MAJLIS PENYAMPAIAN BANTUAN PENDAFTARAN PELAJAR KE INSTITUSI PENGAJIAN TINGGI (IPT) TAHUN 2018/2019 BAGI DAERAH SEBERANG PERAI TENGAH 

TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG

SEMPENA MAJLIS PENYAMPAIAN BANTUAN PENDAFTARAN PELAJAR

KE INSTITUSI PENGAJIAN TINGGI (IPT) TAHUN 2018/2019

BAGI DAERAH SEBERANG PERAI TENGAH 

8 DISEMBER 2018 (SABTU)
DEWAN SP ARENA, SEBERANG JAYA

 

Yang Berhormat Dato' IR. Hj. Zakiyuddin Bin Abdul Rahman
Timbalan Ketua Menteri (I) Pulau Pinang

Yang Berhormat Prof. Dr. P. Ramasamy
Timbalan Ketua Menteri (II) Pulau Pinang

Yang Berhormat Ahli-ahli Parlimen Daerah Seberang Perai Tengah

Yang Berhormat Adun-adun Seberang Perai Tengah

En.Rosmin bin Yaakob
Ketua Penolong Pegawai Daerah Kanan (PDTSPT)

Pegawai-pegawai Penyelaras KADUN

Para pelajar

Para ibubapa dan waris

Para hadirin yang saya hormati sekalian.

Selamat pagi dan salam sejahtera.

1. Terlebih dahulu saya ingin melahirkan kesyukuran kepada Tuhan kerana kita diberi peluang untuk berkumpul di pagi yang mulia ini di sini bersempena dengan Majlis Penyampaian Cek Bantuan Pendaftaran Pelajar ke Institut Pengajian Tinggi (IPT) Tahun 2018/2019 peringkat Daerah Seberang Perai Tengah. Jutaan terima kasih dan syabas saya ucapkan kepada pasukan urus setia daripada Pejabat Daerah dan Tanah Seberang Perai Tengah kerana telah berusaha dengan bertungkus-lumus bagi menjayakan majlis pada hari ini.

2. Seperti mana yang kita semua sedia maklum, majlis ini diadakan khusus untuk meraikan kejayaan anak-anak Pulau Pinang yang telah berjaya untuk melanjutkan pelajaran ke IPTA, dan IPTS yang terpilih. Bantuan kewangan sebanyak RM1,000 akan diberikan kepada para pelajar yang akan mengikuti pengajian di universiti di Semananjung Malaysia dan RM1,200 pula akan diberikan kepada para pelajar yang mendapat tawaran belajar di universiti di Sabah dan Sarawak.

3. Di samping itu, majlis ini juga diadakan bertujuan untuk menghargai usaha dan penat lelah pelajar yang telah bertungkus lumus bagi memastikan mereka layak untuk melanjutkan pelajaran ke IPT/IPTS. Diharap dengan pemberian bantuan ini akan menambahkan lagi semangat para pelajar untuk terus maju ke hadapan dalam bidang yang diceburi. Turut tidak dilupakan, ucapan penghargaan kepada ibubapa, waris dan juga guru-guru yang telah banyak meluangkan masa, tenaga, keringat dan wang ringgit untuk memastikan kejayaan anak-anak kita ini.

4. Kerajaan Negeri sentiasa menghargai warganya yang banyak menyumbang bakti dan menunjukkan kesetiaan dan kasih sayang mereka kepada Negeri Pulau Pinang. Sebagai bukti, bagi bantuan pendaftaran pelajar ke IPT ini sahaja, Kerajaan Negeri sanggup membelanjakan sejumlah RM 2,226,200.00 yang melibatkan bantuan kepada 2,218 pelajar bagi sesi kemasukan pada bulan September 2018. Jumlah bagi Daerah Seberang Perai Tengah sahaja adalah seramai 564 orang pelajar yang melibatkan kos sebanyak RM 567,800.00. Diharap bantuan ini akan membantu meringankan beban pelajar, ibubapa dan waris semasa proses pendaftaran pelajar-pelajar ini ke IPTA dan IPTS nanti.

