Kronologi Ringkas Masalah Kampung Permatang Tok Suboh

KENYATAAN AKHBAR OLEH KETUA MENTERI PULAU PINANG

Kronologi Ringkas Masalah Kampung Permatang Tok Suboh

211 JANUARI 2017

KAMPUNG TOK SUBOH, SPT

1) Penduduk Kampung Permatang Tok Suboh menghadapi masalah pengusiran paksa oleh pihak pemaju swasta. Pada asalnya, 52 buah isi rumah telah diberi notis pertama sejak Mei 2013. Selepas PRU ke-13, YB Steven Sim dan ADUN Machang Bubok Saudara Lee Khai Loon telah bersama-sama dengan penduduk untuk menyelesaikan isu ini.

2) 26 isi rumah daripada 26 buah keluarga telah mengambil keputusan untuk berpindah manakala 26 lagi memutuskan untuk memperjuangkan pampasan yang lebih adil. Mereka ini telah menubuhkan sebuah jawatankuasa bertindak Kg Permatang Tok Suboh (“jawatankuasa”) yang dipengerusikan oleh Puan Hamidah Che Embi, salah seorang daripada penduduk di situ.

3) Penduduk diawarkan sejumlah wang daripada RM10,000 hingga RM37,000. Jumlah ini berdasarkan penilaian harga rumah oleh tuan tanah. Walau bagaimanapun, jawatankuasa memutuskan bahawa tawaran tersebut tidak boleh diterima memandangkan tidak dapat memperoleh sebuah rumah waima rumah kos rendah sekalipun. Penduduk kampung bergaji antara RM900 sehingga RM2,500 dan ramai yang tidak mempunyai pekerjaan dan pendapatan tetap. Apa yang dituntut oleh jawatankuasa ialah sebuah rumah menggantikan rumah sedia ada ataupun “in lieu” RM42,000 mengikut garis panduan perumahan kerajaan negeri.

4) Antara perkara yang telah dilaksanakan oleh kami termasuk bantuan guaman percuma sehingga ke mahkamah selepas jawatankuasa memutuskan untuk membawa kes ini ke penghakiman, pelbagai program sosial juga telah dilaksanakan di Kg Permatang Tok Suboh seperti pemeriksaan kesihatan, program Ramadhan, program Aidilfitri, acara sukan dan lain-lain lagi sepanjang tiga tahun ini. Pihak kami juga telah menganjurkan mesyuarat dan perbincangan antara penduduk dan tuan tanah untuk mendapatkan penyelesaian menang-menang. Ketua Menteri Saudara Lim Guan Eng juga pernah melawat kampung sebanyak tiga kali dan sekali lagi menjemput penduduk ke pejabat beliau di KOMTAR bagi membincangkan masalah kampung.

5) Pada bulan November 2015, jawatankuasa telah bersetuju untuk menerima pampasan jika dinaikkan sebanyak 10% setiap isi rumah. Ini berdasarkan keyakinan bahawa kerajaan negeri meluluskan sebidang tanah yang dipohon oleh penduduk untuk membina rumah baru dan juga berdasarkan cadangan bahawa penduduk juga akan memohon geran membina rumah kerajaan pusat bagi menampung baki kos pembinaan rumah baru.

6) Pada 17 Februari 2016, 26 isi rumah tersebut telah menerima notis bailiff untuk mengosongkan rumah selepas kalah di Mahkamah.

7) Selepas notis tersebut, pihak kami sekali lagi mengusulkan penyelesaian menang-menang kepada tuan tanah. Selepas lebih sebulan daripada tarikh notis tersebut, tuan tanah bersetuju bukan sahaja menaikkan 10% malah, pampasan minima kepada semua 26 isi rumah tersebut dinaikkan daripada RM10,000 kepada RM25,000. Bagi isi rumah yang sebelum ini sudahpun mendapat RM25,000 dan ke atas, tuan tanah bersetuju untuk menaikkan pampasan sebanyak 10%. Justeru, kini pampasan yang ditawarkan ialah antara RM25,000 kepada RM44,400. Ini bermakna ada yang telah mendapat tambahan hampir 150% ataupun sebanyak RM15,000. Penduduk bersetuju dengan tawaran terbaru ini. Kini dalam perbincangan untuk memperhalusi perjanjian bertulis antara kedua-dua pihak.

8) Selain itu, kerajaan negeri juga telah bersetuju memperuntukkan sebidang tanah (Lot 635) di sebelah tanah yang didiami masa kini untuk dibuat penempatan semula Kg Permatang Tok Suboh. Kerajaan negeri bukan sahaja akan menawarkan tanah secara percuma tetapi juga akan membina 37 buah rumah. Kerajaan negeri akan menawarkan penempatan baru ini kepada 26 keluarga yang dipaksa pindah oleh pemaju dan 11 buah rumah yang kini menduduki tanah Lot 635 tanpa kebenaran. Jika 26 buah isi rumah Permatang Tok Suboh menerima tawaran, mereka akan dikenakan bayaran rumah kos rendah sebanyak RM25,000 manakala 11 buah rumah yang duduk di atas tanah ini tampa kebenaran akan ditawarkan rumah secara percuma. Maka hiduplah Kampung Permatang Toh Suboh! Kerajaan Negeri Pakatan telah berjaya menyelamatkan Kampung Permatang Tok Suboh daripada lenyap sama sekali di Pulau Pinang.


LIM GUAN ENG

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang