UCAPAN PENGGULUNGAN PERSIDANGAN DEWAN UNDANGAN NEGERI PULAU PINANG MESYUARAT PERTAMA PENGGAL KEDUA

 

UCAPAN PENGGULUNGAN

YAB KETUA MENTERI TUAN CHOW KON YEOW

PERSIDANGAN DEWAN UNDANGAN

NEGERI PULAU PINANG

MESYUARAT PERTAMA PENGGAL KEDUA

DEWAN UNDANGAN NEGERI KEEMPAT BELAS

 

03 MEI 2019 (JUMAAT)

 

 

Yang Berhormat Dato’ Speaker,

 

Yang Berhormat Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri,

 

Selamat Petang dan Salam Sejahtera.

 

PENGENALAN

 

Terlebih dahulu, saya ingin mengambil kesempatan untuk merakamkan penghargaan dan syabas kepada semua Ahli Yang Berhormat yang  telah mengambil bahagian dan menunjukkan komitmen yang tinggi dalam sesi perbahasan ucapan Tuan Yang Terutama Yang Di-Pertua Negeri untuk persidangan Dewan Undangan Negeri pada kali ini. Penglibatan semua Ahli Yang Berhormat dalam memberi idea dan cadangan sememangnya sangat membantu demi pembangunan negeri ini.

VISI PENANG2030

Sebagaimana yang semua sedia maklum, saya telah melancarkan buku panduan dan laman sesawang Visi Penang2030 pada 27 April 2019 yang lalu. Besar harapan saya agar Penang2030 menjadi visi kita bersama dan bukan hanya sekadar menjadi visi Ketua Menteri. Buku panduan ini mengandungi perincian teras utama dan inisiatif strategik yang lebih terperinci untuk mengangkat negeri ini ke satu lagi tahap kemajuan. Umum tahu bahawa Kerajaan Negeri telah mengecapi kejayaan dalam pelbagai sektor seperti perkhidmatan, pembuatan, infrastruktur dan sebagainya. Ia adalah usaha keras Kerajaan Negeri selama 11 tahun dan saya bersyukur kerana menjadi Ketua Menteri ketika teras pembangunan negeri ini telah pun kukuh. Namun, melalui Visi Penang2030, fokus Kerajaan Negeri adalah untuk meningkatkan kualiti kehidupan rakyat di samping mewujudkan persekitaran kehidupan yang livable seiring dengan arus pembangunan yang pesat. Inilah yang dinamakan pembangunan yang mampan dan mesra rakyat.

Penang2030 merupakan satu visi dan pendekatan yang terhasil melalui proses perbincangan dengan pelbagai pihak di semua peringkat dan lapisan masyarakat. Kerajaan Negeri telah memastikan penglibatan rakyat dalam proses penetapan visi ini dan seterusnya bertanggungjawab terhadap masa depan mereka sendiri. Ia merupakan proses untuk menggalakkan rakyat untuk menjadi lebih proaktif serta terlibat dalam proses pembuatan keputusan Kerajaan Negeri. Tugas Kerajaan adalah untuk menasihati, menggalakkan dan membantu penglibatan rakyat serta menjadi pengemudi ke arah kebaikan bersama di samping memastikan infrastruktur asas disediakan serta penyelenggaraannya dijalankan dan dipantau dengan berkesan.

Buku Panduan Penang2030 adalah merupakan sebuah dokumen yang sentiasa berkembang dan menggambarkan matlamat Kerajaan Negeri untuk memastikan tiada sesiapapun yang ketinggalan tatkala negeri Pulau Pinang bergerak lebih maju. Dokumen ini juga bertujuan untuk memberi inspirasi kepada negeri-negeri lain di seluruh negara untuk bekerjasama dengan pelbagai pihak demi kemajuan negeri dan negara.

Yang Berhormat Dato’ Speaker,

Sudah setahun PRU14 berlalu, maka sudah tiba masanya Kerajaan Negeri menunjukkan sikap yang lebih proaktif dalam menggalakkan pengagihan kuasa yang lebih adil dan cekap bagi menyediakan perkhidmatan awam dan perancangan tenaga kerja untuk masa hadapan.

Selaras dengan inisiatif strategik – Mempercepatkan Penyampaian Program dan Reformasi Institusi, satu Unit Data Raya (Big Data) akan dibangunkan untuk memastikan data tersebut dapat membantu Kerajaan Negeri serta Pihak Berkuasa Tempatan membuat keputusan berkaitan pembentukan dasar dengan lebih cekap dan berkesan. Kerajaan Negeri memiliki kebolehan dan keupayaan untuk mempelopori proses penyaluran kuasa Kerajaan Persekutuan bagi pembangunan pelbagai aspek di negara ini. Justeru, Kerajaan Negeri boleh memulakan proses penyaluran berdasarkan isu-isu berikut:-

  1. Menyemak semula struktur percukaian bagi memastikan pengagihan hasil awam (public revenue) yang lebih adil dan cekap. Bagi aspek keadilan dan kecekapan, hasil awam adalah lebih baik jika dibelanjakan sama banyak dengan sumber percukaian itu sendiri. Berdasarkan pengiraan yang dibuat, Pulau Pinang hanya menerima dana daripada Kerajaan Persekutuan sebanyak RM126.05 per kapita pada tahun 2016, iaitu kedua terendah selepas Selangor, RM121.11 per kapita berbanding RM504.00 per kapita yang diterima oleh Perlis dan RM423.10 per kapita yang diterima oleh Sarawak.
  1. Desentralisasi/penyahpusatan pengurusan pengangkutan awam bagi membantu pembangunan berorientasikan transit (TOD) – sepertimana yang dihuraikan dalam Buku Panduan Penang2030, Inisiatif Strategik D1 - Pembangunan Seimbang Melalui Perancangan Ruang Yang Berkesan dan D2 - Memperkukuhkan Infrastruktur Mobiliti, Jaringan dan Digital. Pengangkutan awam akan menjadi lebih efektif dan lebih dihargai apabila ianya bersifat fleksibel untuk pengguna. Perkara ini bukan sekadar tentang pergerakan dari titik A ke titik B, tetapi juga berkaitan dengan kespontanan pengguna dan kebolehpercayaan perkhidmatan pengangkutan itu.
  1. Penyahgazetan (degazetting) jalan-jalan utama di bahagian Pulau dan Seberang Perai bagi meningkatkan kecekapan penyelenggaraan. Meminimumkan kemalangan trafik juga merupakan salah satu matlamat utama pentadbiran saya. Perkara ini juga terkandung dalam Penang2030 di bawah Inisiatif Strategik A2 - Terus Menambahbaik Keselamatan dan Kebersihan Awam. YB Zairil Khir Johari sendiri sudah memulakan proses penyahgazetan (degazetting) jalan-jalan persekutuan tertentu yang sudah tentunya lebih baik jika diuruskan oleh Pihak Berkuasa Negeri.
  1. Mempertingkatkan kepentingan pengetahuan tempatan dalam sistem pendidikan kita. Pengetahuan umum hanya boleh membawa kita ke peringkat tertentu sahaja. Namun, pengetahuan tentang keadaan-keadaan dan sejarah tempatan yang akan memberikan keunikan kepada rakyat Pulau Pinang. Pengetahuan tempatan juga memperkuatkan lagi penghayatan kita terhadap ciri-ciri unik serta identiti kita. Oleh yang demikian, kurikulum sekolah perlulah memasukkan pengetahuan yang lebih mencerminkan pengalaman dan cara hidup setiap warga Pulau Pinang.

Semakin rapat akar umbi terhadap sesuatu keputusan yang dibuat berkenaan perkhidmatan awam, semakin cekap penggunaan dana awam dapat dimanfaatkan. Berdasarkan kesimpulan ini, Kerajaan Negeri akan mengkaji kemungkinan untuk menubuhkan sebuah jawatankuasa bebas yang terdiri daripada pakar untuk mengkaji perkara ini dengan lebih terperinci. Apabila laporan daripada jawatankuasa ini siap, pentadbiran saya akan meneliti dan menyerahkannya kepada Kerajaan Persekutuan.

Projek-projek lain Penang2030 yang sedang dirancang di bawah tema D - Memberi Penekanan dalam Persekitaran Terbina untuk Menambahbaik Daya Tahan Persekitaran adalah seperti projek adaptasi perubahan iklim (inisiatif strategik D4). Pihak Kerajaan Negeri akan bekerjasama dengan organisasi antarabangsa untuk membangunkan rancangan adaptasi perubahan iklim pertama negara yang akan merangkumi strategi penyejukan bandar dan penggunaan prinsip-prinsip sponge city untuk mencegah mahupun mengurangkan risiko banjir. Inisiatif ini adalah penting bagi mewujudkan satu rangkaian penghubung hijau di sepanjang persisiran pantai dan sungai atau green connectors juga berkait rapat dengan inisiatif strategik A4 - Mempelbagaikan Kemudahan Rekreasi, Sukan, Kesenian dan Kebudayaan. Sehubungan itu, Kerajaan Negeri melalui kerjasama MBPP dan Think City kini dalam proses membangunkan satu kerangka pelaksanaan bagi tujuan mengemukakan permohonan kepada World Bank Adaptation Fund.

Di samping permohonan tersebut, inisiatif-inisiatif lain yang juga merupakan sebahagian daripada Pelan Adaptasi Perubahan Iklim tersebut adalah seperti pembaharuan dan pemulihan Sungai Prai, penghijauan kawasan perindustrian, bangunan hijau, pelaburan dalam tenaga yang boleh diperbaharui dan pengangkutan awam.

Tambahan pula, satu Kajian Kebolehlaksanaan telah dimulakan bagi mengkaji hubungan di antara Green Hall dan Gurney Wharf yang seterusnya akan dihubungkan dengan Taman Botani melalui kemudahan yang ditambah baik bersebelahan dengan Sungai Bagan Jermal.

Setelah Kajian Kebolehlaksanaan projek tersebut lengkap, inisiatif ini akan menyediakan satu rangkaian yang berterusan bermula dari Taman Botani, ke kawasan Taman Gurney Wharf yang ditambahbaik, Northam Beach, Green Hall, kawasan pesisiran George Town dan Clan Jetties.

DESENTRALISASI KUASA KERAJAAN PERSEKUTUAN DAN KERAJAAN NEGERI

 

Yang Berhormat Dato’ Speaker,

 

Semua sedia maklum, Pulau Pinang sering dipinggirkan dalam pelbagai perkara sejak 11 tahun lepas, daripada penganjuran acara-acara berskala besar sehinggalah permohonan peruntukan yang seringkali dipandang sepi oleh Kerajaan Persekutuan terdahulu. Mengikut statistik yang pernah dikeluarkan oleh IDEAS, Pulau Pinang berada di kedudukan ke-3 terakhir iaitu sebelum Negeri Melaka dan Perlis untuk pemberian yang diterima oleh Kerajaan Negeri daripada Kerajaan Persekutuan pada tahun 2016.  Pulau Pinang hanya menerima RM216 juta iaitu 3.8% daripada keseluruhan peruntukan yang diberikan.

Kini, setelah berada di bawah kepimpinan yang sama dengan Kerajaan Persekutuan, banyak perkara perlu dikaji semula bagi menjadikan perkongsian kuasa antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri lebih adil, saksama dan berkesan demi pembangunan jangka masa panjang Negeri Pulau Pinang. Walau bagaimanapun, Kerajaan Negeri masih terikat dan tidak boleh dengan sewenang-wenangnya untuk mengubah sesuatu perkara tersebut kerana ia tertakluk kepada Perlembagaan Persekutuan.

Tanggapan bahawa negeri ini adalah merupakan negeri yang maju, kaya dan tidak perlu dibantu seharusnya dibuang dari Kerajaan Persekutuan. Kita tidak dapat nafikan bahawa Kerajaan Negeri Pulau Pinang menerima peruntukan yang amat kecil sejak tahun 2008 khususnya berkaitan dengan projek-projek infrastruktur, kemudahan awam, pelancongan dan lain-lain. Di bawah Rancangan Malaysia Ke-10, Kerajaan Negeri telah memohon peruntukan sebanyak RM12.56 bilion manakala di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 sebanyak RM13.87 bilion. Dari jumlah tersebut, peruntukan yang diterima adalah sangat-sangat kecil dan jika ada, ianya adalah menerusi pihak Kementerian yang berkaitan untuk pelaksanaan projek Kerajaan Persekutuan. Justeru, saya amat berharap agar Kerajaan Persekutuan pada ketika ini dapat meneliti semula kaedah pengagihan peruntukan ini agar Pulau Pinang turut sama mengecapi kemakmuran negara.

Bagi menjawab soalan berbangkit oleh YB ADUN Bukit Tengah mengenai cadangan agar Kerajaan Negeri berbincang dengan Kerajaan Persekutuan untuk menubuhkan perkhidmatan awam negeri, urusan pelantikan Pegawai Awam Negeri Pulau Pinang adalah sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, Bahagian 10, Perkara 132 menyatakan kuasa melantik adalah di bawah bidang kuasa Yang Dipertuan Agong. Dalam hal ini, Kerajaan Negeri adalah tertakluk kepada Perkara 139 (1) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan Perkhidmatan Awam Negeri Pulau Pinang adalah di bawah bidang kuasa Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA). Justeru, pelantikan rakyat tempatan Pulau Pinang tidak menjadi isu kerana keutamaan diberikan kepada rakyat Pulau Pinang walaupun pelantikan diuruskan oleh pihak SPA. Penjawat awam negeri lain yang berkhidmat di Pulau Pinang turut sama memberikan sumbangan kepada kesejahteraan dan pembangunan Negeri melalui kepakaran dan pengalaman masing- masing.

URUS TADBIR DAN PENCAPAIAN KERAJAAN NEGERI

 

Yang Berhormat Dato’ Speaker,

 

Berikutan kerisauan yang telah dibangkitkan oleh YB Bukit Tambun berhubung dengan bajet defisit yang berkemungkinan bakal dihadapi Pulau Pinang pada Tahun 2019, suka untuk saya nyatakan bahawa Kerajaan Negeri sentiasa berusaha keras untuk mengekalkan rekod kecemerlangan negeri dalam pengurusan kewangan.  

Urus tadbir yang berasaskan Cekap, Akauntabiliti dan Telus (CAT) akan terus diguna pakai dan menjadi panduan serta pegangan Kerajaan Negeri. Kerajaan Negeri berjaya mengawal perbelanjaan setiap tahun melalui langkah-langkah perbelanjaan berhemat seperti berikut:-

  • Dasar penjimatan dan kawalan perbelanjaan mengurus yang diamalkan Kerajaan Negeri melalui Surat Pekeliling Kewangan Negeri Bil. 11 Tahun 2008 dan Surat Pekeliling Kewangan Negeri Bil. 2 Tahun 2014 yang menggariskan beberapa aspek penjimatan, perbelanjaan berhemat dan kawalan dalaman yang perlu dilaksanakan bagi mengurangkan kos serta mengelakkan pembaziran.
  • Selaras dengan prinsip Cekap, Akauntabiliti dan Telus (CAT), kaedah perolehan yang diamalkan secara telus dan terbuka telah berjaya memberi nilai optimum dan "value for money" bagi perbelanjaan yang dilakukan oleh Kerajaan Negeri. Dengan ini, pelbagai projek/program berjaya dilaksanakan dan mencapai sasaran serta pada masa yang sama, memberi penjimatan kepada Kerajaan Negeri.
  • Bagi perbelanjaan pembangunan, Kerajaan Negeri menekankan supaya perancangan dan pelaksanaan projek-projek pembangunan dibuat mengikut keutamaan dan secara telus serta tender terbuka agar memberi pulangan yang lebih optimum kepada kumpulan sasar dan rakyat. Selain itu, projek usahasama dengan sektor swasta turut diberikan keutamaan.

Seperti yang dibangkitkan oleh YB Bukit Tambun, Kerajaan Negeri telah menganggarkan hasil sebanyak RM505.50 juta dan anggaran perbelanjaan sebanyak RM901.19 juta yang menyebabkan bajet defisit sebanyak RM395.69 juta bagi Tahun 2019.  Walau bagaimanapun, Kerajaan Negeri akan memastikan pengurusan kewangan Kerajaan Negeri dilakukan melalui prinsip Cekap, Akauntabiliti dan Telus (CAT) dan mengamalkan dasar penjimatan yang berterusan untuk meminimumkan defisit ini dan seterusnya cuba mencapai bajet lebihan.

PENGGERAK KOMUNITI MUDA (PEKA)

Bagi menjawab soalan tambahan YB ADUN Bagan Dalam, Penggerak Komuniti Muda (PEKA) merupakan salah satu program di bawah inisiatif Kerajaan Negeri bagi mengalakkan penglibatan anak muda dalam aktiviti kesukarelawan negeri ini. Ia dikenali sebagai Penggerak Komuniti kerana Kerajaan Negeri mahu melihat anak muda Pulau Pinang merasai pengalaman khidmat bakti kepada masyarakat. PEKA telah menjalankan pelbagai program yang telah memberi impak kepada komuniti, antaranya adalah seperti penubuhan pusat tuisyen percuma untuk keluarga golongan B40 dan juga aktiviti-aktiviti komuniti dan kesukarelawan seperti bantuan ketika banjir besar, membaiki rumah warga emas yang miskin dan pelbagai lagi. Jumlah peruntukan yang telah diberikan kepada PEKA adalah sebanyak RM203,085.00 pada tahun 2016, RM1,128,112.00 pada tahun 2017 dan RM500,000.00 pada tahun 2018. Sejak penubuhannya dari tahun 2016 sehingga Disember 2018, sebanyak 52 program telah dilaksanakan.

Penubuhan PEKA telah mendapat sambutan yang menggalakkan di kalangan anak muda Pulau Pinang dan Kerajaan Negeri percaya golongan pelapis ini mampu bergerak menyusuri akar umbi dalam membawa Visi Penang2030 ke seluruh pelosok Pulau Pinang.

PROJEK UTC DAN REVITALISASI DI KOMTAR

YB ADUN Air Putih dan Pengkalan Kota menyarankan supaya Kerajaan Negeri dapat menyegerakan proses mewujudkan UTC di KOMTAR supaya dapat beroperasi bermula tahun 2020. Sukacita saya maklumkan bahawa Kementerian Kewangan  telah membuat keputusan untuk bekerjasama dengan Kerajaan Negeri bagi mewujudkan UTC pertama di Pulau Pinang bertempat di KOMTAR melalui surat Kementerian Kewangan bertarikh 20 Mac 2019. Berdasarkan keputusan Kementerian Kewangan tersebut, kos pengubahsuaian ruang UTC ini akan dibiayai sepenuhnya oleh pihak PDC sebagai pemilik bangunan KOMTAR. Pada ketika ini, pihak Kementerian Kewangan sedang mengenalpasti jabatan/ agensi yang akan ditempatkan di UTC tersebut yang akan beroperasi mulai jam 8.00 pagi sehingga 5.00 petang, tujuh (7) hari seminggu.

Dengan kewujudan UTC KOMTAR ini kelak, Kerajaan Negeri percaya saranan YB ADUN KOMTAR untuk pemulihan dan proses revitalisasi KOMTAR akan dapat dilaksanakan secara seiring. Cadangan untuk pengelasan aktiviti perniagaan mengikut zon atau tingkat memiliki kekangan kerana banyak lot kedai dimiliki oleh pihak swasta dan individu. Oleh itu, sebarang rancangan untuk pengelasan aktiviti tersebut perlu dirundingi bersama pemilik-pemilik lot kedai tersebut terlebih dahulu. Proses ini akan memakan masa yang lama dan kejayaannya tidak dijamin. Namun, Kerajaan Negeri bersedia untuk mempertimbangkan penubuhan jawatankuasa khas bagi membincangkan tentang pemulihan KOMTAR.

 

MANIFESTO

 

Berhubung Janji No.24 dalam Manifesto Buku Harapan berkaitan pemulangan 10 peratus hasil cukai pendapatan kepada Kerajaan Negeri sepertimana yang dibangkitkan oleh YB ADUN Bukit Tengah, Kerajaan Negeri sememangnya mengambil maklum akan perkara ini. Mengambil kira perkara ini adalah isu di peringkat nasional dan serta kedudukan kewangan Kerajaan Persekutuan yang masih belum stabil, maka janji ini masih belum dapat dilaksanakan. Walau bagaimanapun, Kerajaan Negeri akan terus berhubung rapat dengan Kementerian berkaitan bagi memastikan segala janji ini dapat dilaksanakan.

Di peringkat negeri, kepimpinan Kerajaan Negeri akan memastikan 68 Manifesto Kerajaan Negeri Pulau Pinang dapat ditunaikan seperti mana yang dijanjikan. Mengikut rekod, 43 daripada 68 janji tersebut telah dilaksanakan, 11 sedang diusahakan, 10 masih di peringkat perancangan manakala 4 lagi masih di peringkat kelulusan Kerajaan Persekutuan.

PENYEDIAAN CENTRE OF EXCELLENCE (COE) UN HABITAT DI PULAU PINANG

Kerajaan Negeri bertanggungjawab untuk mewujudkan bandaraya yang mampan dan selamat untuk penduduk Pulau Pinang. Ini juga merupakan tanggungjawab global kolektif UN Habitat di bawah Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (Sustainable Development Goals - SDGs). Justeru, satu penyelesaian global hanya dapat dicapai dengan kerjasama erat semua pihak termasuklah pihak kerajaan, swasta dan orang awam untuk menjadikan Pulau Pinang  sebagai sebuah negeri yang berdaya saing dan bertaraf antarabangsa. Kerajaan Negeri melalui CMI telah menandatangani Perjanjian Persefahaman bersama UN Habitat pada 2 Oktober 2018. Salah satu hasrat Kerajaan Negeri adalah untuk menubuhkan sebuah Pusat Kecemerlangan Urbanisasi (Centre of Excellence for Urbanization - COE) oleh UN Habitat di Pulau Pinang.

Matlamat utama penubuhan COE ini adalah untuk membantu Pulau Pinang dalam menyelesaikan isu perbandaran dan ke arah penyediaan bandar lestari bertaraf antarabangsa melalui pengetahuan, pembelajaran berterusan, penyelesaian inovatif, pengukuhan keupayaan bandar dan negara untuk bertindak balas terhadap cabaran pertumbuhan bandar. Manakala visi COE ini adalah untuk mewujudkan bandaraya yang  terancang, inklusif, selamat dan mampan untuk penempatan manusia.

 

KOMUNIKASI

Di bawah portfolio MMK Komunikasi, saya telah mengadakan Mesyuarat MMK Komunikasi Bil.1/2019 yang bersidang pada 2 April 2019 bersama jabatan dan agensi di peringkat negeri mahupun persekutuan untuk menyelaras kembali tugas dan fungsi dalam penyampaian berita dan program atau aktiviti Negeri Pulau Pinang dengan cepat dan tepat. Kerajaan Negeri juga sedar bahawa media sosial memainkan peranan yang amat besar dalam sesuatu penyampaian berita kepada akar umbi.

Bagi menjawab soalan berbangkit oleh YB ADUN Batu Lancang mengenai cadangan supaya Kerajaan Negeri melancarkan kempen-kempen yang mempromosi toleransi dan perpaduan antara kaum melalui saluran media sosial. Jabatan Penerangan, Jabatan Perpaduan dan jabatan berkaitan sememangnya melaksanakan kempen-kempen atau aktiviti bagi mengukuhkan perpaduan kaum di Negeri Pulau Pinang seperti kempen kenegaraan, patriotisme, infografik, maklumat publisiti dan sebagainya yang dihebahkan melalui media sosial seperti Facebook jabatan, Twitter dan Instagram. Serentak itu, Bahagian Penerangan Kerajaan Negeri juga giat melaksanakan kempen-kempen berkaitan. Selain isi kandungan penulisan, turut diterbitkan adalah video-video, posting-posting serta pelbagai pertandingan atas talian yang diadakan dari semasa ke semasa yang bersifat muhibah berasaskan perpaduan kaum selaras dengan Visi Penang2030.

 

 

HAL EHWAL TANAH

Bagi menjawab kepada YB ADUN Sungai Dua yang mempersoalkan mengenai jawapan bertulis yang tidak jelas mengenai pelupusan dan penjualan tanah oleh Kerajaan Negeri sebanyak 1,100 ekar dengan nilai RM12.5 bilion. Untuk makluman YB ADUN, tanah kerajaan adalah tanah yang tidak dikeluarkan hakmilik. Tanah ini meliputi tanah yang terdapat di setiap daerah dan digunakan untuk pelbagai tujuan seperti tapak pejabat, tapak kuarters, simpanan jalan, simpanan parit, kawasan lapang, kawasan tadahan air dan sebagainya. Tanah kerajaan juga boleh diwujudkan akibat daripada pengambilan tanah di bawah Akta Pengambilan Tanah 1960.

Kerajaan Negeri di bawah Kanun Tanah Negara 1965 (KTN) boleh melupuskan tanah kerajaan, antara lain melalui pemberimilikan di bawah Seksyen 76, KTN dengan dikenakan bayaran premium berdasarkan harga pasaran. Penentuan premium adalah berdasarkan kepada penilaian oleh Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH). Secara umumnya, pelupusan tanah kerajaan kepada pihak-pihak yang memohon adalah seperti berikut:

  1. Agensi Kerajaan
  • Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC)

PDC merupakan antara agensi kerajaan yang banyak mendapat tanah kerajaan yang dilupuskan secara pemberimilikan. Majoriti tanah kerajaan yang dilupuskan kepada PDC adalah tanah pengambilan di bawah Akta Pengambilan Tanah 1960. Tapak ini diberimilik kepada PDC dengan dikenakan bayaran premium nominal dan bayaran khas (berdasarkan kiraan cukai tanah tertunggak). Pelupusan tanah kerajaan kepada PDC adalah bagi tujuan perindustrian, perumahan dan perniagaan.

  • Perbadanan Ketua Menteri Pulau Pinang (CMI)

CMI merupakan satu lagi agensi kerajaan yang mendapat pemberimilikan tanah kerajaan. Tanah yang dilupuskan kepada CMI adalah untuk kegunaan bagi tujuan kediaman, tempat letak kenderaan, tapak menara telekomunikasi, taman awam dan perniagaan.

1.3   Agensi-agensi kerajaan lain seperti Majlis Agama Islam Pulau Pinang, Majlis Bandaraya Pulau Pinang, Majlis Perbandaran Seberang Perai, Lembaga Wakaf Hindu dan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang bagi pelbagai tujuan seperti tapak rumah ibadat, tapak kubur, kemudahan utiliti dan sebagainya.

Sebagai contoh, PDC merupakan antara agensi kerajaan yang sering mendapat tanah kerajaan yang dilupuskan secara pemberimilikan. Pemberimilikan tanah kerajaan tersebut adalah bagi tujuan pembangunan industri oleh pihak PDC sejak dari tahun 2008 sehingga April 2019 adalah seluas lebih kurang 1,198 ekar dengan jumlah harga penjualan sebanyak RM1.4 bilion iaitu melibatkan kawasan di Taman Perindustrian Bayan Lepas, Taman Perindustrian Prai, Taman Perindustrian Bukit Tengah, Taman Perindustrian Seberang Jaya, Taman Perindustrian Bukit Minyak, Penang Science Park, Penang Science Park North dan Taman Perindustrian Batu Kawan.

YB ADUN Sungai Dua membangkitkan isu mengenai tambakan tanah sawah hingga ke kawasan tali air dan pengairan yang diwartakan dan memohon agar undang-undang iaitu denda diketatkan kepada mereka yang menjadikan kawasan tambakan sawah berkenaan sebagai kawasan pembuangan sampah. Hukuman yang dikenakan kepada tanah yang ditambun secara haram adalah terlalu rendah. Tanah sawah adalah tertakluk kepada Akta Kawasan Pengairan 1953. Mana-mana tanah sawah yang hendak dibangunkan hendaklah dikeluarkan daripada warta kawasan pengairan (warta tali air) terlebih dahulu. Kelulusan bagi proses pengeluaran daripada warta tali air adalah tertakluk kepada pertimbangan Pihak Berkuasa Negeri. Secara umumnya, tanah sawah yang ditambak yang dijadikan kawasan pembuangan sampah boleh diambil tindakan di bawah Seksyen 127, Kanun Tanah Negara 1965 atas pelanggaran syarat yang dilakukan tertakluk kepada skala pembuangan sampah yang terlibat.

Berkenaan dengan isu tanah First Grade yang dibangkitkan oleh YB ADUN Bukit Tambun dan YB ADUN Penanti bahawa status tanah tersebut bukanlah lesen untuk tuan tanah melakukan sewenang-wenangnya di atas tanah mereka. Perkara yang sama turut disuarakan oleh YB ADUN Machang Bubuk mengenai cadangan agar Kerajaan Negeri mencadangkan kepada Kerajaan Persekutuan supaya meminda Kanun Tanah Negara agar tanah-tanah yang berstatus First Grade dikenakan syarat-syarat pematuhan yang lebih ketat.

Sebagai makluman, tanah berstatus First Grade adalah tertakluk di bawah National Land Code (Penang and Malacca Titles) Act 1963. Keistimewaan tanah First Grade adalah ia tidak tertakluk kepada sebarang kategori dan syarat tanah di bawah Seksyen 53, 54, 55 dan 56, Kanun Tanah Negara 1965 dan tidak dikenakan royalti hasil tanah serta permohonan permit 4C bahan batuan, namun masih tertakluk kepada kelulusan Pelan Kebenaran Merancang dan Pelan Kerja Tanah di bawah akta Pihak Berkuasa Tempatan (PBT). Selain daripada dua (2) bentuk keistimewaan yang dinyatakan di atas, tanah First Grade adalah sama seperti tanah lain iaitu tertakluk kepada perkara berikut:

  1. Rancangan Tempatan (RT) misalnya perlingkungan (zoning) yang ditetapkan berdasarkan Rancangan Struktur Negeri Pulau Pinang (RSNPP);
  2. Permohonan kelulusan Pelan Kebenaran Merancang jika hendak dibuat pemajuan;
  • Undang-undang/ peraturan-peraturan/ warta berikut yang mana ianya perlu dikeluarkan daripada warta sebelum dibuat pemajuan iaitu:
  1. Akta Pemuliharaan Tanah 1960 (Warta Tanah Bukit);
  2. Enakmen Air 1967;
  3. Akta Kawasan Pengairan 1953;
  4. Enakmen Pembekalan Air 1998 (bagi kawasan tadahan air); dan
  5. Akta Warisan Kebangsaan 2005;
  6. Akta Pengambilan Tanah 1960; dan
  7. Kaedah-Kaedah Kuari Pulau Pinang 2018.

PENGANGKUTAN

Pulau Pinang kini ke arah mengagaskan visi pembangunan negeri melalui tema ke-4 Penang2030 iaitu melabur dalam persekitaran infrastruktur dan kemudahan awam bagi meningkatkan daya tahan dalam pelbagai keadaan (Invest in the built environment to improve resilience) adalah penting dalam pembangunan rangkaian pengangkutan secara holistik. 

Dengan usaha dan inisiatif Kerajaan Negeri untuk membangunkan rangkaian pengangkutan Negeri Pulau Pinang, Kerajaan Negeri akan dapat mencapai pertumbuhan inklusif dan mengimbangi jurang sosioekonomi antara daerah-daerah di utara dan selatan pulau supaya generasi akan datang dapat menikmati prospek kemajuan yang lebih cerah untuk memperbaiki kehidupan mereka.

Kerajaan Negeri akan memastikan kesemua garis panduan dipatuhi dan diambil kira sebelum sesuatu projek itu dimulakan. Saya ingin tekankan sekali lagi bahawa projek Lebuhraya Pan Island Link 1 (PIL1) sangat diperlukan bagi mengalihkan dan mengurangkan kesesakan trafik di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu dan Jalan Masjid Negeri.

Cadangan-cadangan yang dikemukakan oleh Ahli-Ahli Yang Berhormat akan dipertimbangkan oleh Kerajaan Negeri. Walau bagaimanapun, peruntukan atau sesuatu model kewangan amatlah penting untuk melaksanakan Pelan Induk Pengangkutan ini secara menyeluruh. Saya juga ingin menarik perhatian Yang Berhormat sekalian bahawa pembangunan mampan sesebuah negeri adalah bergantung kepada sesuatu pelan perancangan yang sistematik dan realistik yang dapat memberi impak positif kepada kadar pertumbuhan ekonomi, liveability dan sustainability sesuatu bandar. Oleh yang demikian, projek tambakan Penang South Reclamation (PSR) adalah penting dalam membiayai pelaksanaan Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang ini serta untuk pembangunan ekonomi negeri Pulau Pinang.

Perhatian yang sewajarnya akan diberikan berkaitan reka bentuk PIL1 untuk memastikan kesan dan impak yang minimum kepada alam sekitar dan komuniti setempat. Pembinaan jalan pada paras tanah sedia ada (at-grade) telah dikurangkan dan rekabentuk secara bertingkat dan terowong telah digunapakai. Daripada keseluruhan jajaran PIL1 sepanjang 19.5km, 10.1km atau 52 peratus adalah terowong manakala 7.6km atau 39 peratus adalah bertingkat untuk meminimakan pemotongan bukit. Hanya 1.8km atau 9 peratus adalah embankment. PIL1 ini terletak di kawasan berbukit yang terdiri daripada terowong dan akan mempunyai 6 lorong. PIL1 direka dengan mengambil kira alam sekitar. Membina terowong melalui bukit adalah untuk mengelakkan pemotongan bukit dan penebangan hutan. Selain itu sebuah cable-stayed bridge akan dibina di atas Taman Belia dan viaduct akan digunakan dan bukannya high-fill towers. Kos PIL1 perlulah dibandingkan secara apple to apple memandangkan rekabentuk PIL1 bukanlah rekabentuk jalan raya biasa yang dibina secara at-grade.

Untuk makluman Yang Berhormat sekalian, Kerajaan Negeri telahpun membuat pengumuman pada 16 April 2019 terhadap 56 syarat-syarat Jabatan Alam Sekitar bagi laporan EIA PIL1. Dalam mempraktikkan prinsip Cekap, Akauntabiliti dan Telus (CAT), Kerajaan Negeri akan mempamerkan 56 syarat tersebut sebelum kerja-kerja pembinaan dimulakan sebagai proses pemantauan dalam Environmental Management Plan (EMP).

Pelan mitigasi dirancang untuk menyediakan penghadang bunyi (noise barriers) di kawasan-kawasan yang sensitif serta menaik taraf dua (2) taman rekreasi utama yang berada di sekitar jajaran PIL1 ini malah terdapat perancangan untuk menambahbaik struktur PIL1 ini selaras dengan konsep greener. Walau bagaimanapun, perancangan ini hanya akan dilaksanakan setelah lebuhraya ini disiapkan.

Kerajaan Negeri percaya pembinaan lebuhraya masih perlu dilaksanakan meskipun terdapat perancangan pelaksanaan LRT kerana peralihan daripada kenderaan persendirian kepada pengangkutan awam sahaja tidak berupaya menyelesaikan masalah kesesakan lalu lintas di Pulau Pinang. Malah perubahan ini tidak boleh dijangka akan berubah dalam tempoh masa yang pendek.

Ini adalah kerana pertambahan kenderaan persendirian tidak dapat dielakkan sepenuhnya walaupun kualiti perkhidmatan pengangkutan awam dipertingkatkan dan penambahan bilangan penduduk serta pembangunan baru akan memerlukan perhubungan jalan-jalan baru dengan jalan-jalan yang sedia ada. Oleh yang demikian, jalan-jalan masih perlu dibina atau dinaiktaraf untuk menampung peningkatan dalam aktiviti perniagaan, perkhidmatan serta pekerjaan.

Penang South Reclamation (PSR)

Seperti projek-projek mega yang lain, kritikan terhadap Penang South Reclamation (PSR) tidak terkecuali. Ini adalah realitinya di mana segelintir rakyat akan menyokong dan segelintir akan membangkang. Ia menjadi satu cabaran kepada Kerajaan Negeri untuk memberi yang terbaik kepada rakyat Pulau Pinang. Bagi yang menyokong, ia menjadi tanggungjawab Kerajaan Negeri untuk memastikan projek-projek ini sama ada PTMP ataupun PSR dilaksanakan demi kepentingan rakyat. Walaupun terdapat kritikan mahupun bantahan, ia masih menjadi tanggungjawab Kerajaan Negeri untuk membantu rakyat memahami manfaat projek ini dan memastikan tiada sebarang komuniti terpinggir dari arus pembangunan Negeri Pulau Pinang. Melalui Projek PSR ini, nelayan dan keluarga mereka akan berpeluang untuk melangkaui ke arah pembangunan moden yang dapat membantu mereka mengikuti taraf kehidupan dan pendapatan serta peluang pekerjaan yang lebih baik.  Kerajaan Negeri menitikberatkan kebajikan masyarakat nelayan dengan serius. Jeti baharu akan dibina di empat (4) buah lokasi di selatan Pulau Pinang untuk kegunaan para nelayan. Mereka akan diberikan keutamaan dalam peluang perniagaan dan keusahawanan di PSR apabila projek itu bermula. Bagi mendengar rintihan serta cadangan daripada penduduk tempatan dan membantu mereka memahami projek ini, Kerajaan Negeri dengan bantuan Rakan Pelaksana Projek (PDP) telah menubuhkan pusat perkhidmatan yang dipanggil Pusat Perkhidmatan Setempat Nelayan (PPSN) di dua (2) lokasi iaitu di  Permatang Damar Laut dan Gertak Sanggul. Tambahan lagi, pelbagai forum awam telah diadakan bersama dengan penduduk Pulau Pinang sebagai platform untuk mereka bersuara. Ramai juga yang memahami bahawa projek ini akan membawa lebih banyak peluang pekerjaan terutamanya bagi generasi yang akan datang. Nelayan-nelayan juga boleh meneroka untuk peluang pekerjaan melalui perkhidmatan teksi air yang merupakan salah satu inisiatif PTMP di masa hadapan.  Oleh itu, kami percaya bahawa masa depan Pulau Pinang bergantung kepada projek-projek mega ini iaitu PTMP dan PSR. Projek-projek ini akan menjadi produk transformasi yang penting untuk pertumbuhan yang sangat kompetitif  dan memperkenalkan Pulau Pinang ke peringkat antarabangsa sebagai Negeri Pintar dalam dekad yang akan datang. Untuk makluman Yang Berhormat, Majlis Perancang Fizikal Negara (MPFN) yang telah bersidang pada 18 April yang lalu telahpun memberikan nasihat yang sewajarnya kepada Kerajaan Negeri berkenaan pelaksanaan Projek PSR ini. Pihak Kerajaan Negeri akan mematuhi nasihat MPFN dan ulasan-ulasan jabatan teknikal yang berkaitan dalam pelaksanaan projek ini selaras dengan Seksyen 2A(2)(b) Akta Perancang Bandar dan Desa 1976.

Lapangan Terbang Pulau Pinang

Kerajaan Negeri mengucapkan jutaan terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan kerana telah meluluskan pelan penaiktarafan dan pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP). Status terkini mengenai pelan ini telah dijawab secara teliti dalam beberapa soalan bertulis yang telah dikemukakan oleh Yang Berhormat sekalian.

Justeru itu, Kerajaan Negeri akan mengadakan perbincangan lanjut dengan Kementerian Pengangkutan (MOT) dan Malaysia Airport Holding Berhad (MAHB) bagi mencapai persetujuan untuk projek penaiktarafan dan pembesaran LTAPP daripada kapasiti 6.5 juta penumpang setahun pada masa ini kepada 12 juta penumpang setahun, malahan meneroka kemungkinan untuk dinaikkan sehingga mencapai 16 juta penumpang setahun. Pada masa ini, pihak MAHB telah melantik dua (2) perunding projek iaitu Consortium CPG Consultants Pte. Ltd. dan AHS Architects Sdn. Bhd.  bagi pelaksanaan projek tersebut.

Untuk memenuhi keperluan penumpang lapangan terbang dalam jangka masa panjang pula, Kerajaan Negeri juga telah memutuskan untuk melantik perunding swasta bagi menjalankan Kajian Kebolehlaksanaan ke atas cadangan Projek Lapangan Terbang Antarabangsa Koridor Utara.

Pelabuhan Pulau Pinang dan Perkhidmatan Feri

Yang Berhormat Bukit Tengah telah membangkitkan mengenai isu pelabuhan Pulau Pinang dan perkhidmatan feri. Kerajaan Negeri mengucapkan terima kasih kepada Yang Berhormat yang prihatin dengan pengangkutan air. Seperti Yang Berhormat sedia maklum, aspek kawal selia dan operasi pelabuhan Pulau Pinang adalah di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan. Kerajaan Negeri akan mengadakan rundingan lanjut mengenai perkongsian ini.

Berhubung peruntukan sebanyak RM90 juta daripada Kerajaan Persekutuan kepada Prasarana Malaysia Berhad bagi tujuan menaik taraf perkhidmatan feri Pulau Pinang, perkara ini adalah di bawah bidang kuasa Kementerian Kewangan. Walau bagaimanapuan, Prasarana komited untuk mempertingkatkan mutu perkhidmatan Feri Pulau Pinang bagi keselesaan para penumpang dengan bantuan kewangan dan sokongan daripada Kerajaan Persekutuan juga Kerajaan Negeri. Kerajaan Negeri akan merayu kepada Kerajaan Persekutuan untuk kelulusan awal peruntukan kepada Prasarana bagi menaik taraf perkhidmatan feri Pulau Pinang.

Bagi projek pembesaran Terminal Swettenham Pier Cruise, pihak Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP) telah bekerjasama dengan operator Swettenham Pier Cruise Terminal, Penang Port Sdn. Bhd. (PPSB) untuk menyediakan pelan untuk pelebaran terminal kapal tersebut. Selaras dengan itu, Kerajaan Negeri telah meluluskan tanah seluas 15,993 meter persegi untuk pajakan selama 30 tahun kepada SPPP yang telah sekian lama tertangguh dan telah diselesaikan oleh Kerajaan Negeri. Dengan pelebaran projek tersebut, ia mampu melabuhkan dua (2) buah kapal persiaran besar pada satu-satu masa.

Walau bagaimanapun, Kerajaan Negeri masih dalam peringkat perbincangan mengenai pelan dan konsep menaik taraf pembangunan yang disediakan oleh PPSB untuk memastikan pembangunan dilaksanakan secara menyeluruh/holistik dengan mengambil kira kriteria pembangunan berhampiran Kawasan Tapak Warisan Dunia UNESCO George Town, pengurusan trafik ketika kapal besar berlabuh, pengurusan pelancongan, pembuangan sisa pepejal, spill over economy dan pelbagai aspek lagi.

Kerajaan Negeri sangat prihatin dengan pembangunan ini dan George Town Conservation & Development Corporation (GTCDC) telah dipertanggungjawabkan untuk menyelia pembangunan ini bersama SPPP. Satu Pelan Induk Bersepadu untuk Pembangunan Pesisir Timur (East Seafront Development) sedang disediakan oleh GTCDC dengan mengambilkira pembangunan dari kawasan bulatan Menara Jam Queen Victoria Clock Tower sehingga kawasan Clan Jetties. Hasrat utama adalah untuk memaksimakan penggunaan tanah di sepanjang pesisir laut yang kini di dalam keadaan uzur termasuklah kawasan pemuliharaan bangunan warisan dan gudang bersebelahan dengan Swettenham Pier, pembangunan di kawasan Quadrangle dan kemungkinan pembangunan semula terminal feri Pengkalan Raja Tun Uda.

BANGUNAN BARU DEWAN UNDANGAN NEGERI (DUN)

 

Berkaitan bangunan baru Dewan Undangan Negeri dan kompleks pentadbiran, Kerajaan Negeri mengambil maklum akan perkara ini. Walau bagaimanapun, masih tiada sebarang keputusan dibuat dan ia akan dibawa untuk perbincangan Kerajaan Negeri kelak.

 

PENUTUP

Sebagaimana amanat yang disampaikan oleh Tuan Yang Terutama dalam ucapan perasmian Persidangan Dewan, saya turut menghargai perbahasan, idea bernas dan juga sokongan mahupun bangkangan yang telah dibangkitkan oleh Ahli-Ahli Yang Berhormat. Amat besar hasrat saya agar Visi Penang2030 tercapai dan Negeri Pulau Pinang menjadi negeri pintar yang menginspirasikan negara. Sebelum saya mengakhiri ucapan penggulungan ini, saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan Selamat Menyambut Bulan Ramadhan kepada semua Ahli-Ahli Yang Berhormat yang beragama Islam.

Sekian, Yang Berhormat Dato’ Speaker, saya mohon menyokong.

Terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang