah Rancangan Malaysia ke-11 (RMK11), Kerajaan Persekutuan telah bercadang untuk meningkatkan penggunaan tenaga boleh baharu sebagai usaha bagi menunjukkan komitmen Kerajaan bagi mengurangkan pelepasan gas karbon dioksida (CO2). Oleh itu, salah satu inisiatif ini adalah dengan menambah penggunaan tenaga boleh baharu dalam sektor penjanaan kuasa elektrik.

Suruhanjaya Tenaga (ST) telah diberikan mandat bagi menjayakan inisiatif ini dengan menggalakkan sektor swasta yang berkelayakan untuk mengambil bahagian dalam tender bagi membina, memiliki dan mengoperasikan ladang solar berkapasiti besar dengan tujuan menjual tenaga elektrik yang dijana kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB) di bawah perjanjian pembelian tenaga jangka panjang iaitu selama tempoh 21 tahun.

Oleh yang demikian, Suruhanyaja Tenaga telah mengadakan proses penawaran kuota sejumlah 500MWac kuota melalui tender terbuka. Saya difahamkan sebanyak 300 buah syarikat telah mengambil bahagian ketika di peringkat RFQ. Setelah beberapa proses tapisan, hanya 19 buah syarikat telah berjaya dipilih dan syarikat PLB Green Solar Sdn. Bhd. (PLBGS) merupakan salah satu daripada syarikat yang berjaya dalam proses merebut kuota tersebut. Kerja-kerja pembinaan telah bermula pada awal Januari tahun ini dan siap sepenuhnya pada bulan Oktober 2018.

Projek ladang solar berkapasiti besar yang diusahakan oleh PLB Green Solar Sdn. Bhd. ini merupakan satu-satunya projek yang dibina di Negeri Pulau Pinang. Kos keseluruhan untuk projek ladang solar berkeluasan 60 ekar ini adalah sebanyak RM105 juta. Tahniah dan syabas kepada syarikat PLB Green Solar Sdn. Bhd.

Saya turut dimaklumkan bahawa ladang solar ini dapat menjana tenaga elektrik yang mampu untuk menampung penggunaan elektrik kira-kira 12,000 buah rumah. Ianya sangat signifikan bagi menyediakan sistem sokongan kepada penjanaan dan pembekalan elektrik di sekitar Kawasan Perindustrian Batu Kawan dan Bandar Cassia.

Kerajaan Negeri berasa amat bangga dengan adanya ladang solar ini. Ia jelas menunjukkan komitmen dan keseriusan Kerajaan Negeri dalam menjayakan projek teknologi hijau selari dengan matlamat dan visi Penang2030 yang mahu menjadikan Pulau Pinang sebagai negeri hijau. Kerajaan Negeri amat menghargai dan akan sentiasa memberi sokongan dan memudahcarakan kepada mana-mana syarikat swasta yang ingin terlibat dalam projek teknologi hijau seperti ini.

Akhir kata, tahniah dan syabas sekali lagi kepada PLB Green Solar Sdn. Bhd. dan semua pihak yang terlibat dalam melaksanakan projek pembangunan ladang solar berkapasiti besar ini di Negeri Pulau Pinang.

Dengan ini, saya dengan sukacitanya menyempurnakan Majlis Penyempurnaan Ladang Solar 20MWac di Ladang Byram, Mukim 11, Seberang Perai Selatan, Pulau Pinang.

Sekian,terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang