MAJLIS PENYAMPAIAN SURAT PELANTIKAN JKKK TAHUN 2017/2018 (BAHAGIAN PULAU)

UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG
SEMPENA MAJLIS PENYAMPAIAN
SURAT PELANTIKAN JKKK TAHUN 2017/2018

17 JANUARI 2017
DEWAN SRI PINANG

 

Selamat sejahtera.

Terlebih dahulu marilah kita sama-sama mengucapkan kesyukuran kerana pada malam yang berbahagia ini, kita dapat bertemu dalam Majlis Penyampaian Surat Pelantikan Ahli JKKK Peringkat Negeri Pulau Pinang (Bahagian Pulau) bagi Penggal 2017/2018.

Ucapan terima kasih saya tujukan kepada Jawatankuasa Pemilihan JKKK Peringkat Daerah dan Peringkat Negeri di atas penganjuran majlis pada malam ini. Saya juga ingin merakamkan ucapan setinggi-tinggi tahniah dan syabas kepada semua yang terpilih sebagai Pengerusi, Setiausaha dan ahli JKKK untuk menggalas tanggungjawab yang besar ini. Saya ingin mengingatkan pelantikan ini merupakan suatu tanggungjawab dan amanah besar yang perlu ditunaikan dan perlu bertanggungjawab.

Hadirin yang dihormati sekalian,

Umumnya, JKKK di Pulau Pinang mewakili suara Kerajaan di peringkat akar umbi iaitu di peringkat kampung atau komuniti. Oleh yang demikian, Kerajaan Negeri amat komited untuk memastikan pembangunan ekonomi di kawasan bandar, luar bandar dan desa diurus dengan sebaik mungkin dengan bantuan yang padu daripada JKKK.

Keseluruhannya, terdapat 299 JKKK bagi kelima-lima daerah di negeri ini. Ini berikutan Kerajaan Negeri telah meluluskan tambahan sembilan (9) Kawasan JKKK berbanding 290 JKKK sebelum ini.

Terkini, sebanyak 287 JKKK Peringkat Negeri Pulau Pinang telah diperakukan bagi Penggal 2017/2018 dengan bilangan ahli seramai 4059 orang dan daripada jumlah tersebut seramai 953 orang wanita telah dicalonkan.

Untuk makluman hadirin sekalian,

Di Bahagian Pulau sahaja, sebanyak 76 JKKK di Daerah Timur Laut dan 47 JKKK di Daerah Barat Daya telah diperakukan dengan jumlah ahli JKKK keseluruhan yang dilantik seramai 1725 orang dan daripada jumlah tersebut pencalonan wanita adalah seramai 433 orang.

Fungsi, peranan dan tanggungjawab yang diamanahkan kepada Pengerusi, Setiausaha dan Bendahari serta ahli-ahli JKKK adalah luas dan berat. Maka, perlulah setiap JKKK menjalankan fungsi-fungsi dan memainkan peranan dan memikul tanggungjawabnya sebaik mungkin demi memastikan matlamat pembangunan negeri khususnya dan negara amnya tercapai.

Suka saya tekankan di sini beberapa aspek yang perlu dititikberatkan dalam memastikan semua JKKK yang dilantik dapat menjalankan tanggungjawab dengan penuh berhemah dan berdisiplin. Semua ahli JKKK perlu memastikan perkhidmatan yang diberikan adalah 3A (Available, Accessible,Affordable) agar tanggungjawab yang diberikan dapat disampaikan secara 3B (Bersih,Bijak,Berani) dalam usaha untuk mengatasi permasalahan utama negeri ini iatu 3C (Crime, Cleanliness, Congestion of Traffic). Semua ini merangkumi kerja 3D (Dirty, Difficult, Dangerous) agar kita dapat menjadi Kerajaan Negeri berjiwa rakyat yang berasaskan 3E (Enable,Empower, Enrich The People) iaitu memperkasakan rakyat, memperkuasakan rakyat dan memperkayakan rakyat. Semua ahli JKKK juga harus bersifat 3F (First, Fast, Faithful) agar kita dapat menjalankan tugas yang diamanahkan dengan pantas dan sentiasa setia kepada Kerajaan Negeri dan rakyat dalam usaha untuk memastikan Negeri Pulau Pinang sentiasa 3G (Green, Gender Sensitive, Generation-rated agar menggunakan teknologi terkini).

Kerajaan Negeri sedar akan peranan penting yang dimainkan oleh JKKK sebagai penyelaras pelaksanaan dasar, program dan projek pembangunan di dalam sebuah komuniti. Justeru, sebagai galakan untuk mempertingkatkan lagi prestasi Pengerusi dan Setiausaha JKKK, elaun bulanan akan dinaikkan sebanyak RM50 daripada RM650 kepada RM700 untuk Pengerusi dan RM550 kepada RM600 untuk Setiausaha berkuatkuasa 1 Januari 2017.

Bagi elaun Pengerusi dan Setiausaha untuk 299 JKKK yang terlibat, peruntukan setahun yang diperuntukkan oleh Kerajaan Negeri bagi kedua-dua jawatan tersebut adalah sebanyak RM4,664,400.00.

Bagi ahli JKKK biasa pula, elaun mesyuarat akan ditambah sebanyak RM10 daripada RM40 kepada RM50 sebulan mulai 1 Januari 2017 dengan peruntukan keseluruhan setahun adalah RM1,332,200. Langkah ini akan memastikan ahli JKKK tidak tercicir daripada layanan yang sepatutnya daripada Kerajaan Negeri.

Untuk makluman, perbelanjaan keseluruhan JKKK pada tahun 2016 adalah sebanyak RM6,470,360.00 dan dengan kenaikan dan penambahan elaun yang baharu ini akan melibatkan kos keseluruhan sebanyak RM7,295,600.00 setahun dengan peningkatan sebanyak 12.75% kepada 299 JKKK yang disenaraikan.

Anda adalah penghubung di antara Kerajaan Negeri dan rakyat/ masyarakat setempat. Sekiranya anda gagal, mungkin kita juga akan tumbang dalam pilihanraya besar akan datang. Tingkatkan usaha untuk terus kekal sebagai organisasi yang penting dan relevan kepada masyarakat supaya anda boleh membantu Pakatan Harapan menang penggal ketiga dalam Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk Pilihanraya Umum (PRU-14).

Sekian, terima kasih.