MAJLIS MENANDATANGANI PERJANJIAN PEMBELIAN DAN PEMBAIKAN 51 UNIT RUMAH PANGSA KOS RENDAH TAMAN SERULING EMAS, LOT 904, MUKIM 5, DAERAH SEBERANG PERAI SELATAN (SPS), PULAU PINANG

Posted in Dari Meja Ketua Menteri

Kenyataan Akhbar Oleh YAB Lim Guan Eng, Ketua Menteri Pulau Pinang
Pada 22 Januari, 2014 Di Komtar, George Town
___________________________________________________________________

MAJLIS MENANDATANGANI PERJANJIAN PEMBELIAN DAN PEMBAIKAN 51 UNIT RUMAH PANGSA KOS RENDAH TAMAN SERULING EMAS, LOT 904, MUKIM 5, DAERAH SEBERANG PERAI SELATAN (SPS), PULAU PINANG

Pembelian 51 unit Rumah Pangsa Kos Rendah di Taman Seruling Emas, Lot 904, Mukim 5, Daerah SPS merupakan antara inisitiaf Kerajaan Negeri untuk memberikan keselesaan dan kesejahteraan kepada rakyat Negeri Pulau Pinang dengan menyediakan lebih banyak rumah kos rendah di bawah Skim Sewa Beli kepada golongan yang memerlukan selaras dengan Bajet 2014 yang telah dibentangkan oleh Kerajaan Negeri. Cadangan ini merupakan usahasama di antara Kerajaan Negeri dengan pemaju projek iaitu Syarikat Asas Dunia Berhad. Projek perumahan ini telah dibina pada tahun 1994 dan terdiri daripada dua (2) blok bangunan lima (5) tingkat dengan jumlah keseluruhan 360 unit. Blok A terdiri daripada 170 unit rumah dan Blok B terdiri daripada 190 unit rumah. Keluasan setiap unit adalah 51 meter persegi (548.96 kaki persegi) dan mempunyai dua bilik. Daripada 360 unit tersebut, sebanyak 309 unit rumah telah diduduki dan baki sebanyak 51 unit rumah masih kosong iaitu enam (6) unit di Blok A dan 45 unit di Blok B.  

Memandangkan cadangan ini dikemukakan atas dasar tanggungjawab sosial korporat (Corporat Social Responsibility (CSR)), maka perbincangan lanjut telah dibuat bersama Syarikat Asas Dunia Berhad. Hasil lawatan pada awalnya mendapati bahawa terdapat kerosakan pada unit-unit rumah tersebut khususnya pada bahagian bumbung. Kos keseluruhan yang perlu ditanggung oleh Kerajaan Negeri adalah berjumlah RM679,362.00. Selain itu, Kerajaan Negeri juga akan melengkapkan kesemua 51 unit berkenaan dengan kelengkapan asas seperti kipas dan lampu untuk memastikan keselesaan penghuni  bakal ditempatkan di perumahan tersebut dan kos yang terlibat adalah berjumlah RM71,000.00.
 
Sejurus selepas perjanjian pembelian dan pembaikan ditandatangani, pengurusan 51 unit rumah ini akan diserahkan kepada Bahagian Perumahan, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri. Pengagihan dan penawaran akan dibuat oleh Jawatankuasa Pembersihan dan Peningkatan Mutu Pemilihan Perumahan (Selection Process Enhances Committees (SPECS)) untuk memastikan pengagihan dibuat secara adil dan telus kepada golongan yang memerlukan dengan diaudit bersama oleh syarikat perakaunan. Pemohon yang layak akan menandatangani perjanjian  bersama Kerajaan Negeri di bawah Skim Sewa Beli. Kadar sewa yang akan dikenakan adalah sebanyak RM100.00 sebulan dengan kos penyelenggaraan RM20.00 sebulan untuk 15 tahun.


LIM GUAN ENG