SIDANG MEDIA BERHUBUNG DENGAN PERKHIDMATAN KLINIK ATAS TALIAN (“DOCTORONCALL”)

TEKS UCAPAN Y.A.B KETUA MENTERI PULAU PINANG

SEMPENA SIDANG MEDIA BERHUBUNG DENGAN PERKHIDMATAN KLINIK ATAS TALIAN (“DOCTORONCALL”)

 

Terlebih dahulu, saya ingin mengambil kesempatan ini mengucapkan sekalung penghargaan kepada penganjur hari ini atas kesudian menjemput saya merasmikan kod promosi PENANG2030 bagi membolehkan pengguna Pulau Pinang menggunakan perkhidmatan DoctorOnCall.com.my dengan kadar yang rendah dan diskaun hebat.

Selaras dengan teras pertama dalam visi Penang2030 iaitu meningkatkan daya huni untuk meningkatkan kualiti kehidupan, kesejahteraan dan kesihatan rakyat Pulau Pinang yang merupakan salah satu aspek utama yang dititikberatkan dalam visi tersebut. Program Mammo-Penang dan Crush Aedes Totally (CAT) merupakan antara inisiatif atau program yang telah dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri untuk membantu rakyat Negeri Pulau Pinang bagi mendapatkan perkhidmatan akses yang mudah dan berkemampuan terhadap kemudahan kesihatan. Jadi, untuk meneruskan tanggungjawab sosial Kerajaan Negeri, saya ingin memperkenalkan dan menyeru rakyat Pulau Pinang untuk menggunakan perkhidmatan konsultasi doktor dalam talian yang pertama dan terbesar di Malaysia iaitu DoctorOnCall.com.my.

DoctorOnCall.com.my merupakan sebuah platform atas talian yang menyediakan perkhidmatan konsultasi kesihatan bersama doktor-doktor yang berdaftar penuh dengan Majlis Perubatan Malaysia. Saya difahamkan melalui perkhidmatan yang disediakan, pesakit hanya memerlukan peranti yang mempunyai akses internet untuk berhubung terus dengan seorang doktor secara atas talian. Lebih daripada 80 orang doktor yang terdiri daripada pelbagai kepakaran bersedia untuk memberikan konsultasi berkenaan penyakit-penyakit seperti batuk, selsema, demam, masalah kulit seperti kudis buta, penyakit jangka panjang seperti kencing manis, tekanan darah tinggi, kolestrol dan lain-lain.

Sehubungan dengan itu, DoctorOnCall.com.my akan bekerjasama dengan Kerajaan Negeri Pulau Pinang dalam meningkatkan kualiti kehidupan rakyat pulau pinang untuk mendapatkan akses yang mudah dan berkemampuan terhadap perkhidmatan kesihatan. Melalui kerjasama ini, masyarakat Pulau Pinang boleh mendapatkan perkhidmatan kesihatan secara atas talian sekaligus membantu kerajaan menyediakan perkhidmatan kesihatan kepada masyarakat di kawasan pedalaman. Saya percaya perkhidmatan DoctorOnCall.com.my ini juga akan dapat menyumbang kepada program “Penang Sihat”.

Akhir kata, saya menggalakkan rakyat Pulau Pinang untuk menggunakan perkhidmatan DoctorOnCall.com.my dengan melayari laman web www.DoctorOnCall.com.my atau telefon terus ke HOTLINE DoctorOnCall 03-84082000 sekiranya terdapat masalah kesihatan dan mendapatkan rawatan segera. Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang