Majlis Perasmian Papan Tanda “Central Fire Station 1908” Balai Bomba dan Penyelamat Lebuh Pantai

Ucapan YAB Tuan Chow Kon Yeow, Ketua Menteri Pulau Pinang merangkap Ahli Parlimen Tanjong

Majlis Perasmian Papan Tanda “Central Fire Station 1908” Balai Bomba dan Penyelamat Lebuh Pantai

3 Ogos 2019 (Sabtu)

Terlebih dahulu saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan jutaan terima kasih kepada jawatankuasa penganjur atas usaha keras anda bagi memastikan Majlis Perasmian Papan Tanda “Central Fire Station 1908” Balai Bomba dan Penyelamat Lebuh Pantai pada pagi ini dapat dijalankan dengan jayanya. Seperti mana sedia maklum, bangunan Balai Bomba dan Penyelamat Lebuh Pantai ini merupakan satu bangunan ikonik dan merupakan bangunan warisan kategori I di dalam Tapak Warisan Dunia UNESCO George Town.

Selaras dengan keperluan Rancangan Kawasan Khas (RKK) Tapak Warisan Dunia George Town, khususnya berkenaan dengan jenis papan tanda yang boleh digunakan, Balai Bomba dan Penyelamat Lebuh Pantai telah mengambil inisiatif untuk mengubah jenis papan tanda seperti mana yang termaktub dalam RKK tersebut.

Tambahan pula, di dalam konservasi warisan, mereka telah mengambil keputusan untuk memulihkan papan tanda “Central Fire Station 1908” ini yang telah digunakan sejak balai bomba ini dibuka secara rasmi. Dengan ini, saya ingin merakamkan penghargaan dan syabas kepada Balai Bomba dan Penyelamat Lebuh Pantai atas inisiatif murni ini.

Berbeza dengan banyak bangunan warisan lain di George Town, bangunan ini masih merupakan tempat operasi aktif Jabatan Bomba dan Penyelamat yang sentiasa sedia untuk memberikan bantuan di saat kecemasan. Oleh itu, sidang media hari ini juga diadakan di lokasi bahagian belakang bagi membolehkan kerja penyelamatan dapat dijalankan secara lancar sekiranya terdapat insiden kecemasan.

Kedudukan strategiknya di dalam Tapak Warisan Dunia UNESCO George Town ini menjadikan pasukan Bomba dan Penyelamat Lebuh Pantai satu aset penting untuk mengelakkan kejadian malapetaka di kawasan George Town, khususnya di sekitar Tapak Warisan Dunia UNESCO George Town, agar kita dapat mengelakkan insiden kebakaran Gereja Notre-Dame yang berlaku di Paris awal tahun ini.

Selepas Pakatan Harapan menerajui pentadbiran Kerajaan Persekutuan, kini Kerajaan Negeri mempunyai peluang untuk menjayakan program-program sebegini melalui bantuan yang disalurkan melalui ADUN kawasan untuk membantu Balai Bomba dan Penyelamat Lebuh Pantai memulihkan papan tanda yang bersejarah ini. Diharapkan hubungan dan jalinan ini dapat dieratkan lagi di antara Kerajaan Negeri dengan agensi-agensi Persekutuan agar lebih banyak manfaat dan faedah dapat diberikan kepada agensi-agensi Persekutuan yang memerlukannya.

Saya juga ingin mengambil kesempatan di sini untuk merakamkan penghargaan saya terhadap pasukan bomba dan penyelamat yang merupakan salah satu agensi yang penting. Dengan ini, saya dengan segala hormatnya merasmikan papan tanda “Central Fire Station 1908” Balai Bomba dan Penyelamat Lebuh Pantai.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang