MAJLIS PELANCARAN PEMBINAAN JALAN YANG MENGHUBUNGKAN PENANG SCIENCE PARK DAN JURU

Posted in Dari Meja Ketua Menteri

UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG

SEMPENA MAJLIS PELANCARAN PEMBINAAN JALAN YANG MENGHUBUNGKAN PENANG SCIENCE PARK DAN JURU


25 MAC 2017 (SABTU)
MASA : 10.00 PAGI
DI ATAS PLOT E, UTARA SCIENCE PARK, SPT, PULAU PINANG


Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian

Saya berasa amat berbesar hati pada pagi ini dapat bersama–sama untuk Majlis Pelancaran Pembinaan Jalan yang menghubungkan Penang Science Park dan Juru.

Projek ini telah dilaksanakan oleh Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) dengan kos projek sebanyak RM7.8 juta, yang dibayar oleh PDC sebagai sebahagian daripada tanggungjawab korporatnya untuk meningkatkan dan mempercepatkan pembangunan infrastruktur di Negeri Pulau Pinang, terutamanya di bahagian seberang Pulau Pinang.

Projek infrastruktur ini, yang telah diberikan melalui tender terbuka kepada MMA Air-Cond Engineering Sdn. Bhd, selaras dengan prinsip CAT Kerajaan negeri iaitu (Cekap, Akauntabiliti & Telus), bermula pada 28 November 2016 dan tarikh jangka siap pada 27 Feb 2018. Pembinaan jalan baru arteri ini yang berukuran 880 meter adalah dari Utara Penang Science Park ke Persimpangan Jalan Estate, yang akan menghala ke Juru. Saya gembira untuk memaklumkan bahawa kemajuan projek yang sedang dijalankan ini adalah baik dan mengikut jadual yang ditetapkan.

Projek jalan ini akan memainkan peranan sebagai jalan arteri menghubungkan Juru dengan Penang Science Park dan ini juga akan mengurangkan masalah kesesakan di persimpangan Tambun, seterusnya meningkatkan rangkaian pengangkutan jalan raya di kawasan ini, di samping menyediakan tol alternatif akses percuma kepada rakyat.

Pembinaan jalan ini juga akan menggalakkan pembangunan Penang Science Park, terutamanya di utara Penang Science Park yang merupakan kawasan perindustrian kira-kira 482 ekar. Sebanyak 98 ekar (Fasa 1) telah ditetapkan bagi Zon Makanan. Setakat ini, PDC telah menjual 37 ekar tanah kepada 16 buah syarikat yang berkaitan dengan industri makanan. Bagi Fasa 2, sebanyak 200 ekar telah diperuntukkan untuk industri yang digalakkan dan secara am.

Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang atas kerja yang proaktif dan perancangan untuk masa hadapan dalam memberi sokongan dalam infrastruktur dan ‘connectivity’ untuk memudahkan keperluan pembangunan perniagaan di Pulau Pinang.

DENGAN INI SAYA MERASMIKAN PEMBINAAN PROJEK JALAN INI YANG AKAN MENGHUBUNGKAN PENANG SCIENCE PARK DAN JURU.

Sekian, terima kasih.