MAJLIS PERASMIAN PUSAT KHIDMAT KADUN PERMATANG PASIR, KUBANG SEMANG

Posted in Dari Meja Ketua Menteri

TEKS UCAPAN KETUA MENTERI
SEMPENA MAJLIS PERASMIAN PUSAT KHIDMAT KADUN PERMATANG PASIR, KG PETANI, KUBANG SEMANG

16 APRIL 2017


Selamat tengahari dan salam sejahtera.

Pusat Khidmat KADUN Permatang Pasir ini adalah sebahagian dari usaha Kerajaan Negeri untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat terutamanya penduduk di kawasan KADUN Permatang Pasir.

Sesungguhnya KADUN Permatang Pasir sangat unik. Kerajaan Negeri mempunyai seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang sentiasa menyokong dasar-dasar yang dijalankan oleh Kerajaan Negeri. Kini Kerajaan Negeri membuka sebuah lagi Pusat Khidmat yang diterajui oleh seorang penyelaras KADUN iaitu Saudara Mohd Azhar Mat Dali dalam usaha untuk memberikan perhatian yang lebih di daerah ini.

Sesungguhnya kita semua amat bertuah berada di sebuah negeri yang kaya dengan masyarakat berbilang bangsa dan agama. Rakyat Pulau Pinang patut bangga apabila stesen televisyen terkemuka antarabangsa, CNN telah menyenaraikan Pulau Pinang sebagai tempat kedua dalam senarai 17 tempat yang paling baik di dunia untuk dilawati. Penyenaraian ini sekaligus telah melonjakkan nama Pulau Pinang ke persada antarabangsa.

Kerajaan Negeri bangga untuk menyatakan sepanjang 8 tahun mengambil alih tampuk pemerintahan negeri ini, lebihan Belanjawan terkumpul telah meningkat sebanyak RM574 juta di antara tahun 2008-2015 berbanding hanya RM373 juta sahaja dicapai oleh Kerajaan Negeri sebelum ini untuk tempoh 50 tahun dari tahun 1957-2007.

Program-program bantuan/emas hasil daripada 'dividen anti-rasuah' akan terus dilaksanakan selagi Kerajaan Negeri Pulau Pinang terus dipilih untuk memerintah. Sepanjang 8 tahun ini, Kerajaan Negeri telah membelanjakan sejumlah RM412.63 juta yang memberi manfaat kepada 1.6 juta rakyat Pulau Pinang.

Terbaru, Kerajaan Negeri melalui Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) telah bersetuju untuk menanggung cukai GST yang dikenakan kepada rakyat untuk semua perkhidmatan di kedua-dua PBT ini. Ini akan menelan perbelanjaan sebanyak RM21.74 juta.

Selain daripada itu, Kerajaan Negeri juga telah bersetuju untuk meneruskan pengecualian cukai pintu kepada semua rumah kos rendah, rumah sederhana rendah dan rumah kampung/bertanah sejak tahun 2016. Untuk hartanah lain termasuk hartanah komersil, potongan cukai pintu sebanyak 6% akan diberikan. Pengecualian dan diskaun cukai pintu menelan kos sebanyak RM33.45 juta. Jumlah keseluruhan yang ditanggung untuk pengecualian dan diskaun cukai pintu serta penyerapan GST adalah sebanyak RM55.19 juta.

Bagi kawasan MBPP, sebanyak 76,790 unit rumah kos rendah, rumah sederhana rendah dan rumah kampung/bertanah bakal menerima manfaat ini manakala di kawasan MPSP pula, sebanyak 107,860 unit rumah akan menerima manfaat.

Pelaksanaan semua insentif dan program-program Emas berkaitan adalah dilaksanakan secara menyeluruh kepada semua rakyat Pulau Pinang dan meliputi semua Kawasan-kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) termasuk di bawah ADUN-ADUN Barisan Nasional di negeri ini. Adalah ketara kejayaan ini membuktikan Kerajaan Negeri memerintah lebih baik dari Barisan Nasional.

Bagi mengakhiri ucapan saya, marilah kita sama-sama merasmikan PUSAT KHIDMAT KADUN PERMATANG PASIR.

Sekian, terima kasih.