MAJLIS PENYERAHAN PERJANJIAN PINJAMAN PENUNTUT NEGERI PULAU PINANG SESI 2016/2017

Posted in Dari Meja Ketua Menteri

UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG,
SEMPENA MAJLIS PENYERAHAN PERJANJIAN PINJAMAN PENUNTUT NEGERI PULAU PINANG SESI 2016/2017

PADA 18 DISEMBER 2016
DI AUDITORIUM, DEWAN SRI PINANG

Selamat petang dan salam sejahtera kepada semua.

Bagi pihak Kerajaan Negeri, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri kerana telah berjaya menganjurkan Majlis Penyerahan Perjanjian Pinjaman Penuntut Negeri Pulau Pinang Sesi 2016/2017.

Selamat datang dan tahniah diucapkan kepada 311 orang penuntut penerima Pinjaman Penuntut pada hari ini. Pemberian pinjaman ini diberikan tanpa mengira kaum, agama dan yang penting sekali latar belakang politik. Ini selaras dengan hasrat Kerajaan Negeri, seperti yang telah dinyatakan semasa pembentangan Bajet Tahun 2017 dalam Sidang Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang lalu yang berteraskan, memperkukuhkan modal insan melalui pendidikan.

Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian,

Untuk pengetahuan semua, dalam tahun 2016 ini, Kerajaan Negeri telah meluluskan seramai 404 orang penuntut bagi menerima Pinjaman Penuntut Negeri Pulau Pinang Sesi 2016/2017. Walau bagaimanapun, hanya 311 orang sahaja yang bersetuju untuk menerima dan mengembalikan surat perjanjian pinjaman ini.

Dalam usaha untuk meringankan beban yang ditanggung oleh ibu bapa, Kerajaan Negeri telah bersetuju untuk memberi pinjaman kepada anak-anak Negeri Pulau Pinang yang mendapat tawaran dari Institut Pengajian Tinggi Awam dan Swasta Tempatan bagi menampung kos dan perbelanjaan mereka ketika menuntut di Institut Pengajian Tinggi.

Kadar pinjaman yang diberikan adalah berbeza mengikut peringkat pengajian iaitu bermula dari RM2,000 untuk peringkat Sijil sehinggalah RM8,000 untuk peringkat Ijazah Kedoktoran. Untuk makluman semua, status pinjaman pendidikan yang diberikan ini boleh ditukar kepada biasiswa bagi menghargai penuntut IPTA yang mendapat kelulusan cemerlang (Kelas Pertama) dengan CGPA 3.67 dan ke atas. Kemudahan ini diberikan hanya kepada penuntut di peringkat Ijazah Sarjana Muda, Ijazah Sarjana dan Ijazah Kedoktoran.

Bagi penuntut IPTA dan IPTS tempatan yang mendapat kelulusan (Kelas Kedua Tinggi) dengan CGPA 3.5 hingga 3.66 pula akan diberi diskaun 50 % daripada jumlah pinjaman.

Selain dari itu, Kerajaan Negeri juga menawarkan insentif diskaun 10% kepada semua penuntut tanpa mengira peringkat pengajian sekiranya dapat menjelaskan kesemua jumlah pinjaman sebelum tarikh mula bayar balik pinjaman.

Sejak tahun 2008 hingga kini, Kerajaan Negeri telah memperuntukkan sebanyak RM13.9 juta yang mana telah memanfaatkan seramai 1543 orang penuntut.

Kerajaan Negeri mampu membayar jumlah yang banyak oleh sebab Kerajaan Negeri terus berpegang kepada prinsip bahawa sebuah kerajaan bersih akan menjalankan tata kelola dan urustadbir Kerajaan yang berteraskan prinsip Urustadbir Cekap, Akauntabiliti dan Telus (CAT). Ini boleh dilihat melalui prestasi Kerajaan Negeri sejak tahun 2008 yang mana telah mencatatkan lebihan Belanjawan setiap tahun serta penurunan hutang negeri sebanyak 90% kepada RM69 juta daripada keseluruhan RM16.8 bilion, iaitu hutang yang paling rendah di Malaysia.

Kerajaan Negeri juga telah berjaya meningkatkan lebihan belanjawan yang terkumpul sebanyak RM574 juta dalam tempoh lapan (8) tahun pemerintahan (2008-2015) berbanding dengan lebihan RM 373 juta sepanjang 50 tahun (1957-2007). Prestasi yang baik inilah juga telah mendapat pujian bukan sahaja daripada Laporan Ketua Audit Negara tetapi juga Transparency International.

Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian,

Pada tahun 2016 juga, Kerajaan Negeri berbesar hati untuk meluluskan penukaran pinjaman penuntut Encik Fahmi bin Ismail sebanyak RM19,500 kepada biasiswa kerana menghargai sumbangan beliau mendapat kelulusan cemerlang (Kelas Pertama). Selain dari itu, Kerajaan Negeri juga memberikan wang insentif sebanyak RM1,000 kepada beliau. Tahniah diucapkan kepada Encik Fahmi bin Ismail dan semoga ini menjadi contoh kepada penuntut-penuntut yang lain.

Akhir kata, saya beserta barisan pemimpin Kerajaan Negeri sekali lagi mengucapkan tahniah dan syabas kepada ibu bapa, waris dan kesemua penuntut kerana telah terpilih untuk melanjutkan pelajaran dan bertuah kerana turut menerima bantuan pinjaman ini.

Sekian, terima kasih.