MAJLIS PENGANUGERAHAN DARJAH-DARJAH KEBESARAN, BINTANG DAN PINGAT KEHORMATAN NEGERI PULAU PINANG

UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG

SEMPENA MAJLIS PENGANUGERAHAN DARJAH-DARJAH KEBESARAN, BINTANG DAN PINGAT KEHORMATAN

NEGERI PULAU PINANG

PADA 13 JULAI 2019

JAM 9:30 PAGI

BERTEMPAT DI DEWAN SRI PINANG

__________________________________________________

 

Tuan Yang Terutama Tun Dato' Seri Utama (Dr.) Haji Abdul Rahman bin Haji Abbas

Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang dan

Yang Amat Berbahagia Toh Puan Datin Seri Hajah Majimor binti Shariff

 

Yang Berhormat Dato' Law Choo Kiang

Yang di-Pertua Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang dan

Yang Berbahagia Datin Teoh Hooi Tuang

Yang Amat Arif Dato' Tengku Maimun binti Tuan Mat
Ketua Hakim Negara 

 

Yang Berhormat Dato' Ir. Haji Ahmad Zakiyuddin bin Abdul Rahman

Timbalan Ketua Menteri (I) Pulau Pinang

 

Yang Berhormat Profesor Dr. Ramasamy a/l Palanisamy

Timbalan Ketua Menteri (II) Pulau Pinang dan

Yang Berbahagia Puan Kalaiarasi a/p Kolandhavelu

Yang Berhormat Dato’ Seri Farizan bin Darus

Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan

Yang Berbahagia Datin Seri Ir. Hajah Hamidah binti Mat Daud

Yang Berhormat Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri

Yang Berbahagia Tan Sri dan Puan Sri

Yang Berbahagia Dato’ Seri dan Datin Seri

Yang Berhormat Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri dan Ahli-Ahli Dewan Rakyat

Yang Berbahagia Konsul-Konsul Jeneral dan Konsul-Konsul Kehormat

Yang Berbahagia Dato’-Dato’ dan Datin-Datin

Tuan-Tuan dan Puan-Puan yang saya hormati sekalian

Selamat Pagi dan Salam Sejahtera.

  1. Dengan penuh takzim dan kesyukuran, saya bagi pihak Kerajaan Negeri dan seluruh rakyat Pulau Pinang ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Ulang Tahun yang ke-81 kepada Tuan Yang Terutama Tun. Kami semua mendoakan agar Tuan Yang Terutama Tun dan Yang Amat Berbahagia Toh Puan serta keluarga sentiasa dikurniakan dan dilimpahi rahmat, kemuliaan serta kesihatan yang baik hendaknya.
  1. Sempena Sambutan Ulang Tahun Tuan Yang Terutama Tun pada pagi ini, saya bersama-sama dengan barisan kepimpinan di pelbagai peringkat dan seluruh rakyat Negeri Pulau Pinang, dengan ini memperbaharui ikrar taat setia kepada Tuan Yang Terutama Tun, Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Yang di-Pertuan Agong, Perlembagaan Malaysia dan Negeri Pulau Pinang serta Negara Malaysia yang tercinta.
  1. Kita bersyukur kerana sepanjang 18 tahun di bawah kepimpinan Tuan Yang Terutama Tun sebagai lambang perpaduan, rakyat negeri ini hidup bersatu padu dan saling bekerjasama dalam suasana penuh harmoni dan muhibah. Kita juga bersyukur kerana Negeri Pulau Pinang terus menikmati keamanan, kemakmuran dan kemajuan yang pesat walaupun terdapat pelbagai cabaran yang perlu ditempuhi.

Tuan Yang Terutama Tun,

  1. Negeri Pulau Pinang amat bertuah kerana di bawah kepimpinan Tuan Yang Terutama Tun telah berjaya menjadikan kedua-dua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) negeri ini bertaraf Majlis Bandaraya. Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) telah mendapat status Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) pada 1 Januari 2015.   Terkini, Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) dijangka akan secara rasmi memperolehi status Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) pada 16 September 2019 bersamaan dengan Hari Malaysia dan seterusnya menjadikan Pulau Pinang sebagai negeri pertama di Malaysia di mana keseluruhan kawasan negeri berada di bawah pentadbiran Majlis Bandaraya.   Adalah menjadi harapan besar Kerajaan Negeri untuk kedua-dua Majlis Bandaraya ini meningkatkan lagi pencapaiannya dalam memikul tanggungjawab sebagai Pihak Berkuasa Tempatan.
  2. Dari segi perkembangan ekonomi negeri, permulaan tahun 2019 ini mencatatkan prestasi yang amat membanggakan. Menurut Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) pada suku pertama tahun 2019, Pulau Pinang telah berjaya menarik 41 projek bernilai RM8.85 bilion dalam sektor pembuatan iaitu peningkatan yang berlipat kali ganda berbanding RM1.02 bilion pada tempoh yang sama pada tahun 2018. Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM8.47 bilion adalah daripada pelaburan asing manakala RM0.4 bilion pula adalah daripada pelaburan domestik. Pencapaian ini menunjukkan Pulau Pinang masih terus kekal menjadi destinasi pelaburan yang menarik dan digemari oleh pelabur walaupun terdapat pertikaian perdagangan dan teknologi antara Amerika Syarikat (AS) dan China sehingga mewujudkan ketidakpastian terhadap perdagangan global serta prospek ekonomi.

 

  1. Selain itu, pelaburan dalam sektor pembuatan yang diluluskan dalam suku pertama tahun 2019 juga telah mengatasi angka keseluruhan tahun 2018 iaitu sebanyak RM5.8 bilion. Kejayaan ini juga telah berjaya mewujudkan lebih kurang 10,073 peluang pekerjaan di negeri ini. Saya percaya peningkatan positif dalam sektor pembuatan adalah hasil daripada gabungan rantaian bekalan yang kukuh, tenaga kerja yang mahir, infrastruktur yang mantap serta perkhidmatan sokongan daripada Kerajaan Negeri kepada pelabur yang menyebabkan Pulau Pinang terus menjadi destinasi pilihan pelaburan.

 

  1. Selaras dengan keperluan untuk terus menarik pelaburan dan memastikan kelangsungan dalam membangunkan Pulau Pinang berpandukan keperluan semasa dan akan datang, Kerajaan Negeri sedar bahawa banyak perkara perlu disedia dan dirancang.  Visi Penang2030 yang telah dilancarkan pada 29 Ogos 2018 merupakan teras bagi perancangan pembangunan negeri serta menjadi landasan kepada Kerajaan Negeri untuk merancang pembangunan negeri menerusi Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12) yang akan datang.
  1. Sukalah saya nyatakan bahawa pelbagai usaha telah dilakukan bagi menghayati dasar dan teras Penang2030. Antara yang dirancang dan dilaksana adalah:
  • Melantik pegawai utama Kerajaan sebagai peneraju pelaksanaannya atau champion bagi setiap teras yang dikenalpasti untuk memastikan inisiatif strategik yang digariskan dapat disampaikan ke peringkat akar umbi dengan lebih komprehensif dan tersusun.
  • mengadakan beberapa siri taklimat dan bengkel dalam masa terdekat ini bagi memberikan lebih pencerahan kepada pelbagai stakeholders termasuk kepada pemimpin di peringkat akar umbi yang terdiri daripada Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), Rukun Tetangga, NGO dan lain-lain.
  • menyiapkan buku Penang2030 dalam dua versi iaitu Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu bagi memastikan setiap lapisan rakyat dapat memahami serta menghayati dengan jelas intipati yang terkandung dalam visi ini.
  • bagi membakar lagi semangat rakyat untuk menjayakan visi ini secara bersama, Kerajaan Negeri turut berkolaborasi dengan komposer terkenal bagi menghasilkan lagu Penang2030 yang bakal menjadi salah satu lagu rasmi yang akan dimainkan di majlis-majlis rasmi Kerajaan.
  1. Segala usaha ini berserta penglibatan kesemua peringkat masyarakat termasuklah jentera Kerajaan Negeri dan Persekutuan di Pulau Pinang, maka diharapkan Visi Penang2030 dapat disegerakan keberhasilannya.

Tuan Yang Terutama Tun dan hadirin sekalian,

  1. Pada hari ini saya ingin mengambil kesempatan untuk memaklumkan perkembangan terkini berkaitan pembangunan infrastruktur negeri ini. Adalah dimaklumkan bahawa Projek Pan Island Link 1 (PIL1) telah pun mendapat kelulusan Laporan Impak Alam Sekitar (EIA) pada 10 April 2019 dari Jabatan Alam Sekitar (JAS). Kini kerja-kerja rekabentuk terperinci sedang dilaksanakan dengan jangkaan pembinaan lebuhraya PIL 1 disasarkan untuk dilaksanakan pada tahun 2020. PIL 1 setelah siap kelak, akan menjadi laluan utama yang menghubungkan kawasan utara sehingga ke kawasan selatan pulau dengan tempoh perjalanan selama 20 minit sahaja.  PIL 1 juga turut dihubungkan ke kawasan-kawasan yang strategik melalui 6 pertukaran atau interchange iaitu di Persiaran Gurney, Paya Terubong, Jalan Utama, Relau, Jalan Tun Dr. Awang dan Lebuhraya Tun Dr. Lim Chong Eu.
  1. Dalam masa yang sama, projek tambakan laut Penang South Reclamation (PSR) yang melibatkan tambakan laut seluas 4,500 ekar juga telah mendapat kelulusan Jabatan Alam Sekitar (JAS) bagi Laporan Kajian Impak Alam Sekitar (EIA) pada 25 Jun 2019 dengan 72 syarat yang ditetapkan. Kerajaan Negeri sekali lagi berikrar untuk mengekalkan janji akan mematuhi kesemua syarat tersebut dalam pelaksanaannya. Kerajaan Negeri optimis dengan pelaksanaan projek ini, ianya bukan sahaja menjadi pemangkin ekonomi Kerajaan Negeri pada masa hadapan tetapi juga akan membantu menjana ekonomi dan pembangunan Pulau Pinang untuk keperluan sehingga tahun 2050.
  1. Sebagai usaha untuk Negeri Pulau Pinang terus ke hadapan, Rancangan Struktur Negeri Pulau Pinang 2030 (RSNPP2030) yang telah dirangka Kerajaan Negeri juga telah diluluskan oleh Majlis Perancangan Fizikal Negara (MPFN) yang dipengerusikan oleh YAB Perdana Menteri pada 18 April 2019. Kini, Kerajaan Negeri sedang dalam proses pewartaan RSNPP2030 yang dijangkakan pada Ogos 2019.
  1. Kerajaan Negeri sentiasa komited dalam usaha memelihara dan memulihara alam sekitar selaras dengan Visi Penang2030. Dalam hubungan ini, Kerajaan Negeri telah membangunkan Agenda Hijau Pulau Pinang (Penang Green Agenda -PGA 2020-2030) yang kini dalam peringkat akhir penyediaannya.  PGA ini bertujuan untuk menyusun strategi ke arah pembangunan lestari berteraskan kepada United Nations Sustainable Development Goals (UNSDGs) demi menghadapi cabaran alam sekitar secara global pada masa hadapan.  Setelah PGA ini disiapkan sepenuhnya, ia akan menjadi dokumen rujukan atau blueprint dalam memacu Pulau Pinang ke arah  negeri hijau pertama di Malaysia yang mampan.
