MAJLIS PERASMIAN PENUTUPAN PERTANDINGAN KAWAD KAKI PROGRAM PENDIDIKAN KHAS INTEGRASI (PPKI)

TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG SEMPENA MAJLIS PERASMIAN PENUTUPAN PERTANDINGAN KAWAD KAKI PROGRAM PENDIDIKAN KHAS INTEGRASI (PPKI)

PIALA KETUA MENTERI PERINGKAT DAERAH TIMUR LAUT

TAHUN 2019

 03 SEPTEMBER  2019 (SELASA)

 LOT 33, PRANGIN MALL, PULAU PINANG

 

Selamat Petang dan Salam Sejahtera.

 

Terlebih dahulu saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan jutaan terima kasih atas kesudian untuk menjemput saya sempena Majlis Penutup Pertandingan Kawad Kaki Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) Peringkat Daerah Timur Laut pada petang yang berbahagia ini.

      

Saya dimaklumkan bahawa pertandingan seumpama ini julung kali diadakan dan saya percaya ia telah mencapai objektifnya yang tersendiri. Tahniah dan syabas kepada semua!

Di kesempatan ini, saya juga ingin melahirkan ucapan penghargaan kepada pihak pengurusan Lot 33, Prangin Mall yang telah melaksanakan sebahagian daripada tanggungjawab korporat dengan memberikan sumbangan dan menyediakan tempat yang selesa terutama kepada anak-anak istimewa yang menyertai acara kawad kaki ini.

Selaras dengan hasrat Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk memartabatkan sistem pendidikan dengan visi 'Pendidikan Untuk Semua', pujian harus diberikan kepada Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang dan seluruh jawatankuasa yang terlibat yang telah mengambil satu langkah maju ke hadapan dengan penganjuran aktiviti sebegini.

Meskipun bidang pendidikan adalah di bawah kuasa Kerajaan Persekutuan namun di peringkat Kerajaan Negeri, kita masih melaksanakan apa yang terdaya dan bersedia untuk menjalinkan kerjasama terutama dalam memastikan persekitaran yang selesa kepada anak-anak dan para guru ketika proses pengajaran dan pembelajaran dijalankan.

Pada hari ini, seramai 14 buah sekolah mengambil bahagian iaitu 10 buah sekolah rendah dan 4 buah sekolah menengah, yang melibatkan seramai 165 pelajar.  Terdapat 10 kumpulan bagi kategori sekolah rendah dan 7 kumpulan bagi kategori sekolah menengah yang telah bertanding.

Melalui penganjuran aktiviti sebegini, ia bukan sahaja dapat meningkatkan potensi diri para pelajar untuk bersaing di peringkat yang lebih tinggi, malah berupaya memupuk semangat perpaduan dan jati diri yang mantap dalam mendepani cabaran. Semangat setia kawan dan berpasukan dapat dizahirkan semasa para pelajar terlibat dengan pertandingan atau program yang disertai sama ada di peringkat daerah, negeri mahu pun peringkat kebangsaan.

Tahniah kepada para guru dan pengiring yang sabar dalam memberi tunjuk ajar dan tidak jemu untuk berusaha mencungkil bakat dan potensi para pelajar ini. Sesungguhnya kecemerlangan yang dikecapi di medan ini adalah hasil pengorbanan masa, tenaga dan komitmen para guru dan pelajar yang gigih berusaha dengan segala keupayaan yang ada.

Akhir kata, semoga aktiviti ini dapat dikembangkan lagi di semua daerah di negeri ini dan lebih banyak lagi bakat dan potensi para pelajar dapat dicungkil dan dipupuk khusus dalam pembentukan sahsiah dan modal insan.

Dengan ini, “Saya merasmikan Majlis Penutupan Pertandingan Kawad Kaki Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) Piala Ketua Menteri Pulau Pinang, Peringkat Daerah Timur Laut Tahun 2019.”

Sekian, terima kasih

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang