MAJLIS MAKAN MALAM SAMBUTAN DEEPAVALI PPK KEPALA BATAS 2019

UCAPAN YAB TUAN CHOW KON YEOW

KETUA MENTERI PULAU PINANG

SEMPENA

MAJLIS MAKAN MALAM SAMBUTAN DEEPAVALI PPK KEPALA BATAS 2019

 

 

                                                 

Salam sejahtera,

Pertama sekali, saya ingin merakamkan sekalung penghargaan dan terima kasih kepada Pihak Pengurusan PPK Kepala Batas dan Pejabat Pegawai Penyelaras Khas Ketua Menteri bagi Kawasan Parlimen Kepala Batas yang telah menjemput saya dan semua yang hadir pada malam ini bagi meraikan Majlis Penyampaian Hamper dan Jamuan Makan Malam sempena Hari Raya Deepavali 2019, seperti yang telah dianjurkan pada setiap tahun sejak tahun 2008.

Deepavali, atau lebih dikenali sebagai pesta cahaya yang bakal diraikan minggu depan adalah antara perayaan utama yang disambut oleh masyarakat India yang beragama Hindu dan Sikh di Malaysia.

Bagi pihak Kerajaan Negeri, saya memuji usaha dan komitmen Pihak PPK Kepala Batas dan Pejabat Pegawai Penyelaras Khas Ketua Menteri dalam penganjuran majlis ini yang bukan sahaja untuk mengeratkan lagi ikatan persaudaraan dan semangat muhibah sesama kita, bahkan juga untuk menyatu padukan rakyat setempat. Sebagai rakyat Malaysia yang hidup dalam masyarakat yang berkepelbagaian budaya dan agama, ia adalah amat penting bagi kita untuk saling menghormati serta memahami keistimewaan setiap perayaan yang disambut oleh pelbagai kumpulan etnik dalam masyarakat kita. Saya amat berbangga di atas kesudian pihak pengurusan yang sentiasa mengambil initiatif dalam pelaksanaan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) serta majlis aktiviti amal demi kebajikan masyarakat kita khursusnya di kawasan ini.

Para hadirin yang dihormati,

Pihak Kerajaan Negeri, terutamanya semasa musim perayaan, ingin mendekati dan berada bersama golongan yang kurang bernasib baik, bukan sahaja untuk meringankan beban kewangan mereka tetapi juga untuk berkongsi kegembiraan dan kebahagiaan ketika musim perayaan seperti ini. Bukan setakat Program Rumah Terbuka Deepavali, malah program-program yang lain juga turut diadakan pada setiap tahun untuk membolehkan penduduk-penduduk setempat menikmati kebudayaan perayaan masing-masing.

Pada hari ini, kita akan mengagihkan sebanyak 209 buah hamper yang bernilai sebanyak RM12,540 yang mengandungi pelbagai keperluan dapur seperti bekalan beras, gula, minyak dan lain-lain lagi untuk meringankan beban penerima menjelang perayaan Deepavali ini. Saya dimaklumkan bahawa seramai 1,000 penduduk setempat turut hadir ke program malam ini.

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,

Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah kepada Kerajaan Negeri, Pegawai Penyelaras Khas Ketua Menteri, Encik Lay Hock Peng dan Ahli Majlis MBSP, Encik Ooi Yong Wooi atas kemurahan hati mereka dalam penyumbangan dana untuk menjayakan majlis malam ini. Taniah juga diucapkan kepada Pihak Pengurusan PPK Kepala Batas dan Pejabat Pegawai Penyelaras Khas Ketua Menteri di atas usaha dan kejayaan mereka menganjurkan majlis ini.

Akhir kata, semoga dengan sedikit pemberian ini, ia dapat menggembirakan setiap penerima dan memberi lebih makna dalam sambutan hari Deepavali ini. Selamat menyambut Hari Deepavali.

Terima kasih dan Deepavali Naal Vaazhthukkal!

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang