MAJLIS PEMBERIAN INSENTIF PERKHIDMATAN KEPADA PEMANDU TEKSI DAN OPERATOR BAS SEKOLAH DI PULAU PINANG BIL 1/2017 (BAHAGIAN PULAU)

UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG

SEMPENA MAJLIS PEMBERIAN INSENTIF PERKHIDMATAN KEPADA PEMANDU TEKSI DAN OPERATOR BAS SEKOLAH

DI PULAU PINANG BIL 1/2017

PADA 14 JANUARI 2017
DEWAN SRI PINANG

 

Terlebih dahulu, bagi pihak Kerajaan Negeri, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang melalui Bahagian Kerajaan Tempatan kerana telah bertungkus lumus dan telah berjaya menguruskan proses pemberian insentif kali pertama yang menggabungkan pemandu teksi dan operator bas sekolah pada tahun ini.

Untuk makluman, insentif teksi telah mula diberikan sejak tahun 2013 manakala kepada operator bas baru sahaja mula diberikan pada tahun lepas.

Terima kasih saya ucapkan kepada Gabungan Persatuan Pemandu Teksi dan Kereta Sewa Negeri Pulau Pinang dan Persatuan Operator Bas Sekolah Pulau Pinang yang telah menyediakan jambatan untuk menghubungi golongan pemandu teksi dan operator bas sekolah dengan Kerajaan Negeri.

Seperti tahun-tahun sebelum ini, Kerajaan Negeri telah bekerjasama dengan pihak Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) bagi mendapatkan senarai nama pemandu teksi dan operator bas sekolah yang sah berdaftar dan menjalankan perkhidmatan di seluruh negeri Pulau Pinang.

Pada hari yang bersejarah ini, semua pemandu teksi dan operator bas sekolah yang sah berdaftar akan menerima RM300 setiap seorang.

Jumlah keseluruhan pemandu teksi yang layak pada kali ini ialah seramai 1741 orang pemandu. Seramai 1291 orang pemandu di bahagian Pulau dan 450 orang pemandu di bahagian Seberang Perai akan menerima insentif ini.

Manakala bagi operator bas sekolah, seramai 602 operator bas sekolah dengan permit yang sah layak dengan 297 operator bas sekolah di Bahagian Pulau dan 305 operator bas di Seberang Perai.

Jumlah keseluruhan insentif pada kali ini ialah sebanyak RM702,900.00 (Ringgit Malaysia Tujuh Ratus Dua Ribu Sembilan Ratus Sahaja).

Tuan-tuan dan Puan-puan yang saya hormati,

Kerajaan Negeri menyediakan bayaran insentif sebanyak RM600 setahun kepada tuan-tuan dan puan-puan. Tiada negeri lain di Malaysia yang menyediakan bayaran insentif kepada mana-mana pemandu teksi dan sekarang diperluaskan kepada operator bas sekolah pula. Hanya di Pulau Pinang sahaja yang ada. Tujuan Kerajaan Negeri supaya semua pemandu teksi, kereta sewa dan operator bas sekolah di Pulau Pinang dapat memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada setiap penumpang tanpa mengambil kira bangsa, agama mahupun latar belakang politik.

Pada tahun ini kita mempunyai satu acara khas bagi pemandu teksi iaitu Anugerah Pemandu Teksi Terbaik tahun 2016. Anugerah ini diberikan atas keikhlasan dan kejujuran pemandu teksi dalam melaksanakan tugasan dengan mengembalikan semula wang penumpang yang telah tertinggal dalam teksi beliau. Kerajaan Negeri sangat-sangat berbangga dan menghargai kejujuran beliau. Sebentar lagi, anugerah ini akan disampaikan sendiri oleh saya.

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,

Akhir sekali Kerajaan Negeri berjanji akan sentiasa menjaga kebajikan dan kepentingan semua pemandu teksi dan operator bas di Pulau Pinang.

Saya juga berharap insentif ini dapat digunakan secara berhemah untuk membantu keluarga dan meringankan beban pemandu teksi dan operator bas sekolah didalam urusan seharian. Sekali lagi saya ingin mengucapkan terima kasih di atas sokongan tuan-tuan yang diberikan kepada Kerajaan Negeri.

Selamat Menyambut Tahun Baru Cina.

Sekian, terima kasih.