MAJLIS PERASMIAN LAMAN FOTOGRAFI SEBERANG JAYA

TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG
SEMPENA MAJLIS PERASMIAN LAMAN FOTOGRAFI SEBERANG JAYA

15 DISEMBER 2018 (SABTU)
TAMAN REKREASI AWAM SEMBILANG, SEBERANG PERAI TENGAH

 

Yang Berhormat Dr. Afif Bin Bahardin
ADUN Seberang Jaya

Yang Berbahagia Dato’ Sr Haji Rozali bin Haji Mohamud
Yang Dipertua, Majlis Perbandaran Seberang Perai

Yang Dihormati Ahli Majlis- Ahli Majlis
Majlis Perbandaran Seberang Perai

Yang Berusaha Puan Ir Hjh Rosnani bt Hj Mahmod
Setiausaha Perbandaran, Majlis Perbandaran Seberang Perai

Ketua-Ketua Jabatan
Kakitangan Majlis Perbandaran Seberang Perai

Rakan - rakan Media

Tuan - tuan dan puan - puan yang dihormati sekalian

Selamat pagi dan salam sejahtera.

Terlebih dahulu saya ingin merakamkan ucapan penghargaan dan tanda terima kasih yang tidak terhingga kerana sudi menjemput saya bagi merasmikan Laman Fotografi di Taman Rekreasi Awam Sembilang, Seberang Jaya, Seberang Perai Tengah.

Di kesempatan ini, terlebih dahulu saya ingin mengucapkan tahniah dan syabas kepada YB. Dr. Afif Bin Bahardin, YBhg. Dato’ YDP dan Tuan Setiausaha kerana berjaya menganjurkan Program Laman Fotografi di Taman Rekreasi Awam Sembilang di Seberang Jaya. Jutaan terima kasih, syabas dan tahniah diucapkan di atas usaha gigih MPSP bagi memastikan kelancaran majlis kita hari ini.

Tujuan program ini diadakan adalah untuk menjadikan ianya sebagai salah satu tempat rekreasi penduduk setempat dan kawasan sekitarnya. Ianya sejajar dengan inisiatif Kerajaan Negeri Pulau Pinang iaitu Cleaner, Greener, Safer dan Healthier dan sekaligus memenuhi kehendak penduduk setempat. Lokasi perasmian terletak di kawasan lapang di Jalan Sembilang, Taman Sembilang Seberang Jaya, Seberang Perai Tengah. Laluan ini juga terletak bersebelahan dengan Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dan anggaran keluasan tapak ini dianggarkan seluas 3.02 ekar, yang mana ianya terletak di bawah seliaan Majlis Perbandaran Seberang Perai. Taman Sembilang dipilih disebabkan ianya terletak di dalam pola kepadatan tinggi penduduk dan berhampiran dengan kemudahan.

Yang Berhormat, Tuan-Tuan dan Puan-Puan Sekalian,

Saya difahamkan, pada 7 April 2018 satu majlis pecah tanah telah dijalankan di kawasan ini dan 7 September 2018, lokasi ini turut dipilih untuk penanaman Golden Penda iaitu Pokok Teduhan dari jenis Xanthostemon Chrysanthus. Program Penanaman Golden Penda ini bersempena dengan Sambutan Hari Kemerdekaan yang Ke-61 dan mendapat Pengiktirafan Malaysian Books of Records (MB) dengan jumlah penanaman sebanyak 5 100 batang pokok. Kawasan Taman Sembilang ini dilengkapi dengan kemudahan rekreasi asas seperti alat mainan bersepadu dan sebagainya.

Antara komponen-komponen yang telah disediakan oleh Majlis Perbandaran Seberang Perai adalah laluan pejalan kaki, struktur dinding konkrit (Free Standing Wall), dataran kejat, struktur arca bangku, lantai konkrit longkang untuk laluan masuk, papan tanda nama Taman Rekreasi Awam Sembilang, papan tanda larangan, penanaman pokok Terminalia Mantaly Variegata & Diospyros Buxifolia dan Penanaman rumput. Kos menaiktaraf taman ini berjumlah RM120,120.00 dengan menggunakan Wang Sumbangan Menggantikan Penyediaan Kemudahan Awam (Kawasan Tanah Lapang). Kawasan lapangan yang dinaiktaraf ini seduai untuk digunakan oleh penduduk bagi tujuan majlis perkahwinan.

Hadirin yang saya hormati sekalian,

Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada MPSP dan YB. Dr. Afif Bin Bahardin kerana telah bertungkus lumus dalam menjayakan Majlis Perasmian Laman Fotografi pada petang ini. Saya berharap MPSP dan ADUN kawasan sentiasa komited dalam memastikan setiap program yang dianjurkan dapat memberi impak positif ke atas masyarakat dan berharap ianya memupuk sifat cintakan alam semula jadi.

Saya berharap dengan adanya program-program seperti ini dapat mengeratkan hubungan penduduk dengan YB kawasan dan MPSP. Diharapkan penduduk Seberang Perai dapat menjaga segala kemudahan yang disediakan oleh Majlis Perbandaran Seberang Perai.

Sekali lagi saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan terima kasih kepada semua yang terlibat secara langsung atau tidak langsung untuk merealisasikan majlis ini, terutamanya YB. Dr. Afif Bin Bahardin dan MPSP.

Sekian, terima kasih.

 

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang