Sesi Ramah Mesra YAB Ketua Menteri Bersama Anak Muda Orang Asli Penggerak Komuniti Muda Pulau Pinang

Sesi Ramah Mesra YAB Ketua Menteri Bersama Anak Muda Orang Asli

Penggerak Komuniti Muda Pulau Pinang

21 April 2017

Tingkat 5 KOMTAR, Jam 12.30 tengahari


Salam Sejahtera & Salam BERSIH.

Dengan penuh sukacita, saya ucapkan selamat datang ke Pulau Pinang kepada kesemua tetamu kita ini. Saya difahamkan bahawa lawatan ini melibatkan 32 orang anak muda Orang Asli dari Kelantan, Pahang, Selangor dan Negeri Sembilan. Saya berharap selama lawatan anda di sini, anda dapat menimba sedikit pengalaman dan pendedahan tentang Negeri Pulau Pinang, selain daripada menikmati keindahan dan tarikan-tarikan pelancongan yang ada di negeri ini.

Saudara saudari sekalian,

Kenyataannya ialah pada hari ini, negara kita Malaysia sedang rosak menuju kejatuhan akibat rasuah dan salah guna kuasa oleh Kerajaan UMNO-Barisan Nasional.

Skandal kewangan 1MDB yang sudah beberapa tahun lamanya bermain di bibir mulut rakyat bahkan di tajuk-tajuk utama media antarabangsa masih belum ada jawapannya.

Di masa Perdana Menteri mengaku menerima RM2.6 bilion dalam akaun bank peribadi beliau, rakyat Malaysia hidup susah.

Nilai matawang Ringgit Malaysia jatuh mendadak, harga barang naik mendadak. GST dilaksanakan kerana kegagalan Kerajaan menguruskan ekonomi dengan baik. Negara kita antara pengeluar minyak petrol, akan tetapi minyak petrol semakin bulan semakin mahal. Tanah rakyat dijual demi kepentingan swasta. Rakyat hidup susah.

Saudara saudari sekalian,

Saya yakin dan percaya bahawa lawatan anda ke Pulau Pinang akan memberikan pengalaman yang berbeza daripada krisis yang dihadapi di peringkat pusat yang saya sebut tadi.

Mereka ada 1MDB, kita ada CAT, iaitu falsafah urus tadbir baik kerajaan negeri Pulau Pinang. CAT bermaksud: Competency, Accountability and Transparency, ataupun dalam Bahasa Melayu: Cekap, Akauntabel, Telus.

Kerajaan Negeri Pulau Pinang senantiasa memastikan kita lawan rasuah habis-habisan. Kontrak-kontrak awam dianugerah melalui proses tender terbuka, bukan diberi kepada kroni. Kita amalkan budaya berhemah dalam berbelanja wang rakyat. Oleh itu, walaupun kita tidak mendapat bantuan daripada Kerajaan Pusat, Kerajaan Negeri berjaya mencatatkan lebihan kewangan setiap tahun sejak tahun 2008.

Kerajaan Negeri bangga untuk menyatakan sepanjang 8 tahun mengambil alih tampuk pemerintahan negeri ini, lebihan Belanjawan terkumpul telah meningkat sebanyak RM574 juta di antara tahun 2008 hingga 2015 berbanding hanya RM373 juta sahaja dicapai oleh Kerajaan Negeri pimpinan Barisan Nasional sebelum ini untuk tempoh 50 tahun dari tahun 1957 hingga 2007.

Justeru, walaupun keadaan ekonomi negara agak perlahan, namun rakyat Pulau Pinang masih lagi menikmati kualiti kehidupan yang lebih baik. Saya bagi contoh. Dalam keadaan di mana kadar pengangguran seluruh negara dijangka meningkat, Pulau Pinang masih kekurangan 20,000 orang jurutera. Saya mengalu-alukan rakan-rakan kita daripada komuniti orang asli untuk datang bekerja di Pulau Pinang kalau tidak mendapat kerja di negeri masing-masing.

Kita mendahulukan rakyat Malaysia dalam sektor pekerjaan. Contohnya bagi Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), kita telah menghentikan 100 kontraktor swasta yang sebelum ini mengambil warga asing sebagai pekerja. Langkah ini memberikan peluang kepada 3,000 orang rakyat Malaysia untuk bekerja dengan MPSP.

Kita juga mewujudkan peraturan perbandaran melarang warga asing untuk bekerja sebagai tukang masak di sektor penjaja. Dengan ini bukan sahaja kita dapat memelihara kualiti makanan Pulau Pinang yang terkenal di seluruh dunia, malah kita menjamin peluang pekerjaan ini untuk rakyat Malaysia.

Saudara saudari;

Tadi saya ada menyentuh bahawa Kerajaan Negeri melalui urus tadbir yang baik mempunyai lebihan kewangan. Untuk makluman semua, wang ini kita kita salurkan semula kepada rakyat. Justeru itu, Pulau Pinang ada bermacam-macam program kebajikan: warga emas diberikan RM100 setahun dan apabila warga emas meninggal dunia, Kerajaan berikan RM1,000 kepada waris mereka. Ibu tunggal, suri rumahtangga mendapat RM100 setahun sebagai pengiktirafan Kerajaan terhadap jasa wanita. Murid-murid yang masuk Darjah 1, Darjah 4, Tingkatan 1 dan Tingkatan 4 mendapat RM100. Jika anak negeri ini berjaya masuk ke universiti, Kerajaan Negeri akan memberikan insentif sehingga RM1,200. Ini semua bagi meringankan beban keluarga mereka. Anak yang baru lahir, akan dapat RM200. Pendek kata, dari lahir hingga ke akhir hayat, Kerajaan Negeri tetap menjaga rakyat Pulau Pinang.

Bukan itu sahaja, kita juga berikan wang insentif kepada pemandu teksi dan bas sekolah sebanyak RM600 setahun, beri pukat kepada nelayan serta beri RM1,200 kepada tukang beca.

Kesemua pemberian yang saya nyatakan tadi adalah program tahunan, bukan bagi masa pilihan raya sahaja. Ini merupakan dividen anti-rasuah; oleh sebab Kerajaan Negeri tidak amalkan rasuah, maka kita boleh beri wang kepada rakyat.

Di Pulau Pinang, kita merupakan satu-satunya negeri yang ada jaminan pendapatan isi rumah di bawah program Agenda Ekonomi Saksama. Ini bermakna jika mana-mana isi rumah yang mempunyai pendapatan kurang daripada RM790 sebulan, Kerajaan Negeri akan tamnbah atau “top-up” supaya dicukupkan RM790. Tiada mana-mana negeri mengamalkan kaedah yang kita buat ini.
Semua yang sebutkan ini merupakan kejayaan yang rakyat Pulau Pinang nikmati sejak perubahan politik pada tahun 2008.

Saudara-saudari,

Jika kita mampu laksanakan untuk sebuah negeri kecil macam Pulau Pinang, saya yakin jika Pakatan Harapan berjaya menawan Putrajaya, kita akan memperluaskan dasar-dasar kebajikan ini kepada seluruh Malaysia, terutama sekali untuk komuniti Orang Asli kita.

Saya faham bahawa antara masalah utama orang asli Malaysia selain masalah ekonomi ialah masalah hak tanah tradisi. Tentu sekali saya mewakili Negeri Pulau Pinang, dan juga pimpinan yang lain dari Pakatan Harapan, menyatakan solidariti dan sokongan penuh kepada perjuangan Orang Asli seluruh Malaysia dalam menuntut hak anda.

Melalui projek Impian Malaysia, DAP juga telah memasuki kawasan pedalaman di tempat Orang Asli, dan juga di kampung-kampung pribumi Sabah dan Sarawak untuk melaksanakan pelbagai projek infrastruktur dan pendidikan. Kini banyak kawasan ini masih bergantung kepada “tangki biru”, tetapi di Pulau Pinang kita mempunyai bekalan air bersih dan paling murah di Malaysia. Saya yakin jika kita mampu mengubah Kerajaan di Putrajaya, kita akan gantikan tangki biru di perkampungan Orang Asli dengan bekalan air bersih seperti di Pulau Pinang.

Saya ingin memaklumkan bahawa di Pulau Pinang tidak ada mana-mana kawasan pun menggunakan tangki biru. Semuanya penduduk mendapat bekalan air melalui sistem saluran paip. Bukan itu sahaja, Pulau Pinang merupakan satu-satunya negeri yang tidak pernah mencatu air, walaupun ketika musim kemarau dan kering yang paling teruk melanda Malaysia.

Ini kerana kita amalkan serampang 3 mata dalam menjamin bekalan air yang berterusan. Pertama, pengurusan yang baik dan cekap oleh agensi air kita sendiri iaitu Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP).

