MAJLIS PECAH TANAH PROJEK PEMBANGUNAN STESEN PEMINDAHAN SISA PEPEJAL BATU MAUNG

Posted in Dari Meja Ketua Menteri

TEKS UCAPAN YAB KETUA MENTERI

SEMPENA MAJLIS PECAH TANAH PROJEK PEMBANGUNAN

STESEN PEMINDAHAN SISA PEPEJAL BATU MAUNG

16 Februari 2017

Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian

Terlebih dahulu, saya ingin merakamkan penghargaan kepada semua pihak berkepentingan yang telah menggembeling segala usaha untuk merealisasikan hasrat rakyat negeri Pulau Pinang ke arah melaksanakan projek untuk membangunkan Stesen Pemindahan Sampah Batu Maung pada hari ini.

Tuan-tuan dan Puan-puan yang dihormati sekalian.

Negeri Pulau Pinang komited dalam usaha memelihara alam sekitar melalui initiatif Cleaner, Greener, Healthier and Safer Penang. Kita sedia maklum bahawa kita perlu merancang pembangunan negeri ini khususnya dalam mewujudkan bidang pengurusan dan pengasingan sisa pepejal yang mesra alam. Projek pembinaan Stesen Pemindahan Sisa Pepejal di Batu Maung merupakan salah satu bukti komitmen Kerajaan Negeri dan Majlis Bandaraya Pulau Pinang untuk tujuan pengumpulan sisa pepejal sebelum dihantar ke tapak pelupusan akhir sampah.

Adalah menjadi cabaran kita untuk melaksanakan sesuatu projek pelupusan di negeri ini walaupun terdapat faktor kekangan dari segi keperluan dan kegunaan tanah.

Stesen Pemindahan ini akan memainkan peranan sebagai pusat transit untuk sisa pepejal sebelum dilupuskan di tapak pelupusan yang terletak di Pulau Burong, Seberang Perai Selatan. Ia terletak dalam lokasi yang paling strategik dan ideal dari segi pengurusan bagi pelupusan sisa dan memenuhi kehendak asas persekitaran mengikut “Guidelines For The Siting and Zoning of Industry and Residential Areas”.

Projek ini merupakan salah satu projek yang memberi impak yang tinggi kepada rakyat di Negeri ini yang melibatkan kos perbelanjaan sebanyak RM61,436,722 yang dibiayai oleh Eurasia Express Sdn. Bhd., pemaju projek yang dilantik oleh Majlis Bandaraya Pulau Pinang. Syarikat turut dipertanggungjawabkan untuk mengendali pengoperasian projek ini bagi tempoh selama 16 tahun yang akan dibiayai oleh Majlis Bandaraya Pulau Pinang.

Para hadirin sekalian,

Stesen Pemindahan Sampah yang dibangunkan merupakan pemangkin kepada salah satu insfrastruktur bagi sistem pengurusan sisa pepejal yang bersepadu. Ianya merupakan langkah penyelesaian untuk mengatasi masalah kepada sistem pelupusan sisa domestik dan sisa pukal serta sisa kebun. Namun, Kerajaan Negeri masih berusaha kepada cabaran untuk mengatasi masalah kepada pelupusan lain-lain jenis sisa seperti sisa binaan dan tanah korekan.

Manfaat ketara yang dapat diperolehi daripada pembangunan projek Stesen Pemindahan Sampah di Batu Maung ini adalah pengurangan kesan alam sekitar yang dihadapi oleh masyarakat di Permatang Pauh dan pengguna jalan raya di Jambatan Pulau Pinang disebabkan oleh kemasukan sebanyak 69 unit kenderaan daripada kawasan pentadbiran Majlis Bandaraya Pulau Pinang sejak tahun 2011 ke Stesen Pemindahan Ampang Jajar .

Selain daripada penyediaan sistem dan infrastruktur, usaha turut dipergiatkan untuk pengurangan sampah yang akan dilupuskan di Tapak Pelupusan. Masyarakat perlu mengutamakan kebersihan dan pengasingan sisa dalam kehidupan seharian dengan membuang sampah yang diasingkan dan mengambil kira kesan terhadap alam sekitar.

Sungguhpun Pulau Pinang boleh bangga apabila kadar kitar semula di negeri ini adalah yang tertinggi di Malaysia iaitu 32% berbanding dengan purata kebangsaan hanya 10.5% sahaja. Kita seharusnya sedar bahawa masyarakat negara maju mempunyai infrastruktur dan budaya masyarakat yang mengutamakan amalan kebersihan dalam kehidupan mereka.

Akhir kata, saya dengan ini merasmikan Majlis Pecah Tanah Projek Pembangunan Stesen Pemindahan Sisa Pepejal Batu Maung.