MAJLIS PENYAMPAIAN CEK BANTUAN PENDAFTARAN PELAJAR KE IPT PERINGKAT IJAZAH SARJANA MUDA SESI 2016/2017 ZON SEBERANG PERAI

Posted in Dari Meja Ketua Menteri

UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG
PADA MAJLIS PENYAMPAIAN CEK BANTUAN PENDAFTARAN PELAJAR KE IPT PERINGKAT IJAZAH SARJANA MUDA SESI 2016/2017
ZON SEBERANG PERAI

BERTEMPAT DI DEWAN MILENIUM KEPALA BATAS PULAU PINANG.
20 DISEMBER 2016 (SELASA)


Salam Sejahtera dan Selamat Malam pada semua.

Terima kasih kepada saudara Pengerusi Majlis. Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan Selamat Datang ke Majlis Penyampaian Cek Bantuan Pendaftaran Pelajar Ke IPT, Peringkat Ijazah Sarjana Muda Sesi 2016/2017, Zon Seberang Perai. Majlis ini diadakan khas bagi meraikan anak-anak harapan Pulau Pinang seterusnya menghargai kebijaksanaan mereka untuk terus lebih maju dimasa akan datang. Terima kasih juga diucapkan kepada ibu bapa dan waris yang sanggup meluangkan masa dan tenaga pada malam ini.

Hadirin yang dihormati sekalian,

Majlis seumpama ini juga telah dilaksanakan di peringkat Pulau di mana ia melibatkan Daerah Balik Pulau dan Daerah Timur Laut pada 14 Disember 2016 yang lalu. Malam ini Kerajaan Negeri sekali lagi melaksanakan Majlis yang sama bagi Peringkat Zon Seberang Perai di mana ia merangkumi Daerah Seberang Perai Utara, Daerah Seberang Perai Tengah dan Daerah Seberang Perai Selatan. Saya juga difahamkan pada tahun 2016 bagi Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Kerajaan Negeri telah membelanjakan sebanyak RM736,000 ( 498 orang penerima Ijazah dan 238 orang penerima Diploma) manakala sebanyak RM817,000 bagi Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) (602 orang penerima Ijazah & 215 orang penerima Diploma. Bagi Seberang Perai Selatan (SPS), Kerajaan Negeri telah membelanjakan sebanyak RM368,000 (289 orang penerima Ijazah dan 79 orang penerima Diploma).

Kerajaan Negeri, secara keseluruhannya telah menyumbangkan sejumlah RM8,860,000 juta bagi tempoh 5 tahun di Seberang Perai kebelakangan ini. Sejumlah RM3,457,000 bagi para pelajar IPT di Daerah Seberang Perai Utara manakala sejumlah RM3,766,000 juta di Daerah Seberang Perai Tengah dan sejumlah RM1,637,000 di Seberang Perai Selatan bagi tempoh yang sama.

Hadirin yang dihormati sekalian,

Negeri Pulau Pinang sentiasa berada di hadapan. Bantuan berbentuk kewangan sebanyak RM1000 seorang ini merupakan yang pertama dilaksanakan dalam Malaysia. Walaupun bantuan ini tidaklah seberapa, namun ia adalah penghargaan besar Kerajaan Negeri kepada semua pelajar-pelajar yang layak menerimanya. Kerajaan Negeri tidak pernah teragak-agak untuk melabur kepada golongan bijak pandai anak negeri Pulau Pinang. Walaupun Pulau Pinang tidak mempunyai sumber semulajadi, Pulau Pinang dapat mengecapi pembangunan ke arah negeri keusahawanan menerusi tiga teras utama :
1) Tatakelola kerajaan yang baik dan bersih
2) Membina infrastruktur dan kemudahan asas
3) Membina modal insan

Kerajaan Negeri berjaya melaksanakan tatakelola kerajaan yang baik dan bersih menerusi pentadbiran cekap, akauntable dan telus (CAT). Urus tadbir CAT menampakkan banyak kejayaan. Antaranya :

-Pulau Pinang mencatat bajet lebihan dengan jumlah lebihan sebanyak RM574 juta bagi tempoh 8 tahun dari 2008-2015, lebih daripada jumlah lebihan di bawah BN sepanjang 50 tahun pentadbiran dari 1957-2007, iaitu RM373 juta. Dalam erti kata lain, kita mengambil masa hanya 8 tahun untuk mengatasi prestasi 50 tahun sebelum ini!

-Aset Pulau Pinang hampir digandakan dalam tempoh 8 tahun dari RM850 juta kepada RM1.6 bilion, sekali lagi mencatat prestasi hebat dalam 8 tahun berbanding 50 tahun sebelum ini.

-Jika tempoh 8 tahun iaitu 2008-2015 dibandingkan dengan 2000-2007, pelaburan pembuatan di Pulau Pinang telah meningkat 87% kepada RM54.9 bilion berbanding RM29.4 bilion, dengan kenaikan bilangan peluang pekerjaan sebanyak 20% kepada 128,317 berbanding 106,583. Kadar pengangguran di Pulau Pinang adalah di antara yang paling rendah di Malaysia yakni hanya 1.6% dan kini terdapat kekurangan pekerja seramai 20,000 di Pulau Pinang.

-Produktiviti penternakan ikan di laut juga meningkat secara mendadak, daripada hanya 2,714.60 tan metrik pada tahun 2007 kepada 28,964.95 tan metrik pada tahun 2015, iaitu peningkatan hampir 10 kali ganda.

-Pekala Gini (Gini coefficient) bagi mengukur tahap kesenjangan pendapatan telah berkurang daripada 0.419 pada tahun 2009 kepada 0.364 pada tahun 2014, iaitu satu penambahbaikan sebanyak 13% dalam tempoh masa 5 tahun, berbanding dengan purata kebangsaan 0.401. Sebagai bandingan, Perak mempunyai pekala Gini yang lebih rendah iaitu 0.419 pada tahun 2009, tetapi masih mencatat angka yang lebih tinggi berbanding Pulau Pinang, iaitu 0.366 pada tahun 2014.

-Hutang Negeri Pulau Pinang telah menurun 90% sejak tahun 2008 dan berada pada tahap paling rendah dalam negara, iaitu RM69 juta pada akhir 2015. Hutang RM69 juta ini sangat kecil berbanding jumlah hutang kesemua 13 negeri yang mencecah RM16.8 bilion, dengan hutang Pahang sebanyak RM2.9 bilion, diikuti oleh Sabah RM2.6 bilion, Sarawak RM2.5 bilion, Kedah RM2.3 bilion dan Kelantan RM1.3 bilion.

-Pada tahun 2007, Pulau Pinang mempunyai kadar peratusan pertumbuhan KDNK per kapita yang paling tercorot. Pada tahun 2015, selepas 8 tahun, Pulau Pinang akhirnya berjaya merubahkan keadaan dan menjadi juara kebangsaan dengan kadar pertumbuhan KDNK per kapita yang paling tinggi.

-KDNK per kapita Pulau Pinang sebanyak RM44,847 pada tahun 2015 adalah lebih tinggi berbanding KDNK per kapita kebangsaan sebanyak RM37,104.

-Prestasi ekonomi Pulau Pinang yang hebat ini boleh dilihat melalui transformasi negeri yang dahulunya diiktiraf sebagai negeri yang paling kotor di Malaysia kepada antara negeri paling bersih yang juga hijau, selamat dan sihat. Jalan-jalan baru telah dibina di Seberang Perai dan buat kali pertama dalam 20 tahun, dalam kawasan tengah bandar Pulau Pinang iaitu Jalan Ahmad Nor, serta Jalan Raja Uda di Butterworth dan Jalan Song Ban Keng di Bukit Mertajam.

-Kejayaan kita bukan sekadar statistik, tetapi adalah perkara zahir yang boleh dilihat dalam tempoh 8 tahun, seperti projek rumah terbiar yang kini dihidupkan kembali, tapak pelancongan yang kini dicergaskan kembali seperti bangunan Komtar, Bukit Bendera, George Town, Penang International Sports Arena(PISA) serta penubuhan dewan baru di Seberang Jaya (Seberang Perai Arena).

Pada kesempatan ini, saya juga ingin mengucapkan sekalung tahniah kepada Jawatankuasa Penganjur, Pejabat Daerah Dan Tanah Seberang Perai Utara, Pejabat Daerah Dan Tanah Seberang Perai Tengah, Pejabat Daerah Dan Tanah Seberang Perai Selatan dan juga jabatan-jabatan teknikal lain yang membantu di atas penganjuran majlis ini. Ucapan terima kasih juga ditujukan kepada para hadirin yang turut hadir pada malam ini dan tak lupa juga kepada golongan pendidik yang turut menyumbang dalam kejayaan besar ini.

Sekian, terima kasih.