MAJLIS PERASMIAN PROGRAM KARNIVAL USAHAWAN PERMOTORAN

Posted in Dari Meja Ketua Menteri

UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG

SEMPENA MAJLIS PERASMIAN PROGRAM KARNIVAL USAHAWAN PERMOTORAN

8 APRIL 2017, 5PM
STADIUM BATU KAWAN


Tuan-tuan dan Puan-puan yang dihormati sekalian

Hari ini adalah hari yang amat bermakna bagi para peminat yang cintakan 'aktiviti permotoran' terutamanya anak muda dan para belia dengan perasmian Karnival Usahawan Permotoran kali ke-3 di bawah anjuran MMK Pembangunan Keusahawanan.

Tuan tuan dan Puan Puan yang di hormati sekalian,

Kerajaan Negeri dalam rangka untuk menjayakan kempen “Negeri Keusahawanan dan Negeri Berkebajikan” sentiasa prihatin akan perkembangan usahawan-usahawan Pulau Pinang sama ada penjaja kecil mahupun usahawan yang terlibat dengan industri yang lebih besar.

Ruang-ruang perniagaan dan kawasan industri seperti Science Park dan Batu Kawan Industri Park disediakan bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat. Syarikat HONDA yang terlibat secara langsung dengan industri permotoran telah memilih Kawasan Industri Batu Kawan sebagai tapak pemasangan tempatan untuk semua jenis motosikal keluaran HONDA dengan kapasiti pengeluaran 350,000 unit motor. Ini menunjukkan keyakinan syarikat tersebut terhadap Kerajaan Negeri dari sudut mengurus tadbir yang baik dan telus.

Sekiranya tadbir urus serta pengurusan lemah, seluruh rakyat menerima kesan. Segala bentuk subsidi baik minyak petrol, minyak masak dan gula yang dinikmati dikurangkan atau dihapuskan. Kadar nilai matawang semakin lemah dan merosot. Kadar inflasi meningkat sehingga 4.5%, tertinggi sejak tahun 2008. Golongan berpendapatan rendah dan sederhana sangat terkesan dengan kenaikan kos sara hidup ini. Ini semua akibat dari kelemahan urus tadbir dan tata kelola kewangan.

Jumlah hutang negara kini hampir kepada RM850 bilion iaitu kira kira 63.8% GDP Kerajaan. Oleh kerana defisit Belanjawan Kerajaan Persekutuan, Cukai GST terpaksa dilaksanakan pada kadar yang membebankan rakyat. Sebaliknya Kerajaan Negeri tidak mengenakan Cukai GST atau cukai baru tetapi memberikan potongan cukai pintu 6% dan mengecualikan pembayaran cukai pintu untuk semua rumah kos rendah, rumah kos sederhana rendah dan rumah kampung tahun ini.

Pada masa yang sama, kita tidak boleh lupa dan mengabaikan mereka yang lemah, daif dan miskin. Inilah sebabnya Kerajaan Negeri mendirikan Negeri Kebajikan yang telah memberikan wang tunai melebihi RM412 juta sejak tahun 2009 kepada 1.7 juta rakyat Pulau Pinang. Di samping itu, Kerajaan Negeri juga memastikan setiap keluarga menerima sekurang-kurangnya RM790 sebulan, dengan menambah hingga cukup RM790 kepada mana-mana keluarga yang mendapat kurang daripada RM790 setahun di bawah program Agenda Ekonomi Saksama (AES). Kos program ini adalah kira-kira RM20 juta. Semua ini dapat dibelanjakan kerana Kerajaan Negeri mempunyai kedudukan kewangan yang kukuh di mana Kerajaan Negeri boleh memperolehi keuntungan kerana kita bersih dan tidak makan wang serta melaksanakan pentadbiran CAT (Cekap, Akauntabiliti dan Telus).

Dengan sukacitanya saya merasmikan Karnival Usahawan Permotoran 2017 anjuran MMK Pembangunan Keusahawanan.

Sekian, terima kasih.