Kempen Pemeriksaan Darah Dan Kempen Pendermaan Darah

Posted in Dari Meja Ketua Menteri

Ucapan Ketua Menteri Pulau Pinang
Sempena Kempen Pemeriksaan Darah Dan Kempen Pendermaan Darah

16 April 2017 (10am)
Dewan Ng Yam Huat , Bukit Mertajam

Selamat pagi dan salam sejahtera.

Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada One Hope Charity & Wellfare Berhad, Bukit Mertajam kerana sudi menjemput saya untuk merasmikan Kempen Pemeriksaan Darah Untuk Golongan Miskin serta Kempen Pendermaan Darah.

Sememangnya kempen seperti ini adalah penting dalam memupuk kesedaran kepada masyarakat tentang betapa pentingnya pendidikan kesihatan dalam kehidupan. Selain daripada mamogram, osteorporosis, penglihatan dan juga pendengaran, juga terdapat 33 jenis ujian pemeriksaan darah untuk semua golongan tanpa mengira bangsa, agama dan umur.

Selama 15 tahun penubuhan ini, One Hope Charity telah menghulurkan sebanyak RM7 juta kepada golongan miskin. Pada tahun 2016, sebanyak RM 2.08 juta telah diberikan atas keperluan dari segi kos perubatan, kos pengebumian, makanan percuma serta bantuan bulanan makanan.

Kerajaan Negeri bangga untuk menyatakan sepanjang 8 tahun mengambil alih tampuk pemerintahan negeri ini, lebihan Belanjawan terkumpul telah meningkat sebanyak RM574 juta berbanding hanya RM373 juta sahaja dicapai oleh Kerajaan Negeri sebelum ini untuk tempoh 50 tahun dari tahun 1957-2007.

Program-program bantuan/emas hasil daripada 'dividen anti-rasuah' akan terus dilaksanakan selagi Kerajaan Negeri Pulau Pinang terus dipilih untuk memerintah. Sepanjang 8 tahun ini, Kerajaan Negeri telah memberikan wang tunai sejumlah RM412.63 juta sebagai sumbangan dan berkongsikan hasil “dividen anti-rasuah” kepada 1.6 juta rakyat Pulau Pinang.

Terbaru, Kerajaan Negeri melalui Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) telah bersetuju untuk menanggung cukai GST yang dikenakan kepada rakyat untuk semua perkhidmatan di kedua-dua PBT ini. Ini akan menelan perbelanjaan sebanyak RM21.74 juta.

Selain daripada itu, Kerajaan Negeri juga telah bersetuju untuk meneruskan pengecualian cukai pintu kepada semua rumah kos rendah, rumah sederhana rendah dan rumah kampung/bertanah sejak tahun 2016. Untuk hartanah lain termasuk hartanah komersil, potongan cukai pintu sebanyak 6% akan diberikan. Pengecualian dan diskaun cukai pintu menelan kos sebanyak RM33.45 juta. Jumlah keseluruhan yang ditanggung untuk pengecualian dan diskaun cukai pintu serta penyerapan GST adalah sebanyak RM55.19 juta.

Bagi kawasan MBPP, sebanyak 76,790 unit rumah kos rendah, rumah sederhana rendah dan rumah kampung/bertanah bakal menerima manfaat ini manakala di kawasan MPSP pula, sebanyak 107,860 unit rumah akan menerima manfaat.

Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada semua badan -badan amal dan pertubuhan swasta yang sudi berkerjasama dengan Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

Akhir kata, saya berharap kempen yang bermakna ini dapat dianjurkan setiap tahun serta mendapat sokongan orang awam serta badan-badan amal demi golongan miskin dan kurang upaya ini.

Sekian, terima kasih.