SEMPENA MAJLIS MAKAN AMAL PEMBUKAAN THE LIGHT GRAND BALLROOM

Posted in Dari Meja Ketua Menteri

TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG
SEMPENA MAJLIS MAKAN AMAL PEMBUKAAN THE LIGHT GRAND BALLROOM
23 JANUARI 2015

Salam sejahtera

Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada The Light Hotel Sdn. Bhd. atas kejayaan membina sebuah hotel setaraf 5 bintang. Saya percaya lokasi The Light Hotel yang terletak di Seberang Jaya ini amat strategik berikutan permintaan yang tinggi untuk sama ada untuk penginapan mahupun penganjuran seminar dan mesyuarat di Seberang Perai.

Pembukaan The Light Hotel di Seberang Perai ini sedikit sebanyak membantu usaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang dalam merealisasikan hasrat menjadi negeri yang bertaraf antarabangsa dan pintar bukan sahaja di Bahagian Pulau tetapi juga untuk Seberang Perai seiring dengan pembangunan yang seimbang dan mampan.

Pembinaan The Light Hotel (M) Sdn Bhd yang menelan perbelanjaan kos sebanyak RM120 juta dilihat sangat tepat pada masanya dalam memacu pertumbuhan ekonomi di Seberang Perai memandangkan Pulau Pinang akan menyambut Tahun Melawat Pulau Pinang 2015 tidak lama lagi.

Sejumlah Keluasan The Light Hotel ialah 350,000 kaki persegi, hotel menpunyai 300 pelbagai bilik untuk pelanggan memilih, 1,533 meter persegi ballroom, restoran, kolam renang, spa gimnasium dan sebagainya. Saya dimaklumkan hotel ini merupakan hotel pertama yang setaraf 5 bintang di Seberang Perai. Tahniah kepada The Light Hotel!

Para hadirin yang saya hormati sekalian,

Dalam usaha untuk menaiktaraf infrastruktur di Seberang Perai, Kerajaan Negeri sedang melaksanakan 5 projek pada tahun 2014 yang menelan perbelanjaan hampir RM5.5 juta bagi keselesaan penduduk di kawasan tersebut. Antaranya ialah:

Kerja-kerja menaiktaraf sistem saliran di Taman Siakap, Seberang Jaya yang menelan perbelanjaan sebanyak RM1,990,917 bagi menyelesaikan masalah banjir kilat

Cadangan pembinaan rumah pam dan naiktaraf parit di Taman Seri Jaya dan Taman Sungai Rambai, Bukit Mertajam dengan perbelanjaan sebanyak RM2,409,330.

Pelantikan untuk kajian dan menyediakan pelan sistem perparitan induk di Kawasan Perindustrian Sungai Lokan, SPU sebanyak RM455,434.

Cadangan pemasangan pintu air di Parit Monsun Taman Bagan, SPU sebanyak RM400,000.

Cadangan kajian mengatasi banjir di Taman Machang Bubok, SPT sebanyak RM249,912.

Pada tahun ini, Kerajaan Negeri di bawah bantuan MPSP telah bercadang menaiktaraf parit konkrit di Taman Kerjasama, SPT dan menaiktaraf sistem perparitan di Lengkok Tenggiri Seberang Jaya, dengan anggaran kos sebanyak RM1,541,000.

Kerja-kerja menaiktaraf di Jalan Raja Uda akan memasuki fasa kedua pada tahun ini. Selain itu, Kerajaan Negeri telah memperuntukkan RM8.7juta untuk pelebaran Jalan Siram, yang dijangka siap kerja pada tahun ini.

Akhir kata, saya mengucapkan selamat maju jaya kepada pihak The Light Hotel Seberang Jaya. Semoga hotel ini sentiasa memainkan peranannya sebagai sebuah hotel yang unik dari segi perkhidmatan – perkhidmatan yang ditawarkannya kepada para pelanggan.

Sekian. Terima kasih.