Majlis Penyempurnaan Kerja-kerja Menaiktaraf Tapak Perkuburan Protestant

Posted in Dari Meja Ketua Menteri

Majlis Penyempurnaan Kerja-kerja Menaiktaraf Tapak Perkuburan Protestant

Teks ucapan YAB Tuan Lim Guan Eng
15 Januari 2015
________________________________________________________________

 


Selamat pagi!

Pertama sekali, saya ingin ucapkan tahniah kepada MPPP, Think City Sdn.Bhd. dan GTWHI yang turut serta dalam kerja-kerja menaiktaraf tapak perkuburan Protestant, Jalan Sultan Ahmad Shah. Tahniah atas usaha-usaha anda semua.

Tapak Perkuburan Protestant, Jalan Sultan Ahmad Shah terletak di dalam Tapak Warisan Dunia George Town merupakan Tapak Warisan kategori 1 dan tapak ini adalah milikan Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

Saya dimaklumkan bahawa sejak tahun 2012 sehingga kini, lebih kurang RM416,069.60 telah diperuntukkan bagi pelbagai kerja-kerja yang dijalankan di tapak perkuburan Protestant, Jalan Sultan Ahmad Shah. Kerja-kerja yang dilaksanakan termasuk kerka-kerja penyediaan Pelan Pengurusan Warisan (Heritage Management Plan), kerja lapangan dan penyediaan Laporan Kajian Dilapidasi, kerja-kerja membaiki kubur yang rosak, kerja dokumentasi kerosakan kubur-kubur, dan sebagainya.

Tapak Perkuburan Protestant Jalan Sultan Ahmad Shah yang diasaskan oleh East India Company pada tahun 1786 adalah bukti penting yang menunjukkan keadaan penetapan awal di George Town. Banyak orang kenamaan dikebumikan di sini, termasuk peneroka George Town, Kapten Francis Light; Gabenor-gabenor: Philip Dundas, William Petrie, John Alexander Bannerman; Pengasas Penang Free School, Reverend Robert Sparke Hutchings; James Richardson Logan , seorang Peguam yang mempromosikan penggunaan perkataan “Indonesia”; isteri dan anak kepada A.A. Anthony, pengasas syarikat broker saham yang pertama di George Town; Thomas Leonowens, suami kepada Anna Herriette Edwards yang menjadi guru kepada Raja Siam; pengawai-pengawai East India Company, peniaga-peniaga mashyur di Pulau Pinang dan sebagainya.

Berdasarkan batu nisan yang masih terdapat di sini, sekurang-kurangnya sepuluh etnik yang dikebumikan di Tapak Perkuburan Protestant Jalan Sultan Ahmad Shah, termasuk orang America, Armenia, Australia, Cina, Belanda, British, Perancis, German, Ireland dan Scotland.

Sebahagian daripada tapak perkuburan ini pernah dibom oleh tentera Jepun semasa Perang Dunia ke-2. Walau bagaimanapun, berdasarkan kaji selidik tahun 2013, tapak perkuburan ini mempunyai 459 buah kubur. Ada di kalangan kubur ini dikebumikan lebih daripada seorang, maka sekurang-kurangnya 495 orang dikebumikan di sini.

Untuk menghadapi cabaran-cabaran masa hadapan, kita perlu untuk menghubungkannya dengan masa kini, dan untuk mencapai matlamat tersebut kita perlu memahami masa silam.

Sebelum saya mengakhiri ucapan ini, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada anda semua. Dengan ini, saya merasmikan Majlis Penyempurnaan Kerja-kerja Menaiktaraf Tapak Perkuburan Protestant, Jalan Sultan Ahmad Shah.

Terima kasih.