  1. Kemajuan teknologi digital perlu dimanfaatkan dalam membangunkan negeri dan negara untuk menyampaikan perkhidmatan secara lebih pantas kepada rakyat.  Bagi merealisasikan hasrat tersebut, Kerajaan Negeri kini dalam usaha menubuhkan satu entiti baharu yang akan dikenali sebagai “Penang Digital”.   Antara skop Penang Digital adalah untuk membangunkan Pelan Induk Transformasi Digital Negeri Pulau Pinang (PITDNPP) dan berperanan dalam merancang, menyelaras, melaksana, menilai dan mengawal selia projek-projek berkaitan transformasi digital Kerajaan Negeri.  Pada ketika ini, Kerajaan Negeri juga sedang mengenalpasti mereka yang berpengalaman dan berkemahiran untuk menerajui Penang Digital
  1. Selain daripada meningkatkan keupayaan Kamera Litar Tertutup (CCTV), Kerajaan Negeri juga akan memperkenalkan Sistem Tempat Letak Kereta Secara Pintar (Penang Smart Parking-PSP) yang dijangka akan mula beroperasi fasa pertamanya pada bulan Ogos di kedua-dua kawasan PBT. Sejumlah hampir 1,000 petak tempat letak kereta terlibat dalam fasa pertama pembangunan ini dan seterusnya akan diperluas kepada kesemua 36,000 petak tempat letak kereta di negeri ini.    Pelaksanaan secara berperingkat akan melibatkan juga penggunaan aplikasi telefon pintar untuk kegunaan orang awam dalam membayar caj  tempat letak kereta kelak.
  1. Buat pertama kalinya setelah Mei 2018 dalam era Malaysia baharu, Kerajaan Negeri turut menghulurkan peruntukan yang sewajarnya kepada Sekolah Kebangsaan (SK) dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) iaitu sekolah bantuan penuh Kerajaan Persekutuan. Peruntukan tahunan berjumlah RM3 juta  telah disalurkan kepada 170 buah Sekolah Kebangsaan dan Sekolah Menengah Kebangsaan di Pulau Pinang bagi tujuan pembaikan dan penyelenggaraan infrastruktur sekolah.  Jumlah ini adalah sebagai top-up kepada peruntukan yang diperolehi daripada Kerajaan Persekutuan oleh sekolah berkenaan dan ini adalah bukti bahawa Kerajaan Negeri sangat prihatin kepada Pendidikan untuk pembangunan masa hadapan.
  1. Selain itu, sejak tahun 2008, Kerajaan Negeri di bawah program bantuan pendidikan telah menyalurkan peruntukan berjumlah RM1.75 juta kepada Sekolah-Sekolah Tamil dan RM8.5 juta kepada Sekolah Mubaligh/Cina/Persendirian setiap tahun. Malahan, Sekolah Agama Rakyat juga turut menerima peruntukan berjumlah RM1.75 juta setiap tahun dan peruntukan ini turut dipanjangkan kepada Maahad Tahfiz, Tadika-tadika Islam dan Sekolah-sekolah Pondok.

Sidang hadirin sekalian,

 

  1. Kerajaan Negeri peka dan sedar akan keperitan dan kesusahan hidup rakyat terutamanya yang melibatkan golongan B40 dalam situasi ekonomi dunia yang tidak menentu ketika ini. Oleh itu, Kerajaan Negeri akan meneruskan komitmen melalui pelbagai program kebajikan yang telah dilaksanakan sebelum ini agar nasib hidup rakyat golongan B40 terus terbela. Malah program-program kebajikan Kerajaan Negeri sedia ada akan diperhalusi semula bagi memberi impak yang positif ke arah peningkatan taraf hidup rakyat dalam jangka masa yang panjang.
  1. Sebagai usaha untuk melahirkan rakyat yang cergas, aktif dan sihat, Kerajaan Negeri telah memperkenalkan program baharu dengan jenama Sukan Untuk Semua atau Sports for All. Program ini melibatkan 1 bulan 1 sukan dan Kerajaan Negeri berharap agar ia dapat menimbulkan kesedaran dalam kalangan rakyat negeri ini tentang pentingnya menjaga kesihatan yang dapat dibuat melalui kegiatan fizikal dan rekreasi. Buat permulaan, sebanyak 12 jenis sukan telah dan akan digerakkan pada setiap bulan di sepanjang tahun 2019. Antara sukan-sukan yang dipromosikan termasuklah bola keranjang, bola jaring, sukan elektronik (eSports), bola tampar, petanque dan lain-lain.
  1. Bersempena Tahun Melawat Pulau Pinang 2020, Kerajaan Negeri telah memulakan kempen Experience Penang Year 2020 dengan tagline Kepelbagaian Asia (Asia’s Diversity). Tagline ini dipilih berdasarkan kepada kepelbagaian yang ditampilkan oleh Negeri Pulau Pinang melalui warisan, budaya, kesenian dan pelbagai aspek lain yang menjadi salah satu destinasi yang paling menggamit kenangan untuk dilawati di Asia. Kerajaan Negeri yakin dengan promosi secara besar-besaran yang telah dilaksanakan di beberapa negara luar seperti China, Jerman dan Korea Selatan pada awal tahun ini, ia akan berjaya menarik lebih ramai pelancong ke negeri ini. Di samping itu, usaha untuk menarik pelancong domestik juga dipertingkatkan bagi menjana hasil ekonomi yang mampan dan konsisten daripada sektor ini.
  1. Bagi menjamin Pulau Pinang terus menjadi destinasi utama pelancongan domestik dan antarabangsa, Pelan Induk Pelancongan Pulau Pinang (Penang Tourism Master Plan) juga sedang dirangka oleh Kerajaan Negeri. Pelan ini akan merangkumi bidang kebudayaan, kesenian dan warisan yang akan dihasilkan dengan mengambilkira pandangan dan buah fikiran pelbagai pihak berkepentingan.  Justeru, saya menyeru kepada semua pihak yang berkepentingan seperti penggiat industri pelancongan, pakar-pakar dalam bidang teknikal dan pakar-pakar yang lain agar dapat menyumbangkan dan memberi pandangan dan maklum balas secara inklusif dalam penyediaan pelan ini. Pelan Induk Pelancongan Pulau Pinang ini diharap dapat membantu Kerajaan Negeri menyelaraskan dasar-dasar pelancongan berdasarkan trend pembangunan pelancongan semasa, mengenalpasti halangan dan cadangan penyelesaian, membangunkan kawasan pelancongan yang bersesuaian dan dapat menjadi rujukan inventori bagi tempat tarikan pelancong di Pulau Pinang.

Tuan Yang Terutama Tun,

  1. Sebagai rumusan, barisan pemimpin dan seluruh rakyat di negeri ini amat berterima kasih kepada Tuan Yang Terutama Tun yang menjadi lambang dan inspirasi perpaduan serta kesetiaan
  2. rakyat Negeri Pulau Pinang. Di kesempatan ini, saya menyeru kepada seluruh rakyat jelata di negeri ini untuk bersama-sama merealisasikan Visi Penang2030 terutamanya menerusi teras memperkasakan rakyat untuk mengukuhkan penyertaan awam serta menjamin perpaduan rakyat secara berterusan tanpa mengira kaum, agama serta latar belakang.
  1. Akhir kata, saya bersama-sama Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan dan seluruh anggota perkhidmatan awam akan terus menggembeleng usaha dan tenaga untuk menyempurnakan tugas dan tanggungjawab dengan penuh semangat dan tekad bagi menjamin kemakmuran, keselamatan dan kebahagiaan rakyat Negeri Pulau Pinang dan Negara Malaysia. Saya juga mengucapkan terima kasih kepada pihak keselamatan dalam menjaga ketenteraman awam dengan baik.
  1. Sekali lagi saya dan barisan pemimpin serta seluruh rakyat di Negeri Pulau Pinang mengucapkan Selamat Ulang Tahun Ke-81 kepada Tuan Yang Terutama Tun. Kami berdoa mudah-mudahan Tuan Yang Terutama Tun dan Yang Amat Berbahagia Toh Puan serta keluarga yang dikasihi sentiasa berada dalam keadaan sihat walafiat dan sejahtera.

Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang