MAJLIS MENANDATANGANI PERJANJIAN PEMBEKALAN- TENAGA BOLEH DIPERBAHARUI ANTARA SJK© BENG TEIK DENGAN TNB & GSPARX

TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG

SEMPENA MAJLIS MENANDATANGANI PERJANJIAN PEMBEKALAN- TENAGA BOLEH DIPERBAHARUI

ANTARA SJK© BENG TEIK DENGAN TNB & GSPARX

11 Julai 2019

SJKC BENG TEIK (PUSAT)

Selamat Pagi dan Salam Sejahtera.

Terlebih dahulu saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan jutaan terima kasih kepada jawatankuasa penganjur atas kesudian untuk menjemput saya sempena Majlis Menandatangani Perjanjian Pembekalan-Tenaga Boleh Diperbaharui di antara SJK(C) Beng Teik dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan GSPARX bertempat di SJK(C) Beng Teik pada pagi yang berbahagia ini.

Tahniah dan syabas kepada SJK(C) Beng Teik kerana telah menjadi sekolah pertama di Pulau Pinang yang telah menyahut inisiatif Kerajaan Negeri ke arah teknologi hijau dengan pemasangan solar sebagai sumber elektrik bagi kegunaan harian dan pada masa yang sama telah meletakkan SJK(C) Beng Teik sebagai trendsetter kepada seluruh sekolah di negeri ini.

Saya dimaklumkan bahawa kejayaan ini bermula daripada gerakan dan usaha keras Dato’ Ooi Eng Hock, Sekretariat Lembaga Jemaah Pengurus Sekolah SJK(C) Beng Teik yang juga merupakan Presiden Persatuan Pengilang-pengilang Malaysia (FMM) Pulau Pinang. Tahniah dan syabas kepada Dato’ Ooi Eng Hok dan semua pihak yang terlibat secara langsung mahupun tidak dalam merealisasikan projek ini.

Inisiatif pemasangan solar yang dilaksanakan oleh TNB melalui program yang dikenali sebagai SARE ini adalah susulan daripada pengumuman yang telah dibuat oleh Menteri Tenaga, Teknologi, Sains, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar, Yeo Bee Yin pada Oktober 2018. Dan sejak itu, TNB telah giat untuk mempromosikan program ini. Saya difahamkan bahawa semua pengguna komersil dan industri yang ingin membuat pemasangan ini tidak perlu mengeluarkan sebarang kos kerana ia dibiayai sepenuhnya oleh TNB. Tarif elektrik yang dikenakan juga adalah lebih rendah daripada tarif penggunaan elektrik biasa sekaligus dapat membantu menjimatkan kos bulanan bil elektrik tersebut.

Bagi pihak Kerajaan Negeri Pulau Pinang, kami amat berbangga dan sangat mengalu-alukan usaha sama seperti ini dan mengharapkan lebih ramai lagi pihak untuk tampil berbuat sedemikian. Kerajaan Negeri melalui penubuhan Penang Green Council (PGC) sentiasa mempergiatkan usaha melalui penganjuran pelbagai program, inisiatif dan dasar baharu demi kelestarian alam sekitar dan kualiti hidup yang lebih mampan, bersih, selamat dan hijau.

Kerajaan Negeri bangga untuk menyatakan bahawa Pulau Pinang sentiasa menjadi pelopor kepada inisiatif hijau dan berusaha ke arah pengurangan kesan tapak kaki karbon (carbon footprint) dalam menangani perubahan iklim (climate change) melalui pelbagai program pemuliharaan alam sekitar. Pulau Pinang telah mencatatkan sejarah apabila menjadi negeri pertama di Malaysia yang melancarkan kempen “Setiap Hari Tanpa Beg Plastik Percuma” (No Free Plastic Bags Day). Kini, kempen ini telah dipraktikkan hampir di kebanyakan negeri di Malaysia. Dan pada tahun ini, Pulau Pinang juga sekali lagi telah menjadi negeri pertama yang mengumumkan untuk memulakan inisiatif “Tanpa Plastik Sekali Guna”.

Kesemua inisitif hijau yang dilaksanakan ini adalah bagi mengurangkan penggunaan sisa plastik dan dalam masa yang sama menggalakkan lebih banyak produk mesra alam diinovasikan.

Seperti mana yang terkandung dalam Visi Penang2030 yang telah diperkenalkan, Pulau Pinang bercita-cita untuk menjadi sebuah negeri yang berpendapatan tinggi, berdaya tahan serta menjadi negeri yang paling hijau di Malaysia. Saya serta kepimpinan Kerajan Negeri akan memberi sokongan yang penuh bagi memastikan inisiatif “Cleaner, Greener, Healthier and Safer Penang” yang pernah digerakkan suatu ketika dahulu dapat direalisasikan sepenuhnya.

Akhir kata, saya berharap semua pihak dapat memainkan peranan yang tersendiri dalam membantu serta menyokong inisiatif hijau ini. Kepada Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), saya berharap agar inisiatif pemasangan solar ini dapat diselaraskan dan diperluaskan di seluruh sekolah di negeri ini.

Sesungguhnya, keprihatinan dan komitmen padu untuk bersama-sama menyayangi, melindungi dan memelihara alam sekitar dengan menyokong teknologi hijau adalah tanggungjawab kita bersama demi masa hadapan yang lebih baik kepada anak dan cucu kita.

Sekian, terima kasih. 

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang