MAJLIS PECAH TANAH MASJID AL-BUKHARY BANDAR SERI PINANG, PULAU PINANG

TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG
SEMPENA MAJLIS PECAH TANAH MASJID AL-BUKHARY BANDAR SERI PINANG, PULAU PINANG

13 FEBRUARI 2017 (ISNIN)

 

Tuan-tuan dan Puan-puan yang dihormati sekalian

Terlebih dahulu saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan terima kasih atas kehadiran Tuan Yang Terutama Tun yang sudi meluangkan masa bagi menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Masjid Al-Bukhary, Bandar Seri Pinang, Pulau Pinang pada petang yang berbahagia ini.

Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Tuan Yang Terutama Tun yang telah mengambil inisiatif sendiri untuk mencadangkan kepada Yayasan Al-Bukhary supaya mewakafkan sebuah masjid di tempat ini.

Bagi pihak Kerajaan Negeri, saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi perhargaan dan ucapan terima kasih kepada Yayasan Al-Bukhary yang akan membiayai kos pembinaan masjid ini dan kemudiannya akan mewakafkan kepada Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang. Terima kasih juga kepada IJM Land Sdn Bhd – pemaju yang telah menyerahkan tanah seluas 3.3 ekar atas arahan Kerajaan Negeri di atas Lot 661, Seksyen 8, Bandar George Town, Pulau Pinang untuk dijadikan sebagai tapak masjid ini.

Saya difahamkan apabila bangunan masjid ini siap kelak, ia dapat menampung lebih kurang 2,000 orang jemaah pada satu-satu masa.

Sesungguhnya atas sumbangan kedua-dua pihak ini sangat bermakna kepada pihak kariah dan MAINPP kerana masjid ini terletak di kawasan tapak yang sangat bernilai tinggi berharga RM60 juta.

Selain daripada itu, masjid ini juga terletak berhampiran dengan Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu iaitu laluan utama yang sangat strategik untuk menarik pelancong. Reka bentuk masjid yang sangat cantik juga akan menjadi tarikan pelancong di kawasan ini.

Saya berharap selepas majlis pecah tanah ini, masjid akan dibina dengan secepat mungkin kerana pihak kariah selaku pengguna telah lama menunggu sebuah masjid di kawasan mereka. Saya difahamkan pada masa ini anak kariah bersolat Jumaat di sebuah surau yang tidak dapat menampung jemaah yang bertambah.

Akhir kata, sekali lagi saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih terutama kepada Tuan Yang Terutama Tun yang sudi hadir dan menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Masjid Al-Bukhary, Bandar Seri Pinang, Pulau Pinang.

Dan juga kepada Yayasan Al-Bukhary yang menyumbangkan anggaran RM5 juta untuk kos pembinaan masjid lengkap serta IJM Land kerana menyerahkan tanah bernilai RM60 juta.

Sekian, terima kasih.