Kedua, PBAPP senantiasa menambahbaik infrastruktur bagi pembekalan air agar memenuhi keperluan semasa, termasuk menambah saluran-saluran paip baru. Untuk tahun 2016 sahaja, PBAPP telah melabur sebanyak RM89.5 juta. Dalam pada itu, kita juga akan memperbesarkan lagi Empangan Mengkuang kepada tiga kali ganda dengan kos RM1.2 bilion, di mana ukur lilitnya sepanjang 11 kilometer bagi menjamin kelansungan pembekalan air negeri ini.

Ketiga, menjadi negeri pertama yang mewartakan kawasan tadahan air dengan tidak membenarkan sebarang pembalakan atau pembangunan dalam kawasan tersebut. Empangan-empangan air di Pulau Pinang yang penuh dan tidak kering seperti di negeri lain, menunjukkan bahawa kawasan tadahan air adalah sihat dan tidak ada pembangunan ataupun kawasan bukit ditarah seperti yang didakwa.

Ini dapat dibuktikan dengan data yang dikeluarkan oleh Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia, Kementerian Sumber Asli & Alam Sekitar Malaysia seperti di bawah.

 Jadual : Keluasan Hutan Simpanan Kekal (HSK) Yang Dilesenkan Untuk Pengusahasilan Mengikut Status Tanah, 2006-2015 (ha)

 

Negeri

2006

2007

2008

2009

2010

2011

2012

2013

2014

2015

Jumlah

Johor

8090

6072

5725

1480

2889

1944

3570

1583

3606

3195

38154

Kedah

2222

2007

2435

2028

3646

4978

2451

4715

3602

4658

32742

Kelantan

19880

17385

21243

16969

17943

15232

11727

13163

12255

12122

157919

Melaka

57

-

45

20

-

-

-

-

133

-

255

Negeri

Sembilan

1898

2473

1106

421

415

1458

820

609

1410

1130

11740

Pahang

13694

8892

12594

11350

12646

16314

19373

19835

22214

24467

161379

Perak

9500

7901

6220

6616

6927

8213

7010

8722

6898

6025

74032

Perlis

-

-

-

-

-

2

-

-

-

165

167

Pulau Pinang

-

-

-

-

-

-

-

-

-

-

-

Selangor

2646

1905

893

23

376

-

39

-

-

-

5882

Terengganu

5096

3920

3861

3089

6909

8112

9530

8502

8269

4453

61741

Jumlah

63083

50555

54122

41996

51751

56253

54520

57129

58387

56215

544011

Daripada jadual berkenaan, jelas menunjukkan bahawa Negeri Pulau Pinang adalah satu-satunya negeri yang tidak pernah menyentuh Hutan Simpanan Kekal selari dengan aspirasi kita untuk menjadikan negeri ini Negeri Hijau dan Sihat. Tidak seperti negeri-negeri lain, di mana ribuan hektar hutan atau kawasan tadahan air telah diteroka, terutamanya di Pahang, Kelantan dan Negeri Sembilan yang dilihat mencatat penggunaan kawasan Hutan Simpanan Kekal paling tinggi.

Kita bukan sahaja mahukan bekalan air yang berterusan tetapi kita mahu anak cucu kita yang merupakan generasi akan datang masih berpeluang menghirup udara segar dan menikmati pemandangan hijau.

Saudara-saudari,

Anda semua telah melawat ke Kampung Tok Suboh semasa lawatan kali ini. Jika Kerajaan Pusat dan Kerajaan Kelantan menyebelahi syarikat-syarikat swasta yang besar mencerobohi hak Orang Asli, Kerajaan Negeri Pulau Pinang tidak takut menyebelahi rakyat dan orang kampung untuk mempertahankan hak mereka. Walaupun setiap hari kita difitnah oleh UMNO Barisan Nasional, namun anda telah melihat dengan mata sendiri: siapa pejuang rakyat, siapa pengkhianat rakyat.

Kampung Tok Suboh hari ini mendapat pembelaan bukan sahaja dari segi pampasan wang ringgit, malah mendapat tanah dan rumah baru di dalam kampung mereka. Ini lah perbezaan paling ketara di antara Negeri Pulau Pinang dengan negeri lain di Malaysia.
Akhir sekali, saya harap pengalaman lawatan ini akan menjadi inspirasi kepada anda semua untuk meneruskan perjuangan demi bangsa dan negara. Orang muda ialah harapan kita. Anda semua merupakan pemimpin masa depan. Saya berharap anak muda Pulau Pinang dan anak muda Orang Asli yang dipertemukan dalam lawatan ini akan meneruskan persahabatan ini agar mencetus gerakan anak muda yang bakal mengubah nasib dan masa depan negara kita Malaysia yang tercinta.

Sekian, terima kasih.