MAJLIS ANUGERAH PELAJAR CEMERLANG STPM DAN SPM TAHUN 2018 PERINGKAT NEGERI PULAU PINANG

TEKS UCAPAN

 YANG AMAT BERHORMAT KETUA MENTERI

SEMPENA MAJLIS ANUGERAH PELAJAR CEMERLANG

STPM DAN SPM TAHUN 2018

PERINGKAT NEGERI PULAU PINANG

20 APRIL 2019 (SABTU)

GRAND BALLROOM, LEVEL 5, THE TOP, KOMTAR

Yang Berhormat Dato' IR. Hj. Ahmad Zakiyuddin Bin Abdul Rahman
Timbalan Ketua Menteri I

Yang Berhormat Prof. Dr. P. Ramasamy a/l Palanisamy;

Timbalan Ketua Menteri II

Yang Berhormat Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan;

Yang Berhormat Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri;

Ketua-ketua Jabatan;

Pengetua-Pengetua dan Guru-Guru Sekolah;

Para pelajar dan Ibu Bapa;

Rakan-rakan Media; seterusnya

Para hadirin yang saya hormati sekalian.

Selamat Petang dan Salam Sejahtera.

  • Pertama sekali saya ingin melahirkan rasa gembira kerana pada petang yang harmoni ini, kita dapat berkumpul bersama-sama bagi memberi pengiktirafan kepada para pelajar-pelajar yang telah berjaya mencapai tahap cemerlang khusus dalam peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Tahun 2018 yang lalu.
  • Syabas dan setinggi-tinggi tahniah saya ucapkan kepada semua kerana majlis anugerah ini merupakan penghargaan istimewa oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang bagi mengiktiraf pencapaian cemerlang para pelajar. Saya percaya sokongan dan pengiktirafan yang diberikan ini akan meningkatkan lagi semangat semua pelajar termasuk guru-guru dan ibu bapa dan seterusnya memberi motivasi untuk terus berusaha bagi mencatat kejayaan di masa akan datang.

Sidang hadirin sekalian,

  • Saya dimaklumkan bahawa tahun ini adalah tahun pertama Majlis Anugerah Pelajar Cemerlang untuk STPM dan SPM Tahun 2018 Peringkat Negeri Pulau Pinang diadakan secara serentak dan oleh kerana itu, pada petang ini kita dapat saksikan begitu ramai pelajar dan ibu bapa yang hadir. Saya difahamkan seramai 51 orang pelajar cemerlang STPM dan 251 pelajar cemerlang SPM bagi tahun 2018 yang akan menerima Anugerah Pelajar Cemerlang pada hari ini.
  • Kerajaan Negeri amat berbesar hati untuk menghargai kecemerlangan pelajar-pelajar ini dengan memberikan insentif sebanyak RM1,000.00 kepada setiap pelajar cemerlang dalam STPM dan insentif sebanyak RM500.00 kepada pelajar cemerlang SPM. Begitu juga bagi golongan istimewa, Kerajaan Negeri tidak pernah melupakan pelajar mereka. Insentif yang sama akan turut diberikan kepada 9 orang pelajar cemerlang kategori Khas bagi STPM dan juga SPM.

Tuan-tuan dan puan-puan,

  • Kecemerlangan para pelajar tidak lahir daripada usaha individu sahaja, tanpa bantuan guru dan pendidik, usaha mereka mungkin tidak ke mana. Sehubungan itu, Kerajaan Negeri turut mengucapkan tahniah dan syabas kepada para pendidik yang turut menunjukkan kegigihan mereka dalam memastikan pelajar-pelajar ini mendapat ilmu dengan cara yang betul untuk meraih kejayaan seperti hari ini. Dengan itu, Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan turut memberikan penghargaan kepada tiga buah sekolah cemerlang dalam STPM dan juga SPM yang lepas.
  • Tidak dilupakan juga sokongan, doa, semangat dan dorongan daripada semua ibu bapa pelajar-pelajar cemerlang ini, syabas dan tahniah diucapkan. Mereka inilah sebenarnya tulang belakang kejayaan anak-anak kita pada hari ini. Tanpa mereka, siapalah kita. Kepada para pelajar, hargailah setiap keringat ibu bapa anda demi memastikan kejayaan anda pada hari ini dan hari-hari yang akan datang.

Sidang hadirin sekalian,

  • Visi Penang2030: “A Family Focused Green and Smart State that Inspires the Nation” yang telah dilancarkan pada Ogos 2018 merupakan dasar Kerajaan Negeri yang bakal memacukan warga Pulau Pinang ke era gemilang. Akan tetapi, visi ini tidak dapat direalisasikan tanpa penglibatan semua yang terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat. Demi merencanakan pembangunan negeri, saya menyeru kepada semua rakyat negeri ini agar memberi kerjasama serta penglibatan dengan menyumbang idea, saranan dan kerangka bagi merealisasikan visi ini.
  • Kerajaan Negeri sentiasa mengalu-alukan usaha dan inisiatif pelbagai pihak untuk kita bersama-sama memacu kecemerlangan pendidikan negara dan melahirkan modal insan yang berkualiti. Sesungguhnya, kita menyedari bahawa generasi muda adalah aset masa depan negara. Justeru itu, kita semua perlu menggembleng segala usaha dan tenaga bagi mempersiapkan golongan ini dengan ilmu pengetahuan dan kemahiran bagi melahirkan generasi yang seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan mempunyai tahap intelektual yang tinggi, berdisiplin dan berupaya menghadapi cabaran bagi meneruskan kesinambungan kemajuan dan kemakmuran yang kita nikmati pada hari ini.
  • Dalam mengelakkan pengaliran keluar bakat-bakat tempatan, Kerajaan Negeri telah menubuhkan Penang Future Foundation (PFF) yang merupakan satu program biasiswa yang ditawarkan kepada pelajar-pelajar Malaysia yang cemerlang dan berkelayakan. Keutamaan diberikan kepada anak Negeri Pulau Pinang untuk belajar dalam jurusan terpilih dalam Institusi Pengajian Tinggi di Malaysia sahaja. Syarat yang dikenakan kepada penerima biasiswa pula ialah mereka perlu bekerja di Pulau Pinang tidak kira dengan pihak kerajaan mahupun swasta untuk satu tempoh masa tertentu selepas menerima ijazah. Sehubungan itu, bagi pelajar-pelajar cemerlang ini, saya ingin menyeru anda untuk mengambil peluang istimewa ini yang ditawarkan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk anak-anak Negeri Pulau Pinang dengan harapan yang tinggi agar selepas ini, anak-anak ini dapat kembali untuk menabur bakti kepada Negeri kita yang tercinta ini.
  • Saya juga berharap agar anugerah yang diterima pada hari ini menjadi pemangkin kecemerlangan bagi para pelajar sekaligus menaikkan imej Negeri Pulau Pinang dalam usaha membawa negeri ini mencapai Visi Penang2030.
  • Akhir kata, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada tenaga penggerak majlis kita pada hari ini daripada Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang serta terima kasih kepada semua pihak-pihak lain yang turut terlibat secara langsung mahupun tidak bagi memastikan kelancaran majlis pada hari ini. Sekali lagi ucapan syabas dan tahniah kepada semua pelajar, ibu bapa dan guru-guru. Harapan saya agar kita semua akan terus bersama-sama mencipta dan mengukir kejayaan dalam semua bidang yang sedang dan bakal diceburi.
  • Dengan ini saya merasmikan Majlis Anugerah Pelajar Cemerlang STPM dan SPM Tahun 2018 Peringkat Negeri Pulau Pinang.

Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang