MAJLIS MAKAN MALAM KEMBARA MERDEKA JALUR GEMILANG (KMJG) 2019

UCAPAN YAB TUAN CHOW KON YEOW

KETUA MENTERI PULAU PINANG

SEMPENA

MAJLIS MAKAN MALAM KEMBARA MERDEKA JALUR GEMILANG (KMJG) 2019

 

TARIKH: 19HB OGOS 2019 (ISNIN)

TEMPAT: DEWAN TERBUKA TAPAK PESTA SUNGAI NIBONG

 

Salam Sejahtera dan Salam Sayangi Malaysiaku

Terlebih dahulu saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada kerajaan Malaysia khususnya YAB Tun Dr. Mahathir Mohamad, Perdana Menteri dan YB Tuan Gobind Singh Deo, Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia kerana telah menyempurnakan dengan gilang gemilang Majlis Pelancaran Sambutan Bulan Kebangsaan dan Kempen Kibar Jalur Gemilang Peringkat Kebangsaan 2019 Di Dataran Pahlawan, Melaka pada 3hb Ogos yang lalu. Pengalaman yang sangat membanggakan juga bagi tahun lepas di mana Pulau Pinang sebagai tuan rumah untuk Majlis Pelancaran ini masih segar dalam ingatan saya dan rakyat di negeri ini khususnya.

Saya juga ingin mengucapkan Selamat Datang kepada Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang 2019 ke Negeri Pulau Pinang pada hari ini. Tahniah kepada Konvoi KMJG, kerana hari ini merupakan hari kesepuluh mereka berjaya menempuhi perjalanan dan sampai ke negeri Pulau Mutiara sebelum melengkapkan perjalanan ke destinasi-destinasi seterusnya sehingga Sambutan Hari Kebangsaan pada 31hb Ogos nanti.  Syabas diucapkan kepada mereka!

Setinggi-tinggi tahniah dan syabas kepada Urusetia Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang, Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Jabatan Penerangan Malaysia, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri dan semua agensi persekutuan dan negeri kerana usaha gigih dan dedikasi merencana, merancang, menyusun dan seterusnya menzahirkan pelbagai aktiviti dan program untuk menzahirkan semangat patriotisme dan cintakan negara pada sambutan bulan kebangsaan tahun ini.

Majlis Pelancaran Sambutan Bulan Kebangsaan 2019 Peringkat Negeri Pulau Pinang telah terlaksana pada 8hb Ogos 2019 di Mydin Mall, Bukit Mertajam serentak dengan Kempen Kibar Jalur Gemilang. Tahun ini, di peringkat negeri turut diadakan Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) oleh Jabatan Penerangan Malaysia Pulau Pinang sebagai tanda sokongan dan kempen Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang yang dilancarkan di peringkat Kebangsaan. Perasaan bangga dan bersemangat lebih-lebih lagi negeri ini menerima ketibaan dan kunjungan Konvoi KMJG Kebangsaan pada hari ini. Syabas dan Tahniah! Sesungguhnya, aktiviti-aktiviti yang telah dirangka dan disusun sebegini kesemuanya berpaksikan kepada satu matlamat iaitu menyemai semangat patriotisme dan cintakan negara dalam kalangan kita semua sebagai warganegara Malaysia. Jika tiada semangat mencintai negara, perpaduan, maka akan hancurlah sesebuah negara. Saya amat berharap majlis seumpama ini dapat menyemarakkan semangat patriotisme kita dalam menghargai erti sebuah kemerdekaan.

Dengan nikmat kemerdekaan, rakyat di negara ini, khususnya di Pulau Pinang dapat hidup dengan lebih selesa, harmoni dan makmur serta bertolak ansur dalam menjalin hubungan dan perpaduan kaum dengan mengeratkan hubungan silaturrahim yang padu, persefahaman, kemesraan dan kerjasama sesama kita. Jalinan kesemua faktor ini amat penting bagi menjamin hasrat Kerajaan Negeri Pulau Pinang ke arah Visi Penang2030.

Sidang Hadirin sekalian,

Di Pulau Pinang, kami membawa transformasi yang bermakna kepada rakyat khususnya demi mencapai Kelestarian Alam Sekitar dalam Pembangunan Negeri. Exco Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan mengamalkan pentadbiran yang penuh integriti. Saya percaya prestasi yang telah dicapai lebih 10 tahun pemerintahan Pakatan Harapan Pulau Pinang telah menyediakan landasan yang kukuh untuk kita mara ke hadapan lagi.

Kita akan terus berikhtiar untuk meneruskan prestasi yang cemerlang ini untuk menjadikan Negeri Pulau Pinang sebagai negeri contoh setelah Pakatan Harapan Negeri Pulau Pinang diberi mandat penggal ketiga untuk terus memerintah negeri ini. Saya berpandangan bahawa Pentadbiran Kerajaan Negeri telah menunjukkan kecekapan, semangat keharmonian dan ikhlas dalam menjalankan tugas. Justeru itu saya yakin Pulau Pinang bakal menjadi negeri pintar yang bertaraf antarabangsa serta terus dikunjungi oleh para pelancong dalam dan luar negari.

Hadirin yang dihormati,

Kempen Kibar Jalur Gemilang

Kempen kibarkan Jalur Gemilang bukan bermakna sekadar mengibarkan Jalur Gemilang secara fizikal. Apa yang lebih penting adalah penghayatan nilai-nilai dan semangat yang dizahirkan oleh Jalur Gemilang untuk kita menggilap kembali semangat patriotisme, kecintaan kita kepada tanah air.

Hadirin yang dihormati,

Momentum kerajaan negeri mungkin tidak selancar mana tanpa sokongan padu rakyat dalam setiap dasar dan aktiviti yang dianjurkan. Justeru itu, sekali lagi saya dengan penuh keikhlasan ingin mengucapkan rasa terima kasih yang tidak terhingga dan berharap hubungan yang baik ini dapat diteruskan hingga ke masa-masa akan datang.

Sebelum mengakhiri ucapan, sekali lagi saya ingin merakamkan terima kasih kepada Jawatankuasa Induk dan Jawatankuasa kerja yang telah merancang pelbagai aktiviti sepanjang Sambutan Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2019 di Pulau Pinang. Semoga usaha murni ini dapat diteruskan dan ditingkatkan lagi pada masa akan datang. Bersama-samalah kita menggelorakan sambutan Bulan Kebangsaan dan kibar Jalur Gemilang.

Kepada Peserta Konvoi KMJG 2019 yang akan meneruskan perjalanan yang berbaki, sila berhati-hati, ikut peraturan dan arahan Ketua Konvoi. Saya berharap semuanya berada dalam keadaan baik.

Selamat menyambut bulan perayaan kita, bulan Kebangsaan, bulan kemerdekaan ke-62.

Sekian. Terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang