MAJLIS PERASMIAN PERTANDINGAN KAROM BEREGU TERBUKA PULAU PINANG 2018 PIALA ADUN PADANG KOTA

UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG
SEMPENA MAJLIS PERASMIAN PERTANDINGAN KAROM BEREGU TERBUKA PULAU PINANG 2018
PIALA ADUN PADANG KOTA

9 DISEMBER 2018
FOYER BAWAH DEWAN SRI PINANG

 

Encik Saibullah
Presiden Persatuan Muslim Kadayanallur

Encik Muhammad Noor
Timbalan Persiden Persatuan Muslim Kadayanallur merangkap Pengerusi Pertandingan Karom

Jawatankuasa Pengelola Pertandingan Karom

Para peserta Karom

Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian.

Terlebih dahulu saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan sekalung penghargaan kepada Jawatankuasa Persatuan Muslim Kadayanallur atas kesudian menjemput saya bagi merasmikan Pertandingan Karom Beregu Terbuka Pulau Pinang 2018 bagi merebut Piala ADUN Padang Kota pada hari ini.

Saya difahamkan terdapat lebih 100 penyertaan pada pertandingan kali ini melibatkan penyertaan dari pelbagai lapisan masyarakat dari dalam mahupun luar negeri ini. Saya juga difahamkan ada di kalangan ahli persatuan yang mewakili Negeri Pulau Pinang untuk bertanding di peringkat Kebangsaan. Tahniah dan selamat maju saya ucapkan kepada semua.

Suatu ketika dahulu permainan ini hanya dimain untuk memenuhi masa terluang. Dan lama-kelamaan permainan ini sudah mendapat tempatnya yang tersendiri dan menjadi antara sukan yang dimainkan sehingga ke peringkat antarabangsa. Permainan ini mendapat sambutan yang sangat menggalakkan kerana permainan ini tiada had umur. Justeru itu, tidak hairanlah saya bahawa permainan karom ini mudah memenangi perhatian masyarakat negara ini.

Permainan karom mempunyai daya tarikan dan peminatnya yang tersendiri. Meskipun permainan ini dianggap mudah tetapi sebenarnya ia masih memerlukan kepandaian, strategi, ketepatan, kreativiti dan skil di samping memerlukan kesabaran yang tinggi. Sama ada kita sedar atau tidak permainan karom ini juga dapat mewujudkan pelbagai bentuk geometri yang perlu difikirkan oleh setiap pemain untuk mencapai matlamat akhir mereka.

Saya percaya penganjuran program seperti ini bukan sahaja dapat memberi peluang kepada semua peserta bukan sahaja untuk menzahirkan bakat masing-masing semata-mata tetapi akan membawa kepada penyatuan nilai silaturahim, semangat kesaksamaan serta meletakan kita sebagai satu rumpun.

Saya berharap agar pertandingan kali ini berjalan dengan jayanya dan bertandinglah dengan semangat kesukanan yang tinggi.

Akhir kata, saya dengan ini merasmikan PERTANDINGAN KAROM BEREGU,TERBUKA PULAU PINANG PIALA ADUN PADANG KOTA TAHUN 2018.

Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang