MAJLIS PENYEMPURNAAN PROJEK KERJA-KERJA TEBATAN BANJIR DAN MENAIKTARAF SISTEM SALIRAN S22 BAGI MENGATASI MASALAH BANJIR DI LORONG PERAK DAERAH TIMUR LAUT, PULAU PINANG

Posted in Dari Meja Ketua Menteri

TEKS UCAPAN KETUA MENTERI
SEMPENA MAJLIS PENYEMPURNAAN PROJEK KERJA-KERJA
TEBATAN BANJIR DAN MENAIKTARAF SISTEM SALIRAN S22 BAGI MENGATASI MASALAH BANJIR DI LORONG PERAK
DAERAH TIMUR LAUT, PULAU PINANG

PADA 16 JANUARI 2017


Selamat pagi dan salam sejahtera.

Syabas kepada Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) kerana dapat mengadakan Majlis Perasmian Penyempurnaan Projek Tebatan Banjir dan Menaiktaraf Sistem Saliran S22 Di Lorong Perak pada pagi yang sungguh bermakna ini.

Kerajaan Negeri melalui MBPP telah membelanjakan sebanyak RM3,230,295.95 pada tahun 2014 untuk menjalankan projek-projek naiktaraf sistem perparitan di Lebuhraya Pykett, Jalan Logan, Jalan Cantonment, Jalan Residensi, Jalan Macalister dan di Gat Lebuh Pasar.

Manakala pada tahun 2015, Kerajaan Negeri, juga melalui MBPP telah membelanjakan sejumlah RM5,293,491.08 bagi menjalankan kerja-kerja naiktaraf sistem perparitan di Jalan Burma, Jalan Kelawei, Jalan Pengkalan Weld, Jalan Residensi, Jalan Anson dan Lintang Bayan Lepas.

Para hadirin sekalian,

Pada tahun 2016, Kerajaan Negeri telah meluluskan peruntukan sebanyak RM8,865,919.90 bagi membiayai projek menaiktaraf sistem perparitan dan tebatan banjir oleh MBPP.

Sebahagian daripada peruntukan RM8,865,919.90 tersebut adalah melibatkan pembiayaan projek yang kita rasmikan pada pagi ini iaitu Projek Tebatan Banjir dan Menaiktaraf Sistem Saliran S22 Bagi Mengatasi Masalah Banjir Di Lorong Perak yang melibatkan kos sebanyak RM2.5 juta.

Komponen – komponen projek ini adalah melibatkan kerja-kerja pemasangan pembentung bersaiz di antara sehingga saiz 0.9 meter lebar hingga 2.7 meter lebar, pengalihan utiliti, roadworks, serta kerja-kerja pembinaan laluan pejalan kaki.

Para hadirin sekalian,

Banjir besar sungai atau limpahan sungai berlaku apabila sungai menerima jumlah air hujan lebat yang luar biasa sehingga berlaku limpahan dan mustahil untuk air dari longkang mengalir. Ini berlaku seperti di Sungai Pinang apabila hujan lebat turun sepanjang 3 hari berturut-turut sebanyak 300mm menyebabkan banjir besar berlaku termasuk di tempat yang tidak pernah banjir.

Oleh kerana banjir besar sungai ini, ia memerlukan Rancangan Tebatan Banjir (RTB) berskala besar atau mega. Itulah sebabnya RTB Sungai Pinang memakan kos sebanyak RM350 juta.

Sungguhpun Kerajaan Persekutuan hanya meluluskan RM150 juta, Kerajaan Negeri Pulau Pinang mengalu-alukan dan akan terus meminta baki RM200 juta untuk melengkapkan RTB Sungai Pinang yang merupakan projek Kerajaan Persekutuan. Kerajaan Negeri juga memainkan peranannya dengan memperuntukkan sebanyak RM220 juta bagi tujuan pencegahan banjir kilat di seluruh Pulau Pinang, iaitu jumlah yang paling besar oleh Kerajaan Negeri dalam sejarah Pulau Pinang.

RM 150 juta diperuntukan kepada JPS atau agensi Kerajaan Negeri, RM 50 juta oleh PBA Holdings untuk meyambung paip air di antara Empangan Air Itam ke Empangan Air Teluk Bahang agar air lebihan boleh dialihkan ke Teluk Bahang serta RM 20 juta oleh MBPP dan MPSP untuk projek tebatan banjir masing-masing.

Untuk itu, Kerajaan Negeri menyediakan peruntukan sebanyak RM150 juta pada tahun 2017 kepada JPS untuk menjalankan projek-projek seperti berikut:

i. Projek Tebatan Banjir di Sungai Permatang Rawa, Daerah Seberang Perai Tengah berjumlah RM12.6 juta

ii. Projek Tebatan Banjir di Padang Lalang/Kampung Permatang Rawa, Daerah Seberang Perai Tengah berjumlah RM19.1 juta

iii. Projek Tebatan Banjir di Bukit Tengah, Daerah Seberang Perai Tengah, berjumlah RM19 juta

iv. Projek Tebatan Banjir di Taman Mangga/Jalan Juru, Daerah Seberang Perai Tengah berjumlah RM11.5 juta

v. Projek Tebatan Banjir di Alma, Daerah Seberang Perai Tengah berjumlah RM9.6 juta

vi. Projek Tebatan Banjir di Mak Mandin Daerah Seberang Perai Utara berjumlah RM 40 juta

vii. Projek Tebatan Banjir di Sungai Relau, Bayan Baru berjumlah RM20.1 juta

viii. Projek Tebatan Banjir di Taman Iping Daerah Barat Daya berjumlah RM13.6 juta

ix. Projek Tebatan Banjir di Kampung Naran, Daerah Barat Daya berjumlah RM4.5 juta

Kami percaya projek-projek RM220 juta dan projek Kerajaan Persekutuan RTB Sungai Pinang sebanyak RM 350 juta selepas ia siap ini akan memberikan impak yang besar dalam usaha Kerajaan Negeri untuk mengatasi masalah banjir di seluruh Negeri Pulau Pinang.

Dengan itu, tanpa melengahkan masa lagi, saya menyempurnakan Projek Kerja-Kerja Tebatan Banjir Dan Menaiktaraf Sistem Saliran S22 Bagi Mengatasi Masalah Banjir Di Lorong Perak Daerah Timur Laut, Pulau Pinang.

Sekian, terima kasih.