MAJLIS ANUGERAH PERKHIDMATAN CEMERLANG (2018)

TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG

SEMPENA MAJLIS ANUGERAH PERKHIDMATAN CEMERLANG (2018)

PEJABAT SETIAUSAHA KERAJAAN NEGERI PULAU PINANG

 

 

10 APRIL 2019 (11.30 PAGI)

HOTEL OLIVE TREE, BAYAN LEPAS

 

 

Selamat Pagi dan Salam Sejahtera.

Terlebih dahulu saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan jutaan terima kasih kepada Bahagian Pengurusan Sumber Manusia (BPSM), Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang selaku urus setia dan semua jawatankuasa yang terlibat atas penganjuran Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) pada pagi yang berbahagia ini.

Seperti mana yang kita semua sedia maklum, majlis ini bertujuan untuk meraikan seramai 245 orang warga penjawat awam di bawah pentadbiran Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Jabatan-jabatan Negeri dan Badan Berkanun Negeri yang telah mempamerkan perkhidmatan cemerlang yang bermutu tinggi berdasarkan prestasi tahunan pegawai sepanjang tahun 2018 mengikut kriteria-kriteria yang telah ditetapkan oleh pentadbiran ini.

Saya kira penganjuran majlis pada hari ini dengan tema “Integriti, Kreativiti dan Kegigihan Menginspirasikan Kecemerlangan” menjadi salah satu manifestasi dan bukti betapa Kerajaan Negeri dan pengurusan tertinggi PSUKPP sangat prihatin akan kebajikan penjawat awam di bawah pentadbiran negeri ini. Setiap titik keringat dan kudrat semua penjawat awam sentiasa diambil kira kerana Kerajaan Negeri percaya sememangnya perkhidmatan awam merupakan tulang belakang dan jentera penggerak utama kepada dasar-dasar yang telah dan akan digubal demi kesejahteraan dan kelangsungan negeri ini.

Rata-rata mengakui perkhidmatan sektor awam kini berhadapan dengan pelbagai risiko dan menuntut agar kita semua supaya lebih responsif dan telus ketika proses penyampaian. Setiap langkah dan pergerakan kita setiap hari akan sentiasa ada mata-mata yang memandang sekaligus memerlukan kita semua agar sentiasa bersedia untuk menghadapi segala kemungkinan yang bakal terjadi.

Cabaran pada hari ini adalah bagaimana untuk kita semua menyakinkan para pelanggan bahawa perkhidmatan yang kita tawarkan adalah cepat, tepat dan berkualiti. Sentimen dan isu-isu seperti kelewatan, kerenah birokrasi dan kepelbagaian Standard Operating Procedure (SOP) perlu terus diperbaiki agar sistem penyampaian pentadbiran awam sentiasa relevan di kalangan para pelanggan. Saya kira inisiatif-inisiatif dan proses pemantauan secara berterusan perlu dilaksanakan dalam proses melestarikan dan meningkatkan produktiviti perkhidmatan awam masa kini. 

Kita tidak boleh membuat andaian bahawa perkara yang betul dan relevan pada masa lalu kekal relevan pada hari ini. Segala tindakan yang dilaksanakan di dalam pentadbiran negeri seharusnya berubah mengikut peredaran masa terutama dalam cara kita bekerja, berfikir, berinteraksi dan bertindak, seiring dengan keadaan dan keperluan semasa. Hanya dengan itu mampu membawa sistem pentadbiran awam Negeri Pulau Pinang menuju ke sasaran menjadi negeri yang bertaraf antarabangsa dan pintar.

Tuan-tuan dan Puan-puan,

Slogan Cekap, Akauntabiliti dan Telus (CAT) yang telah dipraktikkan sejak sekian lama masih menjadi pegangan utama dan akan terus dijadikan panduan oleh pentadbiran ini ke arah sasaran Visi Penang2030. Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk menyeru kepada semua yang ada di sini untuk bersama-sama dengan kepimpinan Kerajaan Negeri untuk saling menyumbang idea, saranan dan kerangka demi kelangsungan negeri tercinta kita.

Untuk makluman semua, Kerajaan Negeri kini sedang dalam kerangka untuk menyiapkan perincian mengenai Penang2030 dan selepas itu, segala dasar dan pelaksanaan akan dilakukan dan melibatkan pelbagai sektor dan peringkat. Beberapa siri “engagement exercise” ataupun sesi penglibatan awam bersama pelbagai pihak swasta dan agensi kerajaan untuk Visi Penang2030 telah diadakan. Kerajaan Negeri sentiasa terbuka untuk sebarang bentuk cadangan dan idea demi penambahbaikan dasar-dasar yang dilaksanakan. Sesi engagement ini akan diadakan dari semasa ke semasa untuk mengambil maklum kehendak rakyat untuk diterjemahkan dalam bentuk program, projek, mahupun polisi yang betul-betul memanfaatkan mereka.

Visi Penang2030 ini perlu difahami kerana agenda ini akan menjadi tulang belakang dalam merencanakan pembangunan negeri yang telah semestinya memerlukan kerjasama serta penglibatan terutama kepada semua penjawat awam negeri ini.

Besarlah harapan saya agar anda yang berada di hadapan saya pada pagi ini akan menjadi penggerak demi kelangsungan pentadbiran awam Negeri Pulau Pinang. Jadikan anugerah dan penghargaan yang diterima pada hari ini sebagai pemangkin kejayaan pada hari-hari yang mendatang. Saya juga berharap agar anugerah yang diterima pada hari ini menjadi pemangkin kecemerlangan untuk mencapai inspirasi Kerajaan Negeri dalam menjadikan Pulau Pinang sebagai “A Family Focused Green and Smart State that Inspires the Nation”.

Akhir kata, saya sekali lagi ingin mengucapkan jutaan syabas dan tahniah kepada semua penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang pada hari ini. Semoga kejayaan ini akan menjadi pemangkin kepada seluruh warga penjawat awam yang lain untuk terus memberikan perkhidmatan yang terbaik, berintegriti, dedikasi dan dengan penuh semangat iltizam dalam membawa Pulau Pinang ke arah negeri bersih, hijau, sihat dan selamat.

Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang