MAJLIS PENYAMPAIAN SUMBANGAN UNTUK SEKOLAH KEBANGSAAN DAN SEKOLAH MENENGAH KEBANGSAAN NEGERI PULAU PINANG

TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG SEMPENA MAJLIS PENYAMPAIAN SUMBANGAN UNTUK SEKOLAH KEBANGSAAN DAN SEKOLAH MENENGAH KEBANGSAAN NEGERI PULAU PINANG

17 JUN 2019 (ISNIN)

AUDITORIUM A, TINGKAT 5, KOMTAR

Selamat pagi dan salam sejahtera.

Terlebih dahulu saya ingin merakamkan ucapan tahniah dan syabas kepada Bahagian Perancang Ekonomi Negeri dalam melaksanakan segala persiapan dan memastikan bahawa Majlis yang julung kali dianjurkan oleh Kerajaan Negeri pada pagi ini dapat dijalankan dengan jayanya. Saya turut mengucapkan terima kasih kepada Jawatankuasa Khas Sekolah Bantuan Penuh Kerajaan, Jabatan Pendidikan Negeri dan semua Pejabat Pendidikan Daerah di Pulau Pinang yang memberi kerjasama untuk mengenalpasti dan membantu menyalurkan peruntukan Kerajaan Negeri kepada Sekolah Kebangsaan dan Sekolah Menengah Kebangsaan yang terpilih.

        Para hadirin sekalian, saya berasa amat bangga kerana mulai tahun ini, Kerajaan Negeri Pakatan Harapan akan turut menghulurkan peruntukan tahunan kepada Sekolah Kebangsaan (SK) dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK). Sejak 11 tahun kebelakangan ini, Kerajaan Negeri di bawah program bantuan pendidikan telah menyalurkan peruntukan sebanyak RM 1.75 juta kepada Sekolah Agama Rakyat, RM 8.5 juta kepada Sekolah Mubaligh / Cina dan sebanyak RM 1.75 juta kepada Sekolah-Sekolah Tamil setiap tahun.

        Sekolah-sekolah tersebut telah memperolehi pelbagai manfaat melalui peruntukan tahunan Kerajaan Negeri. Sekolah-sekolah Cina dan Sekolah Mubaligh yang di antaranya merupakan sekolah bantuan modal telah menggunakan bantuan ini untuk membina bangunan baru dan membaiki serta menaiktaraf struktur dan kemudahan sekolah. Kerajaan Negeri menghargai usaha Jawatankuasa Penyelaras Hal Ehwal Sekolah Cina dan Mubaligh yang mengurus dan mengawal penyaluran peruntukan kepada sekolah-sekolah tersebut. 

        Kerajaan Negeri Pakatan Harapan turut memberi perhatian khas kepada pendidikan Agama Islam. Peruntukan tahunan sebanyak RM 1.75 juta bagi Sekolah Agama Rakyat adalah disalurkan sehingga ke Maahad Tafiz, Tadika-Tadika Islam dan Sekolah-Sekolah Pondok. Selain peruntukan ini, Kerajaan Negeri melalui Majlis Agama Islam Negeri juga menyalurkan pembayaran ex-gratia, bonus dan sagu hati Hari Raya Aidilfitri kepada guru-guru KAFA serta guru-guru agama, tahfiz, pondok dan tadika Islam (Tadis). Bangunan 3 tingkat Sekolah Rendah Islam Maahad At-Tarbiah Guar Jering, Penanti, Permatang Pauh yang disiapkan pada tahun 2016 telah dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri.

        Di sini, saya juga mengucapkan terima kasih kepada YB. Prof, Dr. P. Ramasamy selaku Pengerusi Jawatankuasa Khas Sekolah-Sekolah Tamil Negeri yang menyelaras penyaluran peruntukan Kerajaan Negeri bagi Sekolah-Sekolah Tamil dan memberi keprihatinan khas kepada pendidikan Tamil di Pulau Pinang.

Mulai tahun ini, Kerajaan Negeri akan memainkan peranannya dan menghulurkan peruntukan yang sewajarnya kepada SK dan SMK juga. Kerajaan Negeri telah mengadakan perbincangan dengan Jabatan Pendidikan Negeri berhubung keadaan sekolah-sekolah tersebut di Pulau Pinang dan telah meluluskan peruntukan tahunan sebanyak RM3.0 juta untuk tujuan pembaikan dan penyelenggaraan infrastruktur sekolah dalam Mesyuarat EXCO pada bulan September 2018.

Saya berasa gembira bahawa sebanyak 170 buah SK dan SMK akan memperolehi manfaat melalui peruntukan Kerajaan Negeri berjumlah RM 3.0 juta pada tahun ini. Saya meminta kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri dan Pejabat-Pejabat Pendidikan Daerah agar membantu menyelaras supaya kerja-kerja pembaikian kritikal di sekolah-sekolah ini disiapkan dengan segera. Saya berharap peruntukan Kerajaan Negeri akan membawa kejayaan yang sama kepada semua seperti yang diperolehi oleh Sekolah-Sekolah Agama Rakyat, Cina, Mubaligh dan Tamil. Saya juga menyeru agar wakil-wakil dari Jabatan dan Pejabat-Pejabat Pendidikan serta dari SK dan SMK menjalinkan kerjasama yang erat dengan Kerajaan Negeri. 

        Kerajaan Negeri sentiasa prihatin terhadap bidang pendidikan demi memperkasakan pembangunan modal insan di Pulau Pinang. Melalui initiatif-initiatif pendidikan, kami sentiasa memberi sokongan dan dorongan kepada pelajar-pelajar dari semua aliran. Kerajaan Negeri telah memulakan sumbangan penghargaan Pelajar Emas, meningkatkan bantuan kemasukan ke Institut Pengajian Tinggi ke kadar RM 1,000.00 kepada pelajar IPT Semenanjung dan RM 1,200.00 kepada pelajar IPT di Sabah dan Sarawak, memacukan Pendidikan STEM, mewujudkan biasiswa Penang Future Foundation dan pelbagai inisiatif pendidikan yang lain dalam masa sepuluh tahun yang lalu.

        Pada masa ini, Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan harus bersatu tenaga dalam memantapkan sistem pendidikan negara demi mencapai Visi Penang 2030 dan mengharungi cabaran Revolusi Industri 4.0. Selamat maju jaya kepada semua.

Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang