MAJLIS PECAH TANAH PROJEK PERUMAHAN KOS SEDERHANA RENDAH (LMC) PINTASAN CECIL, PLOT A, PINTASAN CECIL, GEORGE TOWN

TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG

SEMPENA MAJLIS PECAH TANAH PROJEK PERUMAHAN KOS SEDERHANA RENDAH (LMC) PINTASAN CECIL,

PLOT A, PINTASAN CECIL, GEORGE TOWN

PADA 16 FEBRUARI 2019 (SABTU), 9.30 PAGI

 

YB. DATO' IR. HJ. AHMAD ZAKIYUDDIN BIN ABDUL RAHMAN
TIMBALAN KETUA MENTERI 1

YB. PROF. DR. RAMASAMY A/L PALANISAMY
TIMBALAN KETUA MENTERI 2

YB. JAGDEEP SINGH DEO A/L KARPAL SINGH
EXCO PERUMAHAN, KERAJAAN TEMPATAN DAN PERANCANGAN BANDAR & DESA

YB. DATO' SERI FARIZAN BIN DARUS
SETIAUSAHA KERAJAAN NEGERI

YANG BERHORMAT AHLI-AHLI EXCO

YANG BERBAHAGIA DATO’ ROSLI JAAFAR
PENGURUS BESAR PERBADANAN PEMBANGUNAN PULAU

DIF-DIF KEHORMAT

RAKAN-RAKAN MEDIA

TUAN-TUAN DAN PUAN-PUAN YANG DIHORMATI SEKALIAN

Selamat Pagi dan Salam Harapan.

Saya berasa amat berbesar hati pada hari ini kerana dapat bersama-sama dalam Majlis Pecah Tanah Projek Perumahan Kos Sederhana Rendah (LMC) Pintasan Cecil.

Projek Perumahan Kos Rendah di Pintasan Cecil ini adalah inisiatif Kerajaan Negeri untuk membangunkan lebih banyak rumah mampu milik di Pulau Pinang. Projek ini terletak di atas tanah seluas 2.059 ekar, terdiri daripada satu blok rumah pangsa setinggi 24 tingkat dengan 348 unit rumah kos sederhana rendah dan 9 unit unit kedai akan dibina. Projek perumahan awam atau rumah mampu milik ini dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri dan PDC telah dilantik sebagai pengurus projek / pemaju yang menguruskan pembangunan projek ini. Kos Pembangunan Kasar (GDC) untuk projek Pintasan Cecil ini adalah sebanyak RM55.9 juta dan kontrak projek ini telah diberikan kepada Kok Aun Engineering Sdn Bhd melalui tender terbuka.

Di samping menyediakan perumahan yang mampu dimiliki oleh rakyat, objektif lain projek ini adalah untuk memindahkan atau menempatkan semula penduduk setinggan di kawasan Pintasan Cecil dan Weld Quay ke pembangunan ini. Kemudahan-kemudahan yang disediakan di dalam pembangunan ini adalah seperti surau, dewan komuniti, kawasan rekreasi, pejabat Pengurusan (M.C Office), pusat pembuangan sampah dan tempat letak kereta di aras podium. Semua kemudahan-kemudahan ini diharapkan dapat memberikan persekitaran yang baik kepada komuniti setempat dan akan memupuk semangat kejiranan yang bersepadu. Ini adalah aspirasi dan komitmen kami untuk membina kediaman yang terbaik dan berkualiti dengan menyediakan kemudahan-kemudahan dan infrastruktur yang lengkap untuk masyarakat. Inisiatif kemudahan ini adalah antara salah satu komitmen yang disenaraikan dalam Visi Penang2030 yang dilancarkan tahun lepas.

Kerajaan Negeri kini mempunyai 22 projek di dalam perancangan, di mana akan terdapat lebih daripada 26,300 unit kos rendah, kos sederhana rendah dan perumahan mampu milik di semua lima (5) daerah di negeri Pulau Pinang. Satu projek telah berjaya disiapkan di mana Sijil Perakuan Siap Dan Pematuhan (CCC) telah diperolehi dan kunci telah diserahkan kepada pembeli pada 7 Mei 2018. Projek tersebut ialah Suria 1, di Bandar Cassia, Batu Kawan. Sementara itu sebanyak 6 projek lain lagi kini dalam pelbagai peringkat pembinaan seperti projek Sandilands Foreshore, The Rise SP Chelliah (DTL), Dua Residensi (DBD), Jiran Residensi (SPU), Permatang Tok Suboh (SPT), Kampong Kepala Gajah (SPS). Baki sebanyak 15 projek lain adalah dalam perancangan.

Pulau Pinang akan meneruskan visinya untuk menjadikan Pulau Pinang sebagai sebuah bandar hijau, pintar dan bertaraf antarabangsa, dengan memberi keutamaan kepada pembinaan perumahan awam dan perumahan mampu milik kepada rakyat di Negeri Pulau Pinang. Semua projek-projek ini adalah satu tanda aras kepada kerajaan negeri yang sentiasa memberi keutamaan kepada kebajikan rakyat.

Pulau Pinang akan terus menjadi negeri yang berdaya saing terutamanya dalam sektor perumahan. Dengan pentadbiran yang cekap, akuantabiliti dan telus, Pulau Pinang pasti akan menjadi destinasi yang popular sebagai sebuah bandar untuk didiami.

Saya percaya pasaran perumahan di Pulau Pinang akan terus berada di tahap yang baik selagi permintaan untuk unit-unit kediaman dari golongan berpendapatan pertengahan atau sederhana dan berpendapatan rendah dipenuhi. Kerajaan Negeri juga yakin bahawa “liveability” itu dipengaruhi oleh kualiti kehidupan yang lebih baik untuk setiap lapisan masyarakat.

Dengan ini, saya dengan sukacitanya merasmikan Majlis Pecah Tanah Projek Perumahan Kos Sederhana Rendah (LMC) Pintasan Cecil, Pulau Pinang.

Sekian, terima kasih.

 

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang