MAJLIS PERBARISAN PEMAKAIAN PANGKAT & LOGO POLIS BANTUAN PBAHB

Posted in Dari Meja Ketua Menteri

 

 

UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG

MAJLIS PERBARISAN PEMAKAIAN PANGKAT & LOGO POLIS BANTUAN PBAHB
PADA 15 JANUARI 2015

Terlebih dahulu, saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada PBAHB kerana menjemput saya ke Majlis Sambutan Perbarisan Pemakaian Pangkat dan Logo Polis Bantuan PBAHB pada pagi ini. Saya turut mengalu-alukan kehadiran Yang Dihormati Commisioner Police Dato’ Wira Abd Rahim bin Hj Hanafi, Ketua Polis Pulau Pinang yang akan menyempurnakan pemakaian pangkat dan logo anggota Polis Bantuan sebentar nanti.


Saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan tahniah kepada lapan orang yang dinaikkan pangkat kepada Sarjan, 24 orang sebagai Koperal dan 10 orang Konstabel sebentar lagi .

Masa berlalu pantas dan kini Pasukan Polis Bantuan PBAHB sudah setahun ditubuhkan. Saya masih ingat ketika hadir pada Majlis Penyerahan Sijil Kelulusan Penubuhan Polis Bantuan ini pada penghujung tahun 2013.

Saya kira PBA Holdings Bhd melalui anak syarikatnya iaitu Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang Sdn Bhd sentiasa menitik-beratkan aspek keselamatan di semua lokasi dan premis operasinya di negeri Pulau Pinang ini. Sebagai syarikat bekalan air, ia telah dikategorikan sebagai SASARAN PENTING DAN KAWASAN LARANGAN oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Saya juga difahamkan, mengikut Arahan Tetap Sasaran Penting di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972, Syarikat ini diletakkan di bawah kategori KEUTAMAAN 1 iaitu sebagai Sasaran Penting dimana jika berlaku kerosakan ianya akan mengakibatkan kesan-kesan amat buruk terhadap ekonomi Negara atau Keselamatan Negara dan fungsi-fungsi kerajaan.

Seperti apa yang berlaku di Pantai Timur, terutamanya di negeri Kelantan baru-baru ini iaitu pada akhir tahun lalu, banjir terburuk dalam sejarah negara, yang mana kini ia masih berada di dalam fasa pemulihan banjir.

Dalam hal ini juga saya sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah PBAHB ingin menyampaikan ucapan tahniah kepada kumpulan syarikat PBAHB kerana menjadi satu daripada syarikat prihatin, yang bukan sahaja menyumbang barang-barang keperluan untuk mangsa banjir di sana, tetapi juga turut menghantar bantuan lain iaitu seperti lori tangki, kakitangan dan juga pasukan Rejimen Pakar Pengendalian Air ke-60, Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD) skuadron Pulau Pinang dari syarikat ini untuk sama-sama berganding bahu membantu rakan-rakan dari Air Kelantan Sdn Bhd untuk memulihkan bekalan air serta membantu membersihkan beberapa sekolah di Kuala Krai yang teruk terjejas baru-baru ini.

Saya sendiri berkesempatan melihat sendiri secara dekat aktiviti yang dijalankan mereka pada Jumaat lepas di Kuala Krai, Kelantan. Mereka bertungkus lumus melaksanakan tugas yang digalas di bahu mereka sebaik mungkin. Saya difahamkan pasukan ini sudahpun kembali semula ke Pulau Pinang dan akan bersedia ke sana lagi pada bila-bila masa jika keadaan memerlukan.

Tuan-tuan dan puan-puan,

PBAHB telah mengemukakan permohonan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada 3 Mei 2013 bagi mendapatkan kelulusan penubuhan Angkatan Keselamatan iaitu Unit Polis Bantuan Syarikat dan ia telah diluluskan pada 29 November 2013.

Saya difahamkan pasukan ini mempunyai kekuatan ahli seramai 44 orang. Empat kumpulan telah menjalani latihan sama ada di Pusat Latihan Pasukan Gerakan Am (PLPGA) atau di Pusat Latihan Polis sepanjang tempoh penubuhan. Kekuatan anggota akan terus ditambah dari semasa ke semasa mengikut keperluan dan kewangan syarikat.

PBAHB adalah Syarikat air yang ke-empat yang menubuhkan Unit Polis Bantuan selepas Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS), Syarikat Air Darul Aman (SADA) Kedah dan Syarikat Air Negeri Sembilan (SAINS).

Pasukan polis bantuan juga berfungsi sebagai ‘mata dan telinga’ kepada PDRM selain peranan utamanya iaitu mencegah berlakunya jenayah di premis dan lokasi PBAHB. Bagaimanapun saya meminta agar sebagai pasukan beruniform, imej yang baik perlu dititik-beratkan agar kredibiliti sebagai polis bantuan sentiasa dipandang tinggi.

Walaupun kes jenayah di sekitar lokasi dan premis PBAHB tidaklah ketara, pasukan polis bantuan adalah lebih berkesan daripada pengawal keselamatan kerana kuasa-kuasa dan tanggungjawab yang lebih yang dipikul oleh pasukan polis bantuan.

Saya berharap pasukan ini dapat menjalankan tugas yang diamanahkan dengan sebaik mungkin, mengikut bidang kuasa yang telah diluluskan. Mereka perlu sedar bahawa kuasa mereka hanya terletak di premis dan lokasi syarikat sahaja dan bukan lebih daripada itu.

Akhir kata, sekali lagi saya mengucapkan tahniah kepada anggota-anggota yang akan dipakaikan pangkat mereka pada hari ini, dan kepada PBAHB, tahniah juga sempena setahun penubuhan pasukan polis bantuan PBAHB.

Terima kasih dan selamat sejahtera.