MAJLIS PENYAMPAIAN BANTUAN PENDAFTARAN PELAJAR KE INSTITUSI PENGAJIAN TINGGI (IPT) TAHUN 2018/2019 (DAERAH BARAT DAYA)

TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG

SEMPENA MAJLIS PENYAMPAIAN BANTUAN PENDAFTARAN PELAJAR

KE INSTITUSI PENGAJIAN TINGGI (IPT) TAHUN 2018/2019

(DAERAH BARAT DAYA)

1 DISEMBER 2018 (SABTU)
DEWAN SERBAGUNA POLITEKNIK BALIK PULAU

 

Yang Berhormat Dato' IR. Hj. Zakiyuddin Bin Abdul Rahman
Timbalan Ketua Menteri (I) Pulau Pinang

Yang Berhormat Prof. Dr. P. Ramasamy
Timbalan Ketua Menteri (II) Pulau Pinang

Yang Berbahagia Mohd Hafiz Aswad Bin Nadzri
Pegawai Daerah, Pejabat Daerah & Tanah Daerah Barat Daya

Pegawai-pegawai Penyelaras KADUN

Para pelajar

Para ibubapa dan waris

Para hadirin yang saya hormati sekalian.

Selamat petang dan salam sejahtera.

Terlebih dahulu saya ingin melahirkan kesyukuran kepada Tuhan kerana kita diberi peluang untuk berkumpul di petang yang mulia ini di sini bersempena dengan Majlis Penyampaian Cek Bantuan Pendaftaran Pelajar ke Institut Pengajian Tinggi (IPT) Tahun 2018/2019. Terima kasih dan syabas saya ucapkan kepada pasukan urus setia daripada Pejabat Daerah & Tanah Daerah Barat Daya kerana telah bertungkus-lumus untuk menganjurkan majlis pada hari ini.

Majlis ini diadakan khusus untuk meraikan kejayaan anak-anak Pulau Pinang yang telah berjaya melanjutkan pelajaran ke IPT dan juga untuk menghargai kebijaksanaan dan seterusnya menyokong mereka untuk berusaha dan terus maju pada masa hadapan. Turut tidak dilupakan, ucapan penghargaan kepada ibubapa, waris dan juga guru-guru yang telah banyak meluangkan masa, tenaga dan wang untuk memastikan kejayaan anak-anak kita ini.

Kerajaan Negeri sentiasa menghargai warganya yang banyak menyumbang bakti dan menunjukkan kesetiaan dan kasih sayang mereka kepada Negeri Pulau Pinang. Sebagai bukti, bagi bantuan pendaftaran pelajar ke IPT bagi Daerah Barat Daya ini sahaja, Kerajaan Negeri sanggup membelanjakan sejumlah RM299,600.00 untuk membantu meringankan beban pelajar, ibubapa dan waris semasa proses pendaftaran pelajar-pelajar ini ke IPTA, IPTS dan juga Politeknik. Jumlah ini adalah untuk keseluruhan pemohon yang telah berjaya bagi daerah ini bagi kali ini iaitu seramai 302 orang pelajar.

Tuan-tuan dan puan-puan,

Bagi sesetengah orang, bantuan sebanyak RM1,000.00 ini mungkin tidak besar nilainya. Namun, bagi golongan yang berpendapatan sederhana dan rendah, nilai RM1,000.00 ini adalah sangat besar dan amat dinanti-nantikan. Walaupun bantuan ini bukanlah seberapa nilainya, namun ianya merupakan salah satu penghargaan daripada Kerajaan Negeri kepada penduduk negeri ini kerana Kerajaan Negeri tidak akan pernah teragak-agak untuk menghargai rakyatnya. Para pelajar juga amat dihargai kerana mereka adalah pelaburan bagi jangka panjang kerajaan negeri.

Pulau Pinang tidak mempunyai kekayaan sumber asli. Oleh itu, Kerajaan Negeri berhasrat untuk terus menerajui pelbagai bidang dan bagi tujuan itu, saya menyeru pelajar-pelajar ini untuk menyumbang idea, kebijaksanaan, ilmu dan kepakaran kepada Pulau Pinang apabila tamat belajar kelak.

Sepanjang sepuluh (10) tahun yang lepas, Pulau Pinang sememangnya telah mempunyai banyak perancangan, strategi dan blueprint bagi tujuan penambahbaikan. Sehubungan itu, terdapat keperluan untuk meneruskan pelaburan untuk meningkatkan kualiti pembangunan bandar, memelihara persekitaran, menarik bakat-bakat baru seperti anak-anak muda di sini dan seterusnya meningkatkan bidang pengetahuan dan industri kreatif selain keperluan penambahbaikan untuk meningkatkan kualiti hidup. Kerajaan Negeri merasakan, kebanyakan negeri masih belum dapat keluar dari perangkap pendapatan kelas menengah rendah (middle-income trap) termasuklah Negeri Pulau Pinang. Kadar pertumbuhan pekerjaan dan populasi yang masih di tahap sederhana serta halangan dalam bidang pelaburan dan kadar pertumbuhan pendapatan yang perlahan inilah yang menjadi penghalang kepada bakat-bakat baru di negeri ini.

Sidang hadirin yang saya hormati sekalian,

Adalah menjadi harapan saya dan juga barisan kepimpinan Kerajaan Negeri yang baru ini agar kerjasama yang lebih erat dan baik dapat dijalinkan dengan Kerajaan Pusat yang baharu ini. Inilah masanya untuk kita melihat semula perancangan-perancangan yang tertangguh dan merealisasikannya mengikut kesesuaian semasa. Kita amat yakin bahawa Pulau Pinang akan terus berkembang dan seterusnya dapat membina reputasi sebagai pusat kecemerlangan untuk menarik minat bakat-bakat baru dan terbaik selaras dengan Revolusi Perindustrian 4.0, meningkatkan pelaburan dalam bidang baharu dan merealisasikan impian untuk keluarga hidup dalam persekitaran yang bersih, hijau dan selamat serta memiliki peluang Pendidikan dan pekerjaan.

Sebelum saya mengakhiri ucapan saya pada petang ini. Saya amat berharap agar kita dapat bersama-sama berusaha dan berkerjasama untuk menggembleng tenaga, menyumbang idea dan bakat demi negeri tercinta ini. Sekali lagi saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada jawatankuasa penganjur dan tahniah kepada pelajar-pelajar yang telah berjaya pada hari ini.

 

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang