Majlis penyampaian Cek Peruntukan Bantuan Kewangan Kerajaan Negeri Pulau Pinang Kepada Sekolah-Sekolah Tamil Dan Tadika Di Sekolah Tamil, 2017

Ucapan Ketua Menteri Pulau Pinang

Sempena Majlis penyampaian Cek Peruntukan Bantuan Kewangan Kerajaan Negeri Pulau Pinang

Kepada Sekolah-Sekolah Tamil Dan Tadika Di Sekolah Tamil, 2017

2 Mac 2017 (Auditorium A, Komtar)

 

Saya berasa sangat gembira berjumpa dengan anda semua sekali lagi dalam Majlis Penyampaian Cek ini. Majlis Penyampaian Cek ini adalah majlis yang kesembilan. Berbeza daripada tahun-tahun lepas kali ini penyampaian cek kepada sekolah Tamil dan tadika diadakan bersama. Kami telah memulakannya pada 2009 dan meneruskannya sehingga ke tahun ini. Saya berjanji di sini bahawa Kerajaan Negeri Pulau Pinang di bawah pimpinan saya akan terus membantu pendidikan dan sekolah-sekolah Tamil di negeri ini selagi kami mentadbir negeri ini.

Harus dingat bahawa dalam lapan tahun ini penambahbaikan struktur fizikal dan kemudahan sekolah Tamil adalah amat ketara, penambahbaikan seperti berikut telah dilakukan di sekolah-sekolah Tamil:

a) Mengatasi kekurangan bilik darjah dengan membina bilik darjah bahru
b) Membina Dewan Terbuka di 8 buah sekolah
c) Membina Makmal Komputer di 12 buah sekolah
d) Memastikan bahawa semua sekolah mempunyai kemudahan tandas moden
e) Menambahbaik keadaan dan kemudahan bilik guru dan guru besar
f) Menambah baik perpustakaan
g) Memasang kemudahan 21st Century Classroom di 3 buah sekolah

Pendek kata, pihak kami telah membantu memperbaiki infrastruktur di sekolah-sekolah Tamil Pulau Pinang sehinggakan sekolah-sekolah ini dikatakan sebagai yang terbaik dari segi kemudahan fizikal di seluruh negara.

Misi kami tidak terhad kepada peningktan kemudahan infrastruktur sahaja malahan mentranformasikan sekolah-sekolah Tamil untuk menghadapi cabaran abad ke-21. Demi memastikan bahawa kanak-kanak di sekolah Tamil dapat menikmati perkembangan ICT ini kami telah membekalkan SWIPE (Smart Wireless Interactive Presentation & Education System) di beberapa buah sekolah sejak dua tahun lalu. Alat ini mempermudahkan penyampaian maklumat dan juga dapat mengawasi dan mengawal murid-murid dari mana-mana sudut di bilik darjah.

Pada tahun lepas pula, kami telah membekalkan kemudahan 21st Century Classroom di 3 buah sekolah, iaitu SJKT Mak Mandin, SJKT Bukit Mertajam dan SJKT Sungai Ara. Pada tahun ini kami bercadang untuk memperluaskan kemudahan itu kepada semua sekolah.

Di samping itu, sejak 2012 Kerajaan Negeri sedang memperuntukkan RM100 ribu setiap tahun untuk membantu menguruskan tadika dengan lebih baik dan meningkatkan kualiti kemudahan di tadika. Kerajaan Negeri Pulau Pinang adalah satu-satunya Kerajaan Negeri yang bantu tadika Bahasa Tamil.

Kini sampai pula masa yang ditunggu-tunggu, iaitu pengumuman jumlah peruntukan bagi tahun ini. Dengan bangganya saya ingin mengumumkan bahawa jumlah wang yang diperuntukkan bagi tahun ini ialah seperti berikut:

1) Bagi Sekolah-Sekolah Tamil – RM1.75 juta
2) Bagi Tadika - RM100,000.00
3) Bagi Tabung Khas Jawatankuasa Khas Sekolah-Sekolah Tamil – RM100,000.00 untuk kerja pengurusan, penilaian peperiksaan dan pengelolaan sekolah dan murid sekolah Tamil.

Jumlah peruntukan yang telah diperuntukkan kepada Sekolah-Sekolah Tamil sejak tahun 2009 adalah sebanyak RM15, 416, 000 dan kepada Tadika Tamil sejak tahun 2012 sebanyak RM550, 000.Sementara itu, jumlah peruntukan yang diberikan untuk Tabung Khas Jawatankuasa Khas Sekolah-Sekolah Tamil sejak tahun 2012 adalah sebanyak RM536, 000. Ini menjadikan keseluruhan peruntukan yang diberikan adalah sebanyak
RM16, 502, 000.

Sebelum mengakhiri ucapan saya biar saya merakamkan terima kasih kepada Dato’ Dr. Anba, Dato’ Rajoo, En. Anil, En. Sathis dan Cik. Fatimah kerana sumbangan mereka kepada sekolah-sekolah Tamil di negeri ini melalui Jawatankuasa Khas Sekolah-Sekolah Tamil. Saya berharap mereka akan terus membantu Kerajaan Negeri Pulau Pinang mencapai impiannya untuk meningkatkan taraf akademik sekolah-sekolah Tamil di Pulau Pinang.

Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang