MAJLIS PENYEMPURNAAN PROJEK NAIKTARAF KOMPLEKS PASAR CHOWRASTA

Posted in Dari Meja Ketua Menteri

TEKS UCAPAN PERASMIAN KETUA MENTERI PULAU PINANG

SEMPENA MAJLIS PENYEMPURNAAN PROJEK NAIKTARAF KOMPLEKS PASAR CHOWRASTA

PADA 7 JANUARI 2017


Selamat pagi dan salam sejahtera.

1. Terlebih dahulu saya ingin merakamkan rasa bersyukur dan terima kasih kerana kita dapat bersama-sama dengan YB Chow Kon Yeow dan Dato Bandar MBPP Dato Patahiyah Binti Ismail dalam Majlis Penyerahan Kompleks Pasar Chowrasta yang telah siap sepenuhnya pelaksanaan kerja-kerja naiktaraf sejak tahun 2013 dan dilewatkan dari 24 Ogos 2015 hingga 30 November 2016.

2. Saya ingin menarik perhatian umum mengenai warisan Pasar Chowrasta ini. Bangunan Pasar Chowrasta dikenalpasti pembinaan pada awal tahun 1890 dan pada tahun 1920, binaan hadapan pasar ini telah dibina bagi menampung keperluan aktiviti perniagaan di kawasan ini. Chowrasta dalam bahasa Urdu adalah merujuk kepada Jalan Simpang Empat. Pada tahun 1961, bangunan kekal yang sediada telah dirobohkan bagi membina struktur baru.

3. Sejak dari 1961, tiada sebarang kerja-kerja naiktaraf dijalankan pada bangunan kompleks Pasar ini. Pihak kerajaan negeri maklum bahawa keadaan pasar diabaikan sebelum ini.

4. Sejak Kerajaan Pakatan mengambil alih pentadbiran Kerajaan Negeri menyediakan kemudahan infrastruktur bertaraf dunia. Penekanan kepada pasar-pasar yang selepas dinaiktaraf telah mengubah wajah pasar kita kepada tempat yang ceria dan memudahkan suasana penjualan dan pembelian barangan.

5. Saya difahamkan bahawa MBPP telah melaksanakan kerja-kerja naiktaraf kompleks pasar dan makanan sejak tahun 2009 dan pelaksanaannya adalah secara berterusan dan mampu memberikan nilai tambah kepada peniaga dan juga masyarakat setempat. Inilah manfaat daripada memilih sebuah kerajaan yang bersih dan menyalurkan sumber kewangan untuk kebaikan rakyat.

6. Untuk makluman semua, MBPP telah berjaya menaiktaraf 24 buah Kompleks Pasar dan Makanan sejak tahun 2009 hingga 2016 dengan kos sebanyak RM 35,434,848.66. Dari jumlah tersebut, Pasar Chowrasta yang baru siap dinaiktaraf telah menelan perbelanjaan sebanyak RM 13,496,934.66. Majlis juga memperuntukan sebanyak RM 9,073,594.00 bagi pembinaan Pasar Batu Feringgi yang masih dalam proses pembinaan. Bagi tahun 2017 pula, MBPP merancang untuk menjalankan kerja-kerja naik taraf di Pasar Lebuh Campbell dan Pasar Jalan Anson dengan memperuntukan hampir RM 8 juta.

7. Dengan ini saya merasmikan Majlis Penyerahan Kompleks Pasar Chowrasta yang telah siap dinaiktaraf. Semoga dengan penyerahan ini, kita rakyat Negeri Pulau Pinang dapat menikmati kemudahan yang disediakan.

Sekian, terima kasih.