MAJLIS IFTAR BERSAMA PEMIMPIN PAKATAN HARAPAN PULAU PINANG

TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG

SEMPENA MAJLIS IFTAR BERSAMA PEMIMPIN

PAKATAN HARAPAN PULAU PINANG

TAHUN 2019

30 MEI 2019

Terlebih dahulu saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam memastikan ‘Penang Street Iftar’ pada petang ini dapat dijalankan dengan jayanya.

Selamat datang dan terima kasih juga kepada semua kepimpinan Pakatan Harapan, jawatankuasa masjid, wakil-wakil rumah ibadat, NGO dan rakyat negeri ini yang telah memberikan komitmen dan turut hadir bersama bagi memeriahkan majlis berbuka puasa ini.

Tuan-tuan dan puan-puan,

PENANG STREET IFTAR merupakan inisiatif Kerajaan Negeri dengan tujuan untuk menghimpunkan seluruh rakyat negeri ini dalam satu majlis berbuka puasa yang penuh keharmonian dan diraikan oleh semua lapisan masyarakat tanpa membataskan penyertaan dari segi bangsa, kaum dan agama.

Bagi pihak kepimpinan Kerajaan Negeri, kita akan terus konsisten dengan amalan pentadbiran berasaskan prinsip Cekap, Akauntabiliti dan Telus demi memberi penghidupan yang baik kepada seluruh rakyat negeri ini serta mempertahankan hak-hak keberagamaan semua bangsa. Kerajaan Negeri percaya dengan asas yang kukuh ini, Pulau Pinang akan terus kuat dan mampu menepis segala fitnah yang dilontarkan dan terus melangkah ke hadapan.

Sejajar dengan semangat Malaysia Baharu, adalah menjadi harapan Kerajaan Negeri agar Pulau Pinang terus pesat membangun dalam suasana penuh harmoni di antara semua kaum. Kerajaan Negeri amat komited ke arah melahirkan masyarakat harmoni yang berpaksikan kepada prinsip keadilan, demokrasi dan toleransi.

Kerajaan Negeri akan terus bekerja keras untuk memastikan iklim negeri ini kekal unggul dan berkembang pesat sebagaimana yang pernah kita kecapi sejak 10 tahun yang lalu. Meskipun pentadbiran kini dilihat agak mudah terutama apabila Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan sudah berada di bawah payung yang sama, ini tidak bermakna Kerajaan Negeri boleh mengambil mudah dalam pelbagai aspek pentadbiran. 

Sebagai Pengerusi Pakatan Harapan Pulau Pinang, besarlah harapan saya agar rakyat Pulau Pinang akan terus memberi sokongan yang padu kepada kepimpinan sedia ada bagi melaksanakan mandat yang diberikan ini. Diharapkan dengan kemajuan negeri yang gemilang ini akan melahirkan sokongan yang tidak berbelah bahagi dan seterusnya membantu Kerajaan Negeri dalam mencapai Visi Penang2030: A Family-Focused, Green and Smart State that Inspires the Nation.

Akhir kata, saya sekali lagi ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua yang hadir pada Majlis Iftar bersama kepimpinan Pakatan Harapan Pulau Pinang. Semoga hubungan yang terjalin pada hari ini dapat terus dikekalkan dan kekal relevan demi pengukuhan ikatan negeri dan negara tercinta kita.

Selamat menghabiskan ibadah puasa dan Selamat Menyambut Hari Raya Aidilfitri.

Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang