SEMPENA MAJLIS PENYAMPAIAN CEK BANTUAN KEWANGAN KERAJAAN NEGERI PULAU PINANG KEPADA TADIKA DI SEKOLAH-SEKOLAH TAMIL & PENDIDIKAN TAMIL

Posted in Dari Meja Ketua Menteri

 

TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG
SEMPENA MAJLIS PENYAMPAIAN
CEK BANTUAN KEWANGAN KERAJAAN NEGERI PULAU PINANG KEPADA TADIKA DI SEKOLAH-SEKOLAH TAMIL & PENDIDIKAN TAMIL

Selamat Petang dan Salam Sejahtera.

Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua yang sudi hadir bagi bersama-sama menjayakan majlis yang cukup bermakna pada petang ini

Saya dapati ada sebuah sekolah Tamil di Pulau Pinang, iaitu SJKT Ladang Alma yang masih tidak mempunyai tadika lagi. Saya memandang hal ini sebagai satu kekurangan yang perlu diberikan perhatian serius. Hal ini adalah kerana pendidikan pra-sekolah adalah sangat penting bagi setiap kanak-kanak.

Tahun lepas saya diberitahu bahawa dua buah sekolah Tamil di Pulau Pinang belum mempunyai tadika dan saya telah menasihati sekolah-sekolah itu supaya bekerjasama dengan Jawatankuasa Khas Sekolah-Sekolah Tamil Pulau Pinang untuk mengatasi kekurangan itu. Kini saya dapati bahawa kelas tadika telah pun dimulakan di SJKT Ladang Transkrian dan Kerajaan Negeri Pulau Pinang sedang membantu sekolah itu dengan membina bilik kelas tadika dan membekalkan kemudahan-kemudahan pembelajaran yang lain. Sehubungan dengan ini, sambil mengucapkan syabas kepada SJKT Transkrian. Kini kami berharap SJKT Ladang Alma akan mengambil langkah-langkah serupa.

Dalam hal ini saya meminta Kementeriaan Pendidikan Malaysia (KPM) supaya membekalkan kemudahan tadika di semua sekolah Tamil di negara ini tanpa mengira aliran.

Saya dapati di negeri Pulau Pinang hanya di tujuh buah (7) sekolah sahaja kemudahan tadika disediakan oleh KPM. Di sekolah-sekolah lain tadika diuruskan oleh sama ada PIBG atau pihak swasta. Tadika-tadika ini diuruskan dengan yuran yang dikutip dari kanak-kanak. Kami tidak boleh meminta mereka supaya jangan kutip yuran kerana mereka perlukan wang untuk membayar gaji guru dan membeli bahan bacaan dan peralatan pembelajaran.

Malangnya, perlu juga diingat bahawa ramai ibu bapa yang menghantar anak mereka ke sekolah Tamil tidak mampu membayar yuran ini. Disebabkan inilah kebanyakan kanak-kanak yang mendaftar di sekolah Tamil tidak dapat menghadiri tadika. Untuk meringankan beban inilah Kerajaan Negeri mengambil keputusan untuk menghulurkan bantuan khas, RM 100,000 setahun ini.

Di sini saya juga ingin menegaskan bahawa kami tidak menghadkan sokongan, malah cuba meningkatkan prestasi tadika-tadika di sekolah Tamil dengan membekalkan komputer, printer, Alat Bantu Mengajar (ABM) dan alat permainan yang sesuai bagi kanak-kanak dan projektor LCD kepada tadika-tadika ini.

Dalam Majlis ini Kerajaan Negeri juga akan menghulurkan peruntukan khas kepada Jawatankuasa Khas Sekolah-Sekolah Tamil sebanyak RM 100,000 untuk menampung kos keperluan-keperluan kontingensi di sekolah-sekolah Tamil dan juga untuk pengembangan pendidikan Tamil di sekolah kebangsaan, sekolah menengah kebangsaan dan institusi-institusi pengajian tinggi di Pulau Pinang.

Maka, dengan bangganya saya mengumumkan jumlah wang yang diperuntukkan seperti berikut:

1. Tadika RM100,000.00

2. Tabung Khas Jawatankuasa Khas Sekolah-Sekolah Tamil RM100,000.00


Saya berharap peruntukan ini akan digunakan dengan cermat demi membantu memajukan pendidikan Tamil di negeri Pulau Pinang.


Sekian, terima kasih.