HI-TEA KM LIM BERSAMA RAKAN-RAKAN FACEBOOK

Posted in Dari Meja Ketua Menteri

 Adalah menjadi harapan saya untuk bertemu dengan rakan-rakan atau dengan lebih tepat penyokong-penyokong setia laman sosial Facebook saya yang kini telah mencecah angka kira-kira 35,000 orang.

Umumnya, saya amat berbesar hati dan terasa terharu dengan sokongan padu yang diberikan oleh rakan-rakan sekalian. Kata-kata hikmah dan juga dorongan berterusan yang diberikan telah menyuntik semangat saya untuk terus berjuang terutamanya dalam memartabatkan pentadbiran Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan juga kebajikan rakyat seluruh negara ini.

Sebagai sebuah kerajaan berjiwa rakyat, adalah menjadi prinsip Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat (PR) untuk mendengar suara rakyat, buat kerja untuk rakyat dan memberi harapan baru kepada rakyat.

Initipati ini turut dipraktikkan terhadap maklum balas yang diberikan di laman Facebook saya. Walaupun saya tidak dapat meluangkan sepenuh masa untuk berinteraksi, kakitangan dari Unit Penerangan Pejabat Ketua Menteri sering memaklumkan kepada saya mengenai perkembangan terkini rakan-rakan sekalian.

Justeru, bersempena dengan ulangtahun pertama saya di laman Facebook yang diwujudkan sejak Jun 2010, saya ingin menjemput anda sekalian ke majlis Hi-Tea bersama saya pada 25 Jun 2011 jam 3 hingga 5 petang di Perkarangan Straits Quay, Tanjung Tokong, Pulau Pinang.

Bagi penganjuran pertama, seramai 200 rakan akan dipilih bagi menyertai majlis berkenaan. Pertemuan selanjutnya akan diatur dari semasa ke semasa. Sila isi borang penyertaan yang disediakan dan rakan-rakan yang bertuah akan dihubungi bagi pengesahan lanjut. Borang penyertaan di sini :http://www.buletinmutiara.com/2011/05/12/hi-tea-km-lim-bersama-rakan-rakan-facebook/

Sekian terima kasih.

LIM GUAN ENG