MAJLIS IFTAR RAMADAN DAN PENYAMPAIAN BANTUAN HARI RAYA AIDILFITRI 2019

UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG

SEMPENA MAJLIS IFTAR RAMADAN DAN PENYAMPAIAN

BANTUAN HARI RAYA AIDILFITRI 2019

10 MEI 2019

DEWAN BANGUNAN UMA, JALAN TRANSFER

YB Senator Dato’ Marzuki Yahya

Timbalan Menteri Luar Negeri

YB Teh Lai Heng

ADUN Komtar

Yang Dihormati T.Narenasagaran

Ketua Polis Pulau Pinang

Yang Berbahagia Dato’ Haji Haja Najmudeen Kader

Presiden Liga Muslim Pulau Pinang

Yang Berbahagia Dato’ Kadarsha bin Abdul Razak

Pengarah Urusan Nasmir Holdings Sdn Bhd

Tuan Ayub Khan

Presiden PRESMA Malaysia

Encik Mohamed Azmin bin Seeni Mohamed

Penaung Pertubuhan Kebajikan Warisan Lebuh Tamil

Yang Berbahagia Dato’ Mohamed Abdul Latif bin Abu Tahir

Penasihat Pertubuhan Kebajikan Warisan Lebuh Tamil

Encik Mohamed Asri bin Seeni Mohamed

Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Warisan Lebuh Tamil

Jawatankuasa Pertubuhan Kebajikan Warisan Lebuh Tamil

Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian

Selamat Petang dan Salam Sejahtera.

Pertama sekali saya ingin merakamkan ucapan penghargaan kepada jawatankuasa pengelola iaitu Pertubuhan Kebajikan Warisan Lebuh Tamil di atas kesudian menjemput saya bagi bersama-sama memeriahkan Majlis Iftar Ramadan dan Penyampaian Bantuan Hari Raya Aidilfitri 2019 pada petang yang berbahagia ini.

Seperti yang dimaklumkan, seramai lebih kurang 100 Orang Kurang Upaya (OKU) bakal diraikan di majlis yang sederhana tapi cukup bermakna ini. Sebagai sebuah kerajaan yang berjiwa rakyat, Kerajaan Negeri amat menghargai peranan dan sumbangan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) yang sentiasa bersama-sama Kerajaan Negeri dalam membantu golongan yang memerlukan ini terutama menjelang musim perayaan tidak lama lagi.

Meskipun Pertubuhan Kebajikan Warisan Lebuh Tamil ini masih baru dan hanya ditubuhkan pada tahun 2017, namun ia sedikit pun tidak menjadi penghalang kepada jawatankuasa ini untuk terus bergerak aktif dalam mendekati rakyat dengan penganjuran pelbagai program kebajikan dan kemasyarakatan. Tahniah dan syabas saya ucapkan.

Di pihak Kerajaan Negeri, kita akan memastikan segala program yang berteraskan kebajikan yang telah dimulakan sejak mengambil alih tampuk pemerintahan negeri ini pada tahun 2008 akan terus memberi manfaat kepada 1.6 juta rakyat negeri ini. Mengikut rekod, sebanyak RM412.63 juta telah dibelanjakan melalui penganjuran program-program i-Sejahtera yang merangkumi pemberian bantuan Warga Emas, Ibu Emas, Orang Kelainan Upaya (OKU) dan pelbagai lagi.

Kini, di bawah pentadbiran yang sama dengan Kerajaan Persekutuan, berkemungkinan terdapat bantuan yang akan dikaji semula pemberiannya memandangkan berlaku pertindihan bantuan dengan Kerajaan Persekutuan. Namun Kerajaan Negeri ingin memberi jaminan dan akan memastikan tiada sesiapa pun yang akan tercicir meskipun berlakunya rombakan dalam pengagihan bantuan ini.

Besarlah harapan saya agar penganjuran majlis seperti ini akan menjadi ikutan dan cetusan idea kepada NGO-NGO lain untuk sama-sama memikul tugas dan tanggungjawab ke arah menyantuni masyarakat yang memerlukan. Sesungguhnya peranan dalam membantu golongan sasaran ini amatlah dialukan dan ia sebenarnya adalah pelengkap kepada usaha Kerajaan Negeri dalam melaksanakan dasar-dasar baru dan sedia ada.

Sebelum mengakhiri ucapan, saya sekali lagi ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan syabas dan tahniah kepada jawatankuasa pengelola di atas kejayaan menganjurkan majlis ini. Meskipun sumbangan ini mungkin kecil, tetapi sebenarnya ia cukup bermakna kepada para penerima dan ia mampu memberi sinar dan kegembiraan dalam membuat persiapan berpuasa dan meraikan Aidilfitri ini.

Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang