PERAYAAN HARI IBU BAPA

UCAPAN YAB TUAN CHOW KON YEOW

SEMPENA PERAYAAN HARI IBUBAPA DI CHE HOON KHOR MORAL UPLIFTING SOCIETY

4 Mei 2019

 

YB Daniel Gooi
ADUN Pengkalan Kota

 

Gina Koay

President of Women Biz Sense

 

Datin Josephine Yoong
Advisor To Women Biz Sense

 

Dato’ Lim Cheah Chooi
President of Moral Uplifting Society

 

Dato’ Sim Ah Chye

Deputy President of Moral Uplifting Society

 

Para wargaemas dan kanak-kanak istimewa yang bersama dengan kita hari ini

 

Rakan-rakan dari media

Selamat pagi dan Selamat Menyambut Hari Ibu Bapa.

Saya berasa amat teruja kerana mendapat peluang untuk meluangkan masa dengan golongan warga emas, ibu bapa tunggal serta kanak-kanak isitimewa hari ini. Terima kasih saya ucapkan kepada semua yang berkhidmat untuk Pusat Khidmat Parlimen Tanjong kerana bertungkus-lumus menganjurkan program hari ini. Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Women Bizsense, MPKK Pykett Avenue, Jalan Northam serta pihak para penaja kerana turut membantu menjayakan program ini.

Tujuan program ini dianjurkan adalah untuk menyambut Hari Ibu Bapa serta untuk memberikan penekanan kepada kepentingan dan kewajiban kita terhadap golongan ibu bapa, warga emas, ibu tunggal serta golongan OKU (Orang Kelainan Upaya) dan semua ini adalah berteraskan nilai murni kasih sayang.


Kewajipan sebagai seorang anak bukanlah hanya untuk menunjukkan kasih sayang kepada orang tua kita, tetapi kita perlu meluangkan masa dengan mereka dan cuba sedaya upaya untuk memastikan kebajikan dan keperluan mereka terjaga.

Memandangkan Visi Penang2030 berhalatuju untuk memberi penekanan kepada pembangunan keluarga dalam negeri yang hijau dan pintar, Kerajaan Negeri sedang menyelaraskan pelan-pelan perancangan terdahulu untuk memastikan supaya pelan-pelan baru ini menuju impian yang sama, iaitu Negeri Pulau Pinang yang makmur dari segi ekonomi dan sosial, gembira serta harmoni.

Sinonim dengan ungkapan Penang Leads, Pulau Pinang adalah satu-satunya negeri yang mewujudkan Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga (JPWK).  Jawatankuasa ini berperanan untuk menyelaras program-program di bawah Pembangunan Wanita dan Keluarga serta memastikan visi Penang2030 yang memfokuskan kepada institusi kekeluargaan, negeri pintar dan hijau dapat direalisasikan.

Selaras dengan anjakan paradigma dalam mencapai kesaksamaan gender, Kerajaan Negeri telahpun memulakan langkah awal dengan mewujudkan satu portfolio baharu iaitu Keterangkuman Gender pada tahun 2018. Jawatankuasa ini bertanggungjawab merangka kerja, dasar dan pelan tindakan ke arah itu. Sejumlah RM200,000.00 akan diperuntukkan bagi portfolio Keterangkuman Gender untuk melaksanakan pelbagai program pada tahun 2019.

Menyedari pentingnya pembangunan keluarga dalam membantu perkembangan modal insan negeri, Kerajaan Negeri merancang untuk melaksanakan sambutan Hari Keluarga Peringkat Negeri yang juga akan menjadi agenda tahunan negeri. Justeru, sejumlah RM800,000.00 akan diperuntukkan pada tahun 2019 di bawah MMK Pembangunan Wanita dan Keluarga bagi menganjurkan sambutan ini dan mengadakan pelbagai program lain.

 

Dengan ini saya percaya kita mampu membentuk masyarakat dan komuniti yang lebih penyayang serta mengamalkan sifat altruisme. Sifat altruisme ini bukan setakat layanan kita terhadap ibubapa, malah kepada golongan yang kurang bernasib baik.

Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang