MAJLIS PERASMIAN KOMPLEKS SUKAN BANDARAYA

TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG
SEMPENA MAJLIS PERASMIAN KOMPLEKS SUKAN BANDARAYA

19 FEBRUARI 2017 (HARI AHAD), JAM 9.00 PAGI
JALAN PAYA TERUBONG, PULAU PINANG


Tuan-tuan dan Puan-puan yang dihormati sekalian.

Syabas kepada semua yang hadir pada pagi ini bersama-sama dengan YB Chow Kon Yeow dan Yang Berbahagia Datuk Bandar Dato’ Patahiya binti Ismail untuk Majlis Perasmian Kompleks Sukan Bandaraya, Relau pada pagi yang mulia ini. Kerja-kerja pembinaan kompleks sukan yang berkos RM21,400,000.00 ini telah bermula pada 11 Mei 2016 dan siap sepenuhnya pada 10 Januari 2017. Fasiliti kompleks sukan ini termasuk 1 kolam renang bersaiz Olympik, 1 kolam menyelam, 10 gelanggang badminton, 1 Gymnasium, 1 “pro-shop', 1 kafeteria dan “alfresco”, 97 tempat letak kereta dan sebagainya.

Terlebih dahulu, saya ingin menarik perhatian tuan-tuan dan puan-puan mengenai keistimewaan bangunan yang unik ini, terutamanya dari segi konsep Bangunan Hijau yang telah mencapai ‘silver rating’ bagi Green Building Index (GBI). Bahan binaan yang mesra alam sekitar seperti cat yang VOC (Volatile Organic Compounds) rendah dan bahan yang boleh dikitar semula telah digunakan di ruang dalaman dan luaran kompleks ini. Di samping pemilihan bahan binaan yang berkonsep hijau, solar panel dan kelengkapan elektrikal yang cekap juga telah disediakan demi tujuan penggunaan tenaga yang lebih efisien.

Kompleks sukan Bandaraya di Relau ini mungkin kompleks sukan kerajaan yang paling hijau di Malaysia dengan rating GBI Perak.

Hadirin yang saya hormati,

Negeri Pulau Pinang amat serius dalam menyediakan kemudahan infrastruktur bertaraf dunia secara berterusan termasuk mempromosikan kegiatan sukan. Dengan ini barulah Pulau Pinang boleh mencapai transformasi ke arah negeri bertaraf antarabangsa dan pintar yang bersih, hijau, sihat dan selamat.

Saya mengucapkan syabas dan tahniah kepada MBPP yang tidak teragak-agak mendukung aspirasi Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan membuktikan ia amat serius dalam menyediakan kemudahan infrastruktur sukan bertaraf dunia secara berterusan.

Dengan kata-kata ini saya merasmikan Kompleks Sukan Bandaraya yang saya yakin akan melahirkan lebih ramai jaguh sukan anak watan negeri Pulau Pinang seperti Datuk Nicole David dan Datuk Lee Chong Wei.

Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang