JAMUAN MINUM PETANG BERSAMA NORTHERN BIKERS

TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG

SEMPENA JAMUAN MINUM PETANG BERSAMA

NORTHERN BIKERS

 

15 JUN 2019

HOTEL IXORA

 

 

Selamat Petang dan Salam Sejahtera.

Pertama sekali saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada jawatankuasa penganjur bagi program Northern Bike Week 2019 (Vol.3) kerana sudi menjemput saya dalam majlis jamuan minum petang pada petang yang berbahagia ini.

Seperti mana yang semua sedia maklum, Northern Bike Week 2019 telah dianjurkan pada 26-28 April 2019 yang lalu, dan sendiri telah memberikan sedikit peruntukan untuk menyokong program tersebut. Program ini turut mendapat kerjasama kerjasama daripada pelbagai agensi kerajaan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Pejabat Daerah dan Tanah Seberang Perai Tengah (PDTSPT) dan juga pihak FAMA Negeri Pulau Pinang yang juga turut menganjurkan program yang melibatkan semua usahawan tani dan produk-produk usahawan.

Saya difahamkan program ini berjaya mengumpulkan seramai 20,000 penunggang motosikal dari seluruh Malaysia, termasuklah dari negara jiran Singapura dan Thailand yang berkumpul atas dasar minat yang sama. Tahniah dan syabas kepada semua.

Saya percaya penganjuran program ini dapat menyemarakkan dunia permotoran tempatan dan sedikit sebanyak dapat menghapuskan stigma masyarakat yang sering memandang serong kepada penunggang motosikal. Adalah amat tidak adil untuk kita menyalahkan semua penunggang motosikal kerana masih ramai penunggang motosikal yang mengamalkan tunggangan secara berdisiplin dan berhemah.

Semua sedia maklum di Pulau Pinang kini, industri permotoran kian berkembang maju. Di Pulau Pinang sahaja, kita mempunyai dua buah kilang motosikal iaitu satu kilang Honda di Batu Kawan dan satu lagi kilang motosikal berjenama SYM di Alma di mana saya percaya ia mempunyai permintaan, peminat dan pasarannya yang tersendiri.

Di peringkat Kerajaan Negeri, kita akan sentiasa menyokong dan memberi sokongan penuh kepada program-program sedemikian kerana ianya bukan sahaja dapat meningkatkan ekonomi negeri, tetapi dalam masa yang sama dapat mempromosikan industri pelancongan dan sekaligus dapat membuka peluang kepada syarikat-syarikat dari luar negara untuk membuat pelaburan di negeri ini.

Kerajaan Negeri juga akan terus menjalinkan kerjasama yang erat di antara pihak berkuasa seperti PDRM dan JPJ dari semasa ke semasa terutama dari segi aspek keselamatan. Kempen keselamatan akan terus diadakan memandangkan kes kemalangan terutama yang melibatkan penunggang motosikal masih berada di tahap yang membimbangkan.

Akhir kata, tahniah dan syabas kepada semua yang terlibat kepada penganjuran najlis ini. Semoga penganjuran majlis ini memperolehi kejayaan dan membuka mata kepada peluang yang lebih besar untuk penganjuran pelbagai program di masa akan datang.

 
Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang