MAJLIS PELANCARAN PAS MUTIARA

UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG

SEMPENA MAJLIS PELANCARAN PAS MUTIARA

 

23 OGOS 2019

 

YB Tuan Loke Siew Fook

Menteri Pengangkutan Malaysia

Yang Berbahagia Dato’ Mohammed Hazlan Mohamed Hussain

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana Malaysia Berhad

 

Muhammad Nizam Alias

Ketua Pegawai Operasi, Prasarana Malaysia Bhd

Encik Ang Yoke Kee

Ketua Pegawai Operasi (Strategi & Transformasi), Prasarana Malaysia Bhd

Muhammad Yazurin Sallij

Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Bus Sdn Bhd

Encik Osman Amir

Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Ferry

Rakan-rakan media

Tuan-tuan dan Puan-puan yang saya hormati sekalian

Selamat Pagi dan Salam Sejahtera.

Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada Kementerian Pengangkutan Malaysia dan seluruh agensi yang terlibat dalam memastikan Majlis Pelancaran Pas Mutiara pada pagi ini dapat dijalankan dengan jayanya.

Seperti mana yang dimaklumkan, ini merupakan fasa kedua pas perjalanan tanpa had ini dilaksanakan selepas kejayaan MY50 dan MY100 di Lembah Klang sebelum ini. Saya kira ia adalah hadiah dan kemudahan khusus kepada rakyat Pulau Pinang bagi menikmati perjalanan yang lancar ketika menggunakan perkhidmatan bas (Rapid Penang) atau feri (Rapid Ferry) tanpa perlu bimbang sekiranya tidak mempunyai wang kecil untuk membayar tambang tersebut.

Dengan inisiatif dan usaha dari Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Pengangkutan Malaysia dan Prasarana ini, ia sedikit sebanyak telah membantu Pulau Pinang yang kini dalam rangka untuk menambaik sistem lalu lintas dan pengangkutan melalui pelaksanaan Pelan Induk Pengangkutan (PIP) Pulau Pinang.

Melalui pelan PIP ini, Kerajaan Negeri menyasarkan nisbah 40:60 pengunaan pengangkutan awam dan penggunaan kenderaan persendirian menjelang tahun 2030 dapat dicapai. Selama 11 tahun ini, Kerajaan Negeri telah menjalin kerjasama yang erat dengan Rapid Penang dalam memastikan mutu perkhidmatan yang disediakan seiring dengan permintaan dan keperluan rakyat negeri ini.

Setelah Rapid Penang mengambil alih perkhidmatan bas di Pulau Pinang pada 2007, pelbagai usaha dan penambahbaikan terhadap laluan telah dilakukan. Antara program awal yang telah dilaksanakan ialah Perkhidmatan Bas Central Area Transit (CAT). Program ini dilancarkan pada 23 Januari 2008 yang mana laluan ini merangkumi di dalam kawasan George Town dan kawasan warisan yang menghubungkan Komtar dan Jeti. Perkhidmatan ini mendapat sambutan yang sangat baik. Bermula dengan menggunakan 3 buah bas, kini perkhidmatan ini menggunakan sebanyak 5 buah bas.

Pada tahun 2011, satu program diperkenalkan yang berkonsepkan Park N Ride. Program ini dinamakan Bridge Ekspress Shuttle Transit (BEST) khas untuk kawasan di Bayan Lepas. Para pekerja di kawasan kilang ini yang menginap di kawasan Seberang Perai boleh menikmati perkhidmatan ini dimana mereka hanya perlu meletakkan kenderaan di kawasan yang telah ditetapkan. 3 kawasan Park N Ride tersebut adalah di Sunway Carnival Seberang Jaya, Pusat Bandar Perda dan Juru Autocity. Terdapat 3 laluan utama bagi perkhidmatan ini yang meliputi seluruh kawasan perindustrian di Bayan Lepas. Sejumlah 14 buah bas digunakan bagi perkhidmatan ini.

Usaha penambaikan program pengangkutan awam diteruskan dengan Kerajaan Negeri memperkenalkan konsep kedua Park N Ride. Tetapi kali ini tertumpu kepada penjawat awam yang berkhidmat di KOMTAR. Perkhidmatan ini telah bermula sejak tahun 2012 lagi. Namun begitu, Rapid Penang hanya menjadi operator bermula tahun 2015 sehingga sekarang bagi menggantikan perkhidmatan bas Plusliner. Kini, perkhidmatan ini menggunakan sebanyak 8 buah bas di mana terdapat 3 lokasi utama Park N Ride iaitu di Sunway Carnival, KIOSK Bertam, Jawi dan Balik Pulau.

Terbaru, inisiatif Kerajaan Negeri Pulau Pinang dengan Rapid Bus Sdn Bhd ialah memperkenalkan perkhidmatan bas Congestion Alleviation Transport (CAT) secara percuma di 12 laluan utama yang merangkumi bahagian Pulau dan Seberang Perai. Sebanyak 6 laluan di bahagian Pulau dan 6 laluan di Seberang Perai. Objektif utama perkhidmatan ini ialah untuk mengurangkan kadar kesesakan di kawasan tempatan yang terlibat selain menggalakkan orang ramai menaiki pengangkutan awam untuk bergerak dari satu destinasi ke destinasi yang lain. Di samping itu juga, perkhidmatan ini dapat membantu mengurangkan kos perjalanan seharian seluruh rakyat Pulau Pinang.

Kerajaan Negeri percaya dengan adanya Pas Mutiara ini, Kerajaan negeri mampu mempromosikan sektor pelancongan selaras dengan program pelancongan “Experience Penang Year 2020” dengan tagline Kepelbagaian Asia untuk menyambut keceriaan Tahun Melawat Malaysia 2020 (EPY 2020). Semua program dan perkhidmatan ini dilihat dapat menggalakkan pertumbuhan ekonomi negeri dan sekaligus membantu semua golongan termasuk peniaga kecil.

Akhir kata, semoga program ini dapat memberi manfaat kepada golongan yang disasarkan. Kepada pihak Prasarana dan Rapid Penang terutamanya, teruskan memberi perkhidmatan yang terbaik di Pulau Pinang.

Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang