Majlis Penutupan Muzium Negeri, Lebuh Farquhar

Ucapan Ketua Menteri Negeri Pulau Pinang

Sempena Majlis Penutupan Muzium Negeri, Lebuh Farquhar

15 April 2017


Selamat Petang, Salam Sejahtera dan Salam Bersih,

Selaku Pengerusi Lembaga Muzium Negeri Pulau Pinang, saya merakamkan ucapan terima kasih kepada semua hadirin yang hadir pada hari yang bersejarah ini bagi meyaksikan Majlis Penutupan Muzium Negeri, Lebuh Farquhar. Berkesempatan ini, saya mengucapkan tahniah dan syabas kepada Lembaga Muzium Negeri Pulau Pinang dan agensi Perbadanan Pemuliharaan dan Pembangunan George Town (George Town Conservation & Development Corporation, GTCDC) atas segala persiapan awal perlaksanaan Projek Rangkaian Muzium-muzium dan galeri-galeri atau lebih dikenali sebagai MAGNet (Museums and Galleries Network). Penutupan Muzium Negeri, Lebuh Farquhar adalah termasuk dalam pelan-pelan awal perlaksanaan projek MAGNet.

Hadirin yang dihormati,

Pemilihan tarikh penutupan Muzium Negeri pada hari ini juga mempunyai signifikannya yang tersendiri iaitu kelmarin, pada tanggal 14hb. April 2017 merupakan Hari Ulang Tahun penubuhan Muzium Negeri Pulau Pinang yang ke-52. Bangunan yang tersergam indah ini telah menyimpan seribu satu sejarah terutamanya bagi rakyat Pulau Pinang. Sebelum ianya dijadikan sebuah muzium pada 14hb. April 1965, bangunan yang dibina pada tahun 1896 telah menempatkan Sekolah Penang Free dan juga Sekolah Hutchings. Bangunan ini telah dijadikan muzium negeri atas ilham oleh Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj ketika Almarhum menjadi Perdana Menteri Malaysia yang pertama. Bangunan yang berusia hampir 200 tahun ini sekolah Inggeris pertama dan tertua di rantau Asia Tenggara. Malah, beliau sendiri merupakan bekas pelajar yang bersekolah di bangunan ini suatu ketika dahulu.

Para tetamu yang dihormati,

Setelah 52 tahun bangunan ini beroperasi sebagai Muzium Negeri; menyimpan khazanah sejarah dan warisan Pulau Pinang, maka sudah tiba masanya ia dibaikpulih dan dinaiktaraf bagi memastikan aspek warisan bangunan ini dipelihara dan dipulihara selaras dengan status bangunan Kelas 1 di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005 (Akta 645).

Projek Restorasi berskala besar ini bertujuan untuk mengembalikan rupa bentuk bangunan yang berusia hampir 200 tahun dimasa kegemilangannya dahulu sekaligus mematuhi piawaian tertinggi standard antarabangsa bersesuaian dengan kedudukannya ditengah-tengah Zon Warisan Dunia George Town. Matlamat utama pengubahsuaian bukan sahaja untuk memulihkan ikon bersejarah ini, malah untuk mewujudkan sebuah muzium moden yang lengkap berfungsi sebagai sumber penting bagi pembangunan kebudayaan negeri Pulau Pinang. Disamping projek restorasi bangunan ini, sebuah lagi projek bangunan yang bertaraf state-of-the-art bakal dibina di kawasan perkarangan Muzium Negeri, Lebuh Farquhar bagi menempatkan koleksi-koleksi lukisan milik Balai Seni Lukis Negeri Pulau Pinang.

Para tetamu yang dihormati,

Selama bangunan muzium direstorasi, pameran dan artifak sementara dari koleksi Muzium Negeri Lebuh Farquhar dan juga pameran pengenalan projek MAGNet akan dipindahkan ke sebuah lagi cawangan Muzium Negeri iaitu di Bangunan No. 57, Jalan Macalister. Ia akan mula beroperasi dan dibuka seperti biasa kepada pelawat serta masyarakat umum mulai Julai tahun ini.

Para Hadirin yang diraikan,

Akhir kata, saya ingin mengakhirkan ucapan ini dengan mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada semua agensi-agensi yang terlibat dalam projek bersejarah ini, terutamanya kepada pihak Lembaga Muzium Negeri Pulau Pinang; Perbadanan Pemuliharaan dan Pembangunan George Town, Think City, Agensi Pelaksana seperti JKR Arkitek, Penasihat, Perunding dan Unit Warisan MBPP. Tidak dilupakan juga sekalung penghargaan kepada Ahli-ahli Lembaga Muzium, Ahli-ahli Jawatankuasa Balai Seni Lukis, rakan-rakan muzium yang hadir dari seluruh pelusuk tanah air, para sejarawan, artis-artis, agensi-agensi negeri, swasta mahupun persendirian yang telah bersama-sama membantu memajukan institusi ini.

Dengan ini saya menyempurnakan Majlis Penutupan Muzium Negeri Lebuh Farquhar.

Sekian, terima kasih.