Tuan-tuan dan puan-puan,

5. Bagi sesetengah orang, bantuan sebanyak RM1,000.00-ringgit ini mungkin tidak besar nilainya. Namun, bagi golongan yang berpendapatan sederhana dan rendah, nilai RM1,000.00 ini adalah sangat besar dan amat dinanti-nantikan. Walaupun bantuan ini bukanlah seberapa nilainya, namun ianya merupakan salah satu penghargaan daripada Kerajaan Negeri kepada penduduk negeri ini kerana Kerajaan Negeri sentiasa mengutamakan kebajikan rakyatnya. Para pelajar juga amat dihargai kerana mereka adalah pelaburan jangka panjang bagi kerajaan negeri.

6. Pulau Pinang tidak mempunyai kekayaan sumber asli. Oleh itu, Kerajaan Negeri berhasrat untuk terus menerajui pelbagai bidang dan bagi tujuan itu, saya menyeru pelajar-pelajar ini untuk menyumbang idea, kebijaksanaan, ilmu dan kepakaran kepada Pulau Pinang apabila tamat belajar kelak. Bagi memastikan Negeri Pulau Pinang terus mengorak langkah yang lebih luas dalam pembangunan, Kerajaan Negeri telah pun memperkenalkan “Penang 2030: A Family Focused Green and Smart State That Inspires Nation” pada 29 Ogos 2018 yang lepas. Pelan ini bertujuan untuk membawa Pulau Pinang ke tahap pertumbuhan yang seterusnya dari segi budaya dan ekonomi.

7. Kerajaan Negeri Pulau Pinang sentiasa menggalakkan pelajar-pelajar untuk menguasai bidang STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik). Kerajaan Negeri memperuntukkan jumlah yang agar besar dalam penyediaan pusat-pusat sains seperti Penang Science Cluster (PSC), Penang Tech Dome, Penang Math Platform, CAT dan PSDC. Semua pusat ini menyediakan pelbagai tawaran kemahiran dan ada yang dijalankan secara percuma. Kerajaan Negeri juga pada bulan Jun 2016 telah membangunkan Penang Digital Library (PDL) yang dilihat dapat membantu para pelajar untuk menggunapakai kemudahan teknologi dalam era digital ini. Selaras dengan Revolusi Industri 4.0 yang menguasai dunia kini, Pulau Pinang tidak ketinggalan untuk turut bersaing dalam dunia teknologi ini. Kerajaan Negeri kini dalam pertimbangan dan candangan untuk mewujudkan satu portfolio baru iaitu Transformasi Digital di bawah Ketua Menteri sendiri.

Sidang hadirin yang saya hormati sekalian,

8. Adalah menjadi harapan saya dan juga barisan kepimpinan Kerajaan Negeri yang baru ini agar kerjasama yang lebih erat dan baik dapat dijalinkan dengan Kerajaan Pusat yang baharu ini. Inilah masanya untuk kita melihat semula perancangan-perancangan yang tertangguh dan merealisasikannya mengikut kesesuaian semasa. Kita amat yakin bahawa Pulau Pinang akan terus berkembang dan seterusnya dapat membina reputasi sebagai pusat kecemerlangan untuk menarik minat bakat-bakat baru dan terbaik selaras dengan revolusi digital IR4.0, meningkatkan pelaburan dalam bidang baharu dan merealisasikan impian untuk keluarga hidup dalam persekitaran yang bersih, hijau dan selamat serta memiliki peluang Pendidikan dan pekerjaan.

9. Sebelum saya mengakhiri ucapan saya pada pagi ini. Saya amat berharap agar kita dapat bersama-sama berusaha dan berkerjasama untuk menggembleng tenaga, menyumbang idea dan bakat demi negeri tercinta ini. Sekali lagi saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada jawatankuasa penganjur dan tahniah kepada pelajar-pelajar yang telah berjaya pada hari ini.

Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang