MAJLIS PECAH TANAH PROJEK KLINIK KESIHATAN (JENIS 2) BANDAR PERDA, SEBERANG PERAI TENGAH  

UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG

DI MAJLIS PECAH TANAH PROJEK KLINIK KESIHATAN (JENIS 2) BANDAR PERDA, SEBERANG PERAI TENGAH

 

6 APRIL 2019

BANDAR BARU PERDA, SEBERANG PERAI TENGAH

Yang Berhormat Dr. Afif bin Bahardin

EXCO Pertanian & Industri Asas Tani,Luar Bandar dan Kesihatan

Yang Berusaha Dr. Rokiah binti Mohd

Wakil Pengarah Kesihatan Negeri Pulau Pinang merangkap Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Kesihatan Awam)

Yang Berusaha Dr. Faridah binti Abu Bakar

Pengarah Bahagian Pembangunan Kesihatan Keluarga Kementerian Kesihatan Malaysia

 

Yang Berbahagia IR. Shahabuddin bin Mohd Muhayidin

Pengarah Jabatan Kerja Raya Negeri Pulau Pinang

Ketua-Ketua Jabatan Persekutuan dan Negeri

Rakan -rakan media

 

Tuan-tuan dan Puan-puan yang saya hormati sekalian

Salam Pagi dan Salam Sejahtera.

Terlebih dahulu saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan jutaan terima kasih kepada Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang atas kesudian menjemput saya bagi bersama-sama memeriahkan Majlis Pecah Tanah Projek Klinik Kesihatan (Jenis 2) Bandar Perda, Seberang Perai Tengah (SPT) pada pagi yang berbahagia ini.

Seperti mana yang dinyatakan, peruntukan sebanyak RM1.6 bilion telah diluluskan oleh Kerajaan Persekutuan untuk pembangunan  12 buah projek di negeri ini merangkumi projek-projek menaiktaraf hospital, pembinaan klinik kesihatan baru dan pembelian peralatan-peralatan perubatan. Dan daripada jumlah tersebut, RM26 juta telah diluluskan untuk pembinaan Klinik Kesihatan (Jenis 2) di Bandar Perda ini.

Kerja-kerja pembinaan projek ini dijangka siap pada Februari 2021 dan ia terdiri daripada tiga (3) komponen utama iaitu bangunan klinik (yang dapat menampung sejumlah 600-800 pesakit/sehari), blok sokongan dan blok sampingan. Dan saya percaya, pembinaan dan pembangunan klinik ini pasti memberikan manfaat dan kegembiraan kepada penduduk sekitar terutama di kawasan Bandar Perda, Permatang Pauh dan sekitarnya. di samping memberikan persekitaran rawatan yang lebih selesa dan kondusif kepada para pelanggan.

Seperti mana komitednya Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam menyediakan perkhidmatan kesihatan yang bermutu tinggi dan memberikan persekitaran rawatan yang lebih selesa dan kondusif kepada rakyat, Kerajaan Negeri juga tidak terkecuali dan turut memainkan peranan yang hampir sama dalam memastikan kebajikan rakyat negeri ini terus terpelihara.

Dalam visi Penang2030 iaitu sebuah pelan pembangunan negeri untuk tempoh 10-12 tahun akan datang, Kerajaan Negeri telah mewujudkan jalinan kerjasama yang erat bersama UN-Habitat agar segala bentuk dan perancangan yang dirangka dapat bergerak seiring dengan matlamat menjadikan negeri ini sebagai negeri antarabangsa dan pintar.

Selepas beberapa siri penglibatan awam bersama pelbagai pihak swasta dan agensi kerajaan, Kerajaan Negeri terbuka untuk sebarang bentuk cadangan dan idea demi penambahbaikan termasuk untuk sektor kesihatan ini.

Dalam menjaga aspek kesihatan rakyat negeri ini, sebagai contoh, Kerajaan Negeri telah memperkenalkan program mammo-penang pada tahun 2015 sebagai langkah awal bagi membantu golongan wanita yang berusia 35 tahun ke atas bagi mengesan kanser payudara. Sehingga tahun 2018, seramai 11,834 orang telah menerima manfaat daripada program ini. Dan daripada jumlah itu, seramai 828 wanita telah dirujuk ke hospital utk mendapatkan rawatan & penyiasatan lanjut.

Untuk tahun 2019, sekali lagi Kerajaan Negeri akan menjalinkan kerjasama dengan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) bagi tempoh 3 tahun (bermula 2019-2022) dan telah memperuntukkan sebanyak RM2.658 juta bagi menjayakan program ini dan juga menyasarkan 5,000 wanita akan mendapat manfaat setiap tahun.

Seiring dengan pembangunan dan bantuan daripada Kerajaan Persekutuan dan inisiatif-inisiatif berterusan daripada Kerajaan Negeri, diharap rakyat negeri ini akan terus menerima manfaat sekaligus mewujudkan kesedaran tinggi di kalangan masyarakat mengenai pentingnya memiliki kesihatan yang terjaga. 

Besarlah harapan saya sebagai wakil Kerajaan Negeri agar kerjasama yang lebih erat dapat dijalin bersama dengan Kerajaan Persekutuan demi memastikan aspirasi dan pembangunan yang dijalankan merangkumi secara holistik dan memberi manfaat kepada rakyat negeri ini.

Akhir kata, semoga dengan beroperasinya klinik ini kelak akan mengurangkan kesesakan terutama di klinik-klinik kesihatan berhampiran seperti Klinik Kesihatan Seberang Jaya, Klinik Kesihatan Berapit dan Jabatan Pesakit Luar Hospital Bukit Mertajam yang diketahui umum menerima jumlah pelanggan yang sangat tinggi.

Dengan kata-kata tersebut, saya dengan ini merasmikan Majlis Pecah Tanah Projek Klinik Kesihatan (Jenis 2) Bandar Perda, Seberang Perai Tengah.

Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang