MAJLIS UPACARA PELANCARAN RASMI KERJA-KERJA PENGECATAN SEMULA BLOK 11 SLAB BLOK, BANDAR SEBERANG JAYA

UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG

SEMPENA MAJLIS UPACARA PELANCARAN RASMI KERJA-KERJA PENGECATAN SEMULA

BLOK D1-D9, D20 & D21 (11 SLAB BLOK), BANDAR SEBERANG JAYA, PULAU PINANG

PADA 8 APRIL 2017.


Pada hari ini, kami akan menyaksikan pelancaran rasmi kerja-kerja pengecatan semula untuk 11 blok rumah pangsa di Seberang Jaya (Blok D1-D9, D20 dan D21). Kerja ini dapat dilaksanakan atas semangat kerjasama antara pihak Kerajaan Negeri Pulau Pinang, YB ADUN Kawasan Seberang Jaya, PDC dan penduduk blok-blok yang terlibat. Untuk makluman YB/Dato’/tuan/puan, kesemua 11 blok berkenaan telah dibina oleh PDC pada tahun 1984 dan mengandungi jumlah keseluruhan 408 unit kediaman dan 20 unit komersil.

Untuk makluman YB/Dato’/tuan/puan, kos keseluruhan kerja pengecatan semula ini adalah berjumlah RM515,000. Mengikut polisi pengecatan PDC, jumlah ini adalah dikongsi pembayaran 80% oleh PDC dan 20% oleh pihak MC masing-masing. Dalam kes ini, bahagian 20% MC/penduduk adalah dibiayai dari peruntukan YB Dr Afif Bin Bahardin selaku ADUN Seberang Jaya. Kerja-kerja pengecatan ini adalah dilaksanakan oleh PDC Nusabina Sdn Bhd, dan telah bermula pada 1 Mac 2017. Mengikut jadual pelaksanaan, kerja-kerja ini akan mengambil masa selama 4 1/2 bulan dan dijangka siap sepenuhnya pada 11 Julai 2017. Amaun 80% yang ditanggung oleh PDC ini merupakan tanggungjawab sosio korporat (CSR). Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada YB Dr. Afif Bin Bahardin bagi pihak MC atas peruntukan beliau ini.

Selain dari pengecatan semula, dalam masa yang sama beberapa kerja pembaikan atas kerosakan kritikal seperti penggantian paip air hujan dan penggantian paip ‘riser’ juga akan dijalankan untuk tiga (3) blok iaitu Blok D3, D20 dan D21. Kaedah perkongsian kos yang sama juga akan digunapakai iaitu dalam nisbah 80/20 di mana YB Dr Afif Bin Bahardin telah bersetuju untuk menanggung 20% kos pembaikan berkenaan bagi pihak MC/penduduk. Tujuan kerja-kerja pembaikan kritikal ini dijalankan adalah bagi melancarkan kerja-kerja pengecatan semula blok-blok tersebut.

Bagi meneruskan dengan inisiatif “CSR” ini, PDC akan terus mengenalpasti bangunan bertingkat di projek-projek PDC yang lain untuk dicat semula melalui kaedah perkongsian kos samada di sebelah Pulau mahupun di Seberang Perai.

Kejayaan di dalam pelaksanaan kerja-kerja pengecatan semula ini telah melambangkan kerjasama erat di antara penduduk-penduduk dengan Kerajaan Negeri Pulau Pinang khususnya di dalam usaha menaiktaraf bangunan ini. Saya yakin selepas bangunan ini dicat semula nanti, ianya akan memberikan sinar baru di samping dapat mewujudkan suasana lebih kondusif dan ceria kepada para penduduk di sini serta akhirnya dapat membantu meningkatkan nilai unit-unit kediaman dan komersil di sini.

Akhir sekali, saya dengan berbesar hati, melancarkan secara rasmi kerja-kerja pengecatan semula Blok D1-D9, D20 dan D21 Bandar Seberang Jaya, Pulau Pinang ini.

Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang