MAJLIS PERASMIAN GELANGGANG FUTSAL DAN KEMUDAHAN REKREASI TAMAN KEJIRANAN LEBUH PADANG TEMBAK, AIR ITAM

TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG
SEMPENA MAJLIS PERASMIAN GELANGGANG FUTSAL DAN KEMUDAHAN REKREASI TAMAN KEJIRANAN
LEBUH PADANG TEMBAK, AIR ITAM, PULAU PINANG

PADA 19 MAC 2017 (HARI AHAD), JAM 8.30 PAGI
BERTEMPAT DI TAMAN KEJIRANAN LEBUH PADANG TEMBAK, AIR ITAM, PULAU PINANG
_____________________________________________

 

Salam sejahtera dan selamat pagi.

Adalah Tidak Benar Bahawa Kerajaan Negeri Tebang Habis Bukit Dan Pokok. Tidak Ada Seinci Disentuh Sebaliknya Kerajaan Negeri Telah Tanam 271,000 Pokok Baru.

Terlebih dahulu saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah dan syabas kepada Tetuan Intradeco Sdn. Bhd, East Design Sdn. Bhd. dan Tetuan PLB Engineering Bhd. kerana telah dapat menyempurnakan dua (2) projek CSR yang penuh bermakna pada pagi ini. Tetuan Intradeco Sdn. Bhd. dan East Design Sdn. Bhd. telah dapat menyempurnakan projek pembinaan Gelanggang Futsal dengan spesifikasi FIFA berjumlah RM400,000.00 dan Tetuan PLB Engineering Bhd. telah dapat menyediakan Kemudahan Rekreasi dengan kos sebanyak RM100,000.00.

Saya difahamkan projek Pembinaan Gelanggang Futsal ini dapat disiapkan dalam tempoh empat (4) bulan dan ianya menjadi projek CSR yang pertama dalam pembinaan sebuah Gelanggang Futsal di Pulau Pinang. Tahniah dan syabas diucapkan kepada Tetuan Intradeco Sdn. Bhd. dan East Design Sdn. Bhd. Begitu juga dengan Tetuan PLB Engineering Bhd. yang telah dapat menaja kemudahan-kemudahan untuk beriadah dan berekreasi di Taman Kejiranan Lebuh Padang Tembak, Air Itam, Pulau Pinang. Kemudahan-kemudahan rekreasi ini mengikut spesifikasi bertaraf antarabangsa, selari dengan matlamat Kerajaan Negeri menjadikan Pulau Pinang sebagai sebuah negeri bertaraf antarabangsa dan pintar.

Bagi menjadikan Pulau Pinang sebagai Bandar Dalam Taman, sebanyak 271,000 pokok telahpun ditanam oleh Jabatan dan Agensi Kerajaan dan juga pihak swasta melalui projek-projek penghijauan dan pengindahan bandar sejak tahun 2008. Ini membuktikan komitmen kerajaan negeri menjadi negeri hijau dengan rekod cemerlang tidak ada seinci pun hutan simpanan kekal dikurangkan, bukan macam negeri tertentu yang membersihkan 100,000 hektar tanah hutan yang menyebabkan banjir yang teruk. Kemudahan hari ini juga akan membantu menonjolkan Pulau Pinang sebagai sebuah negeri yang sihat. Adalah tidak benar bahawa kerajaan negeri tebang habis bukit dan pokok. Sebaliknya kerajaan negeri telah tanam 271,000 pokok baru.

Sebelum mengakhiri ucapan saya pada pagi ini, saya sekali lagi ingin mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada MBPP, Tetuan Intradeco Sdn. Bhd., East Design Sdn. Bhd. dan Tetuan PLB Engineering Bhd. kerana telah berjaya menyempurnakan projek CSR di Taman Kejiranan Lebuh Padang Tembak, Air Itam, Pulau Pinang. Semoga semangat kerjasama di antara MBPP dan pihak swasta akan diteruskan di taman-taman yang lain di Pulau Pinang.

Dengan kata-kata ini, saya merasmikan Projek CSR Gelanggang Futsal dan Kemudahan Rekreasi di Taman Kejiranan Lebuh Padang Tembak, Air Itam, Pulau Pinang.

Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang