MAJLIS PERASMIAN STESEN BAWAH BUKIT BENDERA PULAU PINANG (FASA 3)

TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG
SEMPENA MAJLIS PERASMIAN STESEN BAWAH BUKIT BENDERA PULAU PINANG (FASA 3)

19 JANUARI 2019

 

YB Tuan Lim Guan Eng
Menteri Kewangan Malaysia

YB Dato’ Ir. Haji Ahmad Zakiyuddin bin Abdul Rahman
Timbalan Ketua Menteri (I) Pulau Pinang

Encik Cheok Lay Leng
Pengurus Besar Perbadanan Bukit Bendera Pulau Pinang

Yang Berhormat Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pulau Pinang

Dato Ir. Yew Tung Seang
Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP)

Yang Berhormat Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri

YB Tuan Wong Hon Wai
Ahli Parlimen Bukit Bendera

YB Puan Senator Lim Hui Ying
Ahli Dewan Negara

Yang Dihormati Ketua-Ketua Jabatan Negeri Pulau Pinang

Dif-dif Kehormat

Rakan-rakan media

Tuan-tuan dan Puan-puan yang dihormati sekalian.

Selamat Pagi dan Salam Sejahtera.

Terlebih dahulu saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan jutaan terima kasih kepada Perbadanan Bukit Bendera Pulau Pinang (PBBPP) kerana berjaya menganjurkan Majlis Perasmian Stesen Bawah Bukit Bendera (Fasa 3) pada pagi yang berbahagia ini.

Kawasan Stesen Bawah Bukit Bendera ini telah dilakukan kerja-kerja menaiktaraf untuk tujuan pembesaran kawasan bagi memberikan keselesaan kepada pengunjung di samping meningkatkan kemudahan sedia ada. Idea bagi pembinaan projek ini telah diketengahkan beberapa tahun yang lalu, selepas melihat destinasi pelancongan ini mengalami kesesakan teruk terutamanya ketika mereka sedang menanti giliran untuk menaiki funikular untuk sampai ke puncak Bukit Bukit Bendera, menjelang musim cuti sekolah.

Majlis pecah tanah dengan kos perbelanjaan berjumlah RM7.8 juta ini telah dilakukan pada 10 Mac 2017. Keluasan sekitar kawasan ini sebelum kerja-kerja menaiktaraf adalah 2,522 meter persegi, dan selepas kerja-kerja menaiktaraf siap, keluasan kawasan Stesen Bawah Bukit Bendera ini adalah 4,074 meter persegi.

Pembangunan projek Stesen Bawah Bukit Bendera (Fasa 3) ini telah dilaksanakan dalam beberapa peringkat, antaranya ialah penambahbaikan kemudahan, memperluaskan ruang kawasan menunggu, menyediakan lot kedai makanan dan minuman, tandas awam, dewan dan surau serta menaik taraf kaunter tiket Bukit Bendera. Galeri di kawasan menunggu yang terletak di Stesen Bawah juga telah dibangunkan dengan mempamerkan maklumat berinfomasi berkaitan sejarah dan alam semulajadi yang terdapat di Bukit Bendera.

Saya dimaklumkan bahawa terdapat beberapa pihak yang telah menghasilkan karya seni yang kreatif dan menarik bagi mencantikkan kawasan sekitar Stesen Bawah ini seperti Syarikat LLA Sdn Bhd dan Fuan Wong yang telah bekerjasama menggunakan bahan kitar semula iaitu sheave dari funikular generasi ketiga untuk membina arca.

Selain daripada itu, Dr. Esther Geh juga telah mengilhamkan lukisan flora dan fauna yang begitu indah, dilukis pada tiang-tiang Stesen Bawah Bukit Bendera serta Encik Thomas Powell yang telah menghasilkan karya seni lukisan bertemakan kehidupan alam semulajadi yang diletakkan di atas bumbung Stesen Bawah Bukit Bendera. Tahniah dan terima kasih saya ucapkan atas sumbangan anda.

PBBPP juga turut memperkenalkan sistem E-boarding atau EQMS di Stesen Bawah bagi membolehkan pengunjung menikmati pengalaman yang lebih baik ketika menggunakan perkhidmatan funikular. Melalui sistem ini, pengunjung akan dimaklumkan mengenai anggaran masa bagi menaiki funikular dan pengunjung hanya perlu beratur untuk menaiki funikular apabila nombor kumpulan mereka dipanggil. Sementara menunggu untuk menaiki funikular, pengunjung berpeluang untuk menikmati dan bersantai di kedai-kedai yang telah disediakan.

PBBPP telah menjalinkan kerjasama dengan Telekom Malaysia Berhad (TM) bagi menyediakan perkhidmatan wifi di Kawasan pelancongan ini. Melalui aplikasi ‘I-foundit’ dari TM ini, pengunjung boleh menggunakan kemudahan ini ketika berada di Stesen Bawah, Stesen Atas, kawasan Astaka dan kawasan dataran Bukit Bendera.

PBBPP juga telah bekerjasama dengan syarikat utama pengendali mudah alih bagi meningkatkan kemudahan rangkaian dan liputan data di sekitar kawasan Bukit Bendera. Dengan peningkatan kemudahan mudah alih yang disediakan, pengunjung kini boleh berhubung dengan orang tersayang atau rakan-rakan mereka sambil menikmati keindahan alam semulajadi atau ketika mereka sedang berehat di sekitar Bukit Bendera.

Penyediaan kemudahan ini adalah sejajar dengan usaha Kerajaan Negeri untuk menjadikan Pulau Pinang sebagai sebuah negeri pintar menjelang tahun 2030, sejajar dengan visi Penang2030 yang dilancarkan oleh Kerajaan Negeri dengan salah satu daripada empat temanya iaitu ‘Invest in Built Environment’ di mana Kerajaan Negeri akan memberikan penekanan kepada pengukuhan mobiliti, liputan serta infrastuktur digital.

Pada tahun lepas, Bukit Bendera telah mencatatkan lebih dari 1.742 juta pengunjung, iaitu jumlah tertinggi yang pernah direkodkan setakat hari ini berbanding dengan tahun-tahun yang lepas. Pencapaian ini adalah disebabkan oleh peningkatan infrastruktur, kemudahan, tarikan baru seperti The Habitat, aktiviti di puncak bukit seperti ‘Nature Walk’ secara percuma serta peningkatan perkhidmatan lain yang menyebabkan populariti dan reputasi Bukit Bendera semakin meningkat dan menjadi destinasi pilihan bagi pengunjung dari dalam mahupun luar negara.

Akhir kata, saya mengucapkan sekalung tahniah kepada kakitangan Perbadanan Bukit Bendera Pulau Pinang serta semua pihak yang terlibat kerana berjaya menyiapkan projek Fasa 3 ini. Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pengunjung atas sokongan berterusan kepada Bukit Bendera dan menjadikan Bukit Bendera sebagai destinasi bukit peranginan terunggul di Malaysia dan rantau ini.

Saya yakin bahawa PBBPP akan terus komited dalam memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada pengunjung Bukit Bendera pada masa akan datang

Akhir kata dengan ini saya merasmikan projek Stesen Bawah Bukit Bendera Fasa 3.

Sekian terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang