PROGRAM PENYAMPAIAN HAMPER SEMPENA HARI RAYA PUASA TAHUN 2019

UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG

SEMPENA PROGRAM PENYAMPAIAN HAMPER

SEMPENA HARI RAYA PUASA TAHUN 2019

 

20 MEI 2019

 

Pertama sekali, saya ingin merakamkan ucapan penghargaan kepada jawatankuasa penganjur kerana sekali lagi berjaya menganjurkan Program Penyampaian Hamper Sempena Hari Raya Puasa Tahun 2019.

Sejak tahun 2009, Pejabat Pegawai Penyelaras Khas Ketua Menteri, Ahli Majlis MPSP dan 8 MPKK di bawah kawasan Parlimen Tasek Gelugor dan Kepala Batas tidak pernah gagal untuk meneruskan majlis amal ini setiap kali hadirnya bulan Ramadan.

Saya dimaklumkan pada awal penganjuran majlis ini pada tahun 2009, lebih kurang 100 hamper sahaja disediakan untuk diagihkan kepada kumpulan sasaran. Tetapi pada hari ini, jumlah  tersebut telah bertambah kepada 600 hamper yang akan diberikan kepada kumpulan sasaran yang terdiri daripada golongan fakir miskin, ibu tunggal serta golongan yang tidak berkemampuan di sekitar kawasan Parlimen Tasek Gelugor dan Kepala Batas. Tahniah dan syabas kepada semua atas komitmen berterusan ini.

Saya turut difahamkan pada hari ini turut diadakan majlis pemberian bantuan kepada 8 buah masjid dan surau di kawasan Parlimen Kepala Batas iaitu Surau Guar Tuan Syed, Surau Permatang Bertam, Surau Simpang Tiga Tai Tong, Surau Abdulah Fahim, Surau Taman Rupawan, Surau Guar Kepah, Masjid Bumbung Lima dan Masjid Pekan Penaga.

Semoga dengan sedikit bantuan ini dapat memberikan manfaat kepada semua yang menerima. Saya berharap usaha murni ini akan terus diadakan dan dimantapkan lagi pada masa-masa akan datang.

Di peringkat Kerajaan Negeri, kita komited dan akan terus memberikan komitmen yang tinggi terutama dalam aspek kebajikan rakyat negeri ini. Sudah tentu segala dasar dan perancangan yang akan dilaksanakan akan dilihat secara menyeluruh bagi memastikan tiada mana-mana kaum terpinggir dan tercicir dari arus pembangunan dan pemodenan.

Program dan bantuan yang telah diagihkan dan memberi manfaat kepada 1.77 rakyat Pulau Pinang sejak mengambil alih tampuk pemerintahan akan terus dilaksanakan dan diagihkan kepada mereka yang layak.

Tiada istilah rakyat di kawasan-kawasan tertentu telah diabaikan atau dipinggirkan. Seperti yang saya sering ulangi, Seberang Perai adalah masa depan untuk Pulau Pinang. Kekangan seperti tanah yang terhad di kawasan Pulau telah membawa Kerajaan Negeri untuk meneroka kawasan baru di setiap daerah di kawasan Seberang Perai terutama yang mempunyai potensi untuk menjana pembangunan sosioekonomi.

Keutamaan Kerajaan Negeri sudah tentu kepada rakyat yang telah memberi kepercayaan dan mandat yang besar untuk mentadbir negeri ini. Kepimpinan Kerajaan Negeri akan terus memainkan peranan dalam memastikan pembangunan Negeri Pulau Pinang terus maju dan kekal di hadapan manakala rakyat negeri ini boleh terus berbangga dengan kejayaan dan kemakmuran negeri yang kita cintai ini.

Akhir kata, saya sekali lagi ingin mengucapkan jutaan terima kasih dan syabas kepada semua yang terlibat dalam penganjuran majlis ini. Semoga bulan suci ini dapat diraikan dengan penuh semangat muhibah dan perpaduan di antara kita.

